Pandemik Covid-19 telah mencetuskan pelbagai cabaran, termasuk dalam mencari pekerjaan dan penyesuaian dalam menjalani latihan. Namun, pelbagai program dan skim disediakan di tengah-tengah wabak ini untuk mencari peluang baru. Berikut kisah seorang lulusan baru yang menyertai peluang latihan di bawah Program Pelatih SGUnited. Sementara itu, pengarah eksekutif IAL, Profesor Lee Wing On, pula berkongsi pandangan tentang landskap pembelajaran bagi orang dewasa untuk 2022.

MESKIPUN mengalami masalah kecacatan tulang dan perlu berkerusi roda, Encik Akram Ramadan Misrawi tidak pernah mengenal erti kalah mahupun putus asa.

Bukan hanya aktif bermain badminton menggunakan kerusi roda secara kompetitif, jejaka berusia 25 tahun itu juga memiliki pekerjaan yang baik dalam sektor pertumbuhan yang kian penting hari ini, iaitu industri teknologi maklumat (IT).

Namun, perjalanannya mendapatkan pekerjaan dalam industri yang diidam-idamkan itu tidak mudah.

Seperti ramai lulusan baru yang tamat pengajian di tengah-tengah pandemik Covid-19, Encik Akram - seorang lulusan diploma dalam jurusan multimedia dan teknologi infokom dari Politeknik Nanyang - menghadapi cabaran mendapat pekerjaan tetap.

Beliau memohon beberapa pekerjaan dalam bidang IT, tetapi gagal mendapat sebarang jawapan.

"Apabila Covid-19 melanda di negara kita pada Januari 2020, saya sedang dalam tahun ketiga pengajian di politeknik, dan hampir selesai program bekerja sambil belajar.

"Oleh sebab saya telah pun merancang untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian, saya bimbang saya tidak boleh mendapatkan pekerjaan, dan benar, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan meskipun selepas menghantar resume kepada pelbagai syarikat," kata beliau, yang dilahirkan dengan skeletal dysplasia, atau kecacatan tulang, yang menyebabkan tulang tumbuh dalam bentuk dan saiz yang tidak normal.

Encik Akram mendapatkan banyak bantuan dan nasihat daripada keluarga dan rakan-rakannya, termasuk dalam cara mempertingkat resumenya supaya mempunyai peluang lebih tinggi mendapat pekerjaan.

Beliau kemudian mendapat tahu tentang Program Pelatih SGUnited melalui iklan televisyen dan juga menerusi SG Enable, sebuah agensi bagi menyokong golongan kurang upaya, apabila beliau mendekati mereka untuk mendapatkan pertolongan mencari pekerjaan.

Dengan bantuan seorang pekerja sosial di SG Enable, beliau memohon bagi tawaran latihan di bawah senarai pekerjaan sedia ada sebagai jurutera desktop.

Hasilnya, beliau mendapat panggilan daripada syarikat IT, NCS Pte Ltd, dan akhirnya, menyertai mereka sebagai pelatih eksekutif sokongan meja perkhidmatan dan pengguna akhir - sokongan operasi pada Ogos 2020.

Ini merupakan satu peluang emas bagi beliau kerana ia membuka pintu kepada beliau membina pengalaman dan kemahiran dalam industri IT.

Sebagai pelatih, tugas Encik Akram, antara lain, adalah untuk menyediakan sokongan IT kepada klien NCS dan menyelesaikan isu berkaitan IT.

Dek kesungguhan dan kerja kerasnya, beliau kemudian ditawarkan pekerjaan tetap dengan jawatan yang sama dengan syarikat itu, hanya lima bulan selepas menjalani latihan.

Malah, beliau kini dianggap sebagai 'abang' di tempat kerjanya kerana banyak memberikan bantuan kepada rakan sekerja, termasuk intern yang sedang menjalani program bekerja sambil belajar di syarikat itu.

"Dalam kumpulan saya, usianya pelbagai dan intern kami ada sikap ingin tahu tentang segala-galanya.

"Mereka telah mendekati saya dan tanya banyak soalan, saya cuba bantu mereka di mana boleh. Kumpulan kami sendiri berkongsi maklumat dan kami semua membantu dan berkongsi pengetahuan dengan satu sama lain, terutamanya yang lebih berpengalaman dalam kumpulan saya," kata beliau.

Berkongsi nasihat kepada lulusan baru yang menghadapi cabaran mendapat pekerjaan tetap, beliau berkata:

"Jangan putus asa dan jika ada masa, perbaiki 'resume' anda. Ambil peluang latihan atau bekerja sambil belajar untuk membina pengalaman anda supaya mempunyai peluang lebih baik mendapat pekerjaan tetap pada masa depan," kata beliau.

JANGAN PUTUS ASA

"Jangan putus asa dan jika ada masa, perbaiki 'resume' anda. Ambil peluang latihan atau bekerja sambil belajar untuk membina pengalaman anda supaya mempunyai peluang lebih baik mendapat pekerjaan tetap pada masa depan." - Encik Akram Ramadan Misrawi.