Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBF, KPMG saran tingkat bantuan buat peniaga, semak kuota pekerja asing

Jan 8, 2024 | 5:10 PM
BANTU PENIAGA: Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan KPMG Singapura mengemukakan beberapa cadangan pada 8 Januari untuk Belanjawan 2024 bagi membantu perniagaan mengekalkan daya tahan, terus berkembang dan menjalani transformasi. (Dari kiri) Ketua Pegawai Dasar SBF, Encik Musa Fazal; rakan kongsi dan Ketua Cukai KPMG, Encik Ajay Kumar Sanganeria; rakan pengurusan KPMG, Cik Lee Sze Yeng; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon; dan rakan kongsi KPMG, Encik Yong Jiahao.
BANTU PENIAGA: Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan KPMG Singapura mengemukakan beberapa cadangan pada 8 Januari untuk Belanjawan 2024 bagi membantu perniagaan mengekalkan daya tahan, terus berkembang dan menjalani transformasi. (Dari kiri) Ketua Pegawai Dasar SBF, Encik Musa Fazal; rakan kongsi dan Ketua Cukai KPMG, Encik Ajay Kumar Sanganeria; rakan pengurusan KPMG, Cik Lee Sze Yeng; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon; dan rakan kongsi KPMG, Encik Yong Jiahao. - Foto KPMG

Pemerintah harus menyediakan lebih banyak sokongan kewangan untuk membantu perniagaan menjalani transformasi dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon.

Sokongan itu boleh diberikan dalam bentuk berperingkat untuk perniagaan melakar usaha pendigitalan mereka, bermula dengan sedikit geran sebanyak 20 peratus bagi memantapkan operasi belakang pejabat dan pendigitalan, hingga ke geran lebih tinggi sebanyak 60 peratus untuk lejar digital dan teknologi AI.

Ini adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan oleh SBF dan KPMG Singapura (KPMG) pada 8 Januari untuk Belanjawan 2024 bagi membantu perniagaan mengekalkan daya tahan, terus berkembang dan menjalani transformasi dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

“Kos perniagaan yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lemah merupakan kebimbangan utama yang dihadapi perniagaan Singapura. Sesetengah pemacu kos ini mungkin berterusan dalam jangka sederhana hingga panjang dan boleh menjejas daya saing perniagaan.

“Untuk kekal berdaya saing, perusahaan memerlukan sokongan dalam pendigitalan, kemampanan dan pengantarabangsaan untuk membina nilai yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa hadapan,” kata Encik Kok.

Cadangan tersebut juga menyeru agar pemerintah mengkaji semula geran dan program subsidi sedia ada seperti Skim Inovasi Perusahaan atau Geran Penyelesaian Produktiviti.

Ini akan membolehkan perusahaan lebih kecil membayar hanya kos bersih penyelesaian tersebut untuk membantu mereka dengan aliran tunai dan penyedia kemudiannya boleh menuntut baki subsidi terus daripada pemerintah.

Ia menambah bahawa perniagaan juga boleh mendapat manfaat daripada skim geran yang lebih umum yang merangkumi kos peningkatan kemahiran pekerja, kos penggunaan AI dan pembelajaran mesin, dan kos yang terlibat dalam membina set data latihan, analisis data dan ujian.

“Perusahaan lebih kecil juga akan mendapat manfaat daripada sokongan pemerintah untuk meningkat kemahiran dan melatih semula pekerja mereka dalam teknologi baru muncul, seperti AI, untuk memperoleh keupayaan yang diperlukan untuk mengurus ancaman siber baru dan kian berkembang,” kata Encik Kok.

Bagi membantu perusahaan kecil yang bergantung banyak kepada projek pemerintah, cadangan itu juga meminta agar beberapa pelarasan dibuat kepada proses tender perolehan pemerintah, termasuk mengkaji semula strategi tender dan menguatkuasa keperluan subkontrak bagi syarikat lebih besar.

Ini akan mengurangkan kesan ke atas aliran tunai dan meringankan beban kewangan yang dihadapi perusahaan kecil dengan memperkemas proses pembayaran dan memperkenalkan kriteria pensijilan yang terikat dengan petunjuk prestasi utama.

“Iklim ekonomi yang tidak menentu akan menimbulkan cabaran lebih besar kepada perusahaan kecil dan pemerintah memainkan peranan penting dalam memastikan perusahaan-perusahaan ini terus kekal dan berkembang.

“Untuk membolehkan perusahaan kecil bersaing dengan lebih adil bagi projek pemerintah, proses tender boleh dipermudahkan lagi dengan mengeluarkan jargon yang berlebihan dan keperluan yang kompleks,” kata Ketua Pegawai Dasar SBF, Encik Musa Fazal.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan SBF dan KPMG menggesa pemerintah mengkaji semula Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (Compass) untuk melonggarkan kriteria kuota kepelbagaian dalam jangka masa pendek, memandangkan kesukaran yang dihadapi syarikat memenuhi kriteria berikutan pasaran pekerja yang ketat.

Ia menambah bahawa menyediakan fleksibiliti dalam pelarasan kuota untuk Skim Tenaga Manusia bagi Keutamaan Ekonomi Strategik (M-SEP) akan membantu syarikat menyelaraskan tenaga kerja mereka dengan keadaan yang semakin berubah.

Cadangan itu juga menggesa pemerintah mengkaji semula kuota pekerja asing semasa untuk membolehkan kuota tersebut disandarkan kepada peranan pekerjaan, bukannya klasifikasi semasa yang merangkumi peranan pekerja kolar putih dan biru.

“Fleksibiliti untuk mendapatkan tenaga kerja asing juga penting bagi perusahaan, terutama dalam sektor perkhidmatan, untuk mengekalkan operasi mereka dan menarik bakat,” kata Encik Musa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg