Salji diramal timbuni tengah Tokyo
TOKYO: Salji mungkin menyeliputi bahagian tengah Tokyo hingga 29 Januari disebabkan oleh palung tekanan rendah di bahagian selatan wilayah timur negara itu, Kanto, kata agensi cuaca Jepun.
Agensi Meteorologi Jepun juga memberi amaran tentang salji yang dijangka turun lebat di kawasan timur laut dan barat di sepanjang pantai Laut Jepun.
Keadaan ini dijangka menyebabkan gangguan lalu lintas di bandar negara matahari terbit itu.
Justeru, agensi tersebut menggesa orang ramai supaya berhati-hati terhadap jalan raya yang licin dan kemungkinan berlakunya runtuhan salji.
Menurut agensi itu, salji lebat berkemungkinan berlaku di kawasan yang jarang dilihat di sepanjang Pantai Pasifik di timur Jepun, termasuk Tokyo, serta di barat Jepun sehingga 30 Januari.
Dalam tempoh 24 jam sehingga 6 pagi (5 pagi waktu Singapura) pada 30 Januari, bahagian selatan Kanto berkemungkinan akan menyaksikan salji sehingga satu sentimeter.
Agensi itu berkata jisim udara sejuk dijangka bergerak ke kepulauan dan corak tekanan musim sejuk yang kuat akan berterusan.
Media sebelum ini melaporkan wilayah Yamagata - sekitar tiga jam dengan menaiki kereta api daripada Tokyo - diselaputi salji setebal 10 hingga 12 meter pada musim sejuk.
Rupa buminya yang kasar dan dataran tinggi menjadikannya lokasi yang paling sesuai untuk pemain ski yang mahir dan baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut. - Agensi berita

