Pasaran saham Singapura dibuka lebih lemah pada pagi Rabu ekoran kerugian semalaman dalam pasaran global, sedang hasil Perbendaharaan (Amerika Syarikat) yang melonjak menjejas sentimen pelabur.
Indeks Straits Times (STI) turun 1.1 peratus atau 34.75 mata kepada 3,157.6 sehingga pada 9.02 pagi.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung 98 berbanding 24, selepas 145.1 juta sekuriti bernilai $96.3 juta bertukar tangan, lapor The Business Times.
Saham perbankan tempatan semuanya jatuh semasa dagangan pada awal pagi. Saham DBS turun 1.4 peratus atau $0.47 kepada S$33.06.
Saham OCBC susut 1 peratus atau $0.13 kepada S$12.67, manakala saham UOB turun 0.8 peratus atau $0.22 kepada $28.05.
Sementara itu, The Straits Times melaporkan penjualan pantas bon pemerintah Amerika telah menyebarkan kekecohan di seluruh pasaran kewangan Asia.
Penjualan itu telah meningkatkan kos pinjaman, mencetus campur tangan pasaran mata wang dan mendorong saham untuk menghadapi pembetulan teknikal.
Penanda aras saham MSCI Asia turun lebih 1 peratus buat hari kedua berturut-turut, seiring dengan pembetulan teknikal.
Nikkei Jepun dan Kospi Korea Selatan juga jatuh lebih 2 peratus.
Data pekerjaan Amerika yang lebih baik daripada jangkaan telah mengukuhkan tanggapan bahawa Rizab Persekutuan Amerika masih lagi menaikkan kadar faedah Amerika, dan ini mencetuskan gelombang baru penjualan saham dalam pasaran.
Hasil bon Amerika lebih tinggi dan harga ekuiti lebih rendah dijangka memperlahankan ekonomi Amerika, dan ini pula menjejas ekonomi global, kata ketua strategi global di Nikko Asset Management di Tokyo, Encik John Vail.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg