SIAPA kata wanita berbadan gempal tidak boleh bergaya?
Fesyen pakaian wanita hari ini telah melalui banyak perubahan dan kumpulan wanita bertubuh gempal ini juga tidak mahu ketinggalan.
Melihat banyaknya permintaan dan keperluan untuk busana sedemikian, Cik Noraiza Ahmad Mokhtar telah menubuhkan perniagaan pakaian khusus untuk kaum Hawa bertubuh gempal atau saiz 'plus' sejak 2009.
Menurutnya, sedekad yang lalu, fesyen saiz 'plus' sebegini agak sukar dibeli atau didapati di pasaran tempatan, jika adapun, harganya agak tinggi dan bukan untuk pasaran Muslimah.
Sambutan yang begitu memberangsangkan mendorong beliau meneroka lebih jauh dan sehingga beliau pernah memiliki empat kedai di serata Singapura.
Kedai pertamanya dibuka di Marsiling, manakala kedai kedua dibuka di kawasan Teban Gardens, kemudian di Yishun dan yang terakhir pula di Clementi Ave 2.
Namun tiga daripadanya telah ditutup kerana kontrak penyewaan sudah tamat dan kini tinggal hanya kedai di Blok 352, Clementi Ave 2 - Nur Aruniza Fashion - yang masih beroperasi sehingga kini.
Beliau juga mengusahakan jualan dalam talian sejak 2014 lagi.
Ketika baru berniaga dahulu, Cik Noraiza, 44 tahun, berkata syarikatnya merupakan yang awal menyediakan busana bersaiz besar, dan menjadi tukikan sehingga ke hari ini.
Beliau mendapatkan bekalan pakaian dari luar negara seperti dari China, Indonesia dan India, dan mempunyai kilang membuat pakaian sendiri di Malaysia.
Bagi kasut pula, beliau mendapatkan bekalan dari Vietnam. Baju yang dijual di sini bermula dari saiz S hingga 8XL, dan berharga dari $20 untuk sehelai blaus.
"Ketika baru berniaga dahulu, saya memulakan perniagaan ini seorang diri dan dibantu dengan dua pembantu sambilan.
"Memandangkan saya juga bertubuh gempal, maka saya dapat merasai keterbatasan orang-orang bersaiz plus saiz ini untuk mendapatkan pakaian mereka.
"Memang sukar. Kalau ada pun fesyennya agak lapuk, tidak moden dan tidak menepati citarasa mereka.
"Saya ingin menepis stigma bahawa wanita berbadan gempal tidak boleh bergaya dan memaparkan bahawa mereka juga boleh kelihatan elegan dan cantik, asal saja pakaian yang digayakan itu sejajar dengan kemahuan, sopan dan mampu menepati cita rasa mereka.
"Penggayaan dengan penggunaan tona terang, bercorak kecil dan abstrak juga masih boleh dipadankan, dan bukan hanya bergaya dengan pakaian berwarna malap dan gelap seperti warna hitam sahaja.
"Saya berharap dengan adanya perniagaan fesyen untuk saiz 'plus' ini, wanita berbadan gempal mempunyai lebih banyak lagi pilihan untuk busana tradisional, moden dan ranggi beserta pilihan tudung dan kasut.
"Yang pasti, saya berharap perniagaan pakaian saya ini dapat memenuhi keperluan kaum Hawa, khususnya yang berbadan gempal di sini," katanya.
CABARAN PERNIAGAAN SEMASA PANDEMIK, HARGA TURUN
Walaupun mengakui terjejas dengan penularan Covid-19, Cik Noraiza berkata, syarikatnya masih mampu bertahan kerana ada tukikan penjualan.
Menurutnya, penjualan dalam talian dan jualan secara 'live' atau secara langsung di media sosial kekal stabil dan mampu menarik minat pembeli setianya, meskipun kedai fizikalnya terpaksa ditutup di fasa pertama beberapa bulan yang lalu.
Beliau telah menurunkan harga barangan jualannya sehingga 25 peratus, kerana memahami keperitan yang dihadapi pelanggannya.
Beliau ingin melihat kegembiraan terpancar di wajah para pelanggannya dengan memastikan setiap pembelian di kedainya menawarkan pengalaman manis dan menyenangkan kepada kededua belah pihak.
"Seperti perniagaan yang lain, syarikat saya juga turut terjejas dengan penularan ini.
"Malah, lebih 500 pasang busana untuk koleksi Hari Raya yang lalu sukar dijual. Namun saya bersyukur kerana penjualan dan pembelian dalam media sosial begitu memberangsangkan.
"Pengalaman sedekad dalam perniagaan banyak membantu saya terus bertakat dalam suasana yang mencabar ini.
"Saya juga memahami kesukaran yang dihadapi sebilangan pelanggan saya, justeru harga produk di kedai ini telah diturunkan lebih 20 peratus supaya tidak membebankan mereka, dan mereka pula masih boleh menyokong perniagaan ini," ujar ibu tiga anak itu lagi.
Memandang ke hadapan, Cik Noraiza berharap syarikat pakaian plus saiz-nya mampu bertahan, dapat mengekalkan dan menguatkan lagi penjenamaan mereka.
Beliau berharap dapat membuka cawangan lagi.
Impiannya ialah membina 'empayar' pakaian yang gah di luar negara satu hari nanti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg