Saintis kecerdasan buatan (AI) yang terkenal, Encik Lee Kai-Fu, telah meletak jawatan daripada lembaga pengarah Vizzio Technologies, menurut Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).
Encik Lee ialah pengerusi dan ketua eksekutif Sinovation Ventures, firma penyedia modal yang berpangkalan di China yang melabur dalam Vizzio pada 2023.
Perkembangan ini berlaku selepas Tech in Asia melaporkan Encik Jon Lee, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vizzio, telah mendakwa secara palsu memperoleh ijazah kedoktoran dalam sains komputer dari Universiti Cambridge, lapor The Business Times.
Data Acra menunjukkan bahawa Encik Lee Kai-Fu, yang menyertai lembaga Vizzio pada Oktober 2023, meletak jawatan pada 12 Januari.
Tiga hari sebelum itu pada 9 Januari, Tech in Asia menghubungi Sinovation untuk bertanyakan tentang dakwaan yang dibuat oleh Encik Jon Lee dari Vizzio.
Beberapa bulan yang lalu, Encik Lee Kai-Fu secara terbuka menyokong Vizzio dan pengasasnya di LinkedIn, tetapi catatan itu telah dipadamkan. Tech in Asia telah menghubungi Sinovation untuk mendapatkan ulasan tambahan.
Pada 17 Januari, lembaga pengarah Vizzio mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh pengerusinya yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang menekankan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Kenyataan itu juga mengesahkan bahawa Encik Jon Lee telah memaklumkan kepada lembaga yang beliau tidak memiliki ijazah kedoktoran.
“Kami berazam untuk menyokong Jon dan meneruskan misi Vizzio dan masa depan perniagaan kami yang akan menjalankan banyak projek yang berjaya dan terbukti sejak penubuhannya,” kata kenyataan itu.
Vizzio Technologies mempunyai kepakaran mencipta realiti digital di alam maya menerusi teknologi geospatial yang dipacu AI, virtualisasi tiga dimensi (3D) dan huraian Digital Twin (program komputer menggunakan data dunia nyata bagi wujudkan simulasi).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg