SINGAPORE Airlines (SIA) sedang meninjau peluang menggajikan sekitar 2,000 kru kabin dengan perjalanan udara disambung semula dan dijangka bangkit kembali.

Lebih 800 kru kabin telah pun menyertai SIA sejak Mac lalu. Sekitar tiga daripada lima orang yang digajikan merupakan bekas kru kabin yang meninggalkan tugas mereka sebelum ini.

Baki kru baru yang lain pula bakal diperolehi menjelang hujung tahun kewangan SIA buat masa ini iaitu sekitar Mac tahun depan, jelas SIA.

Ketua Eksekutif SIA, Goh Choon Phong, memberitahu akhbar The Sunday Times pada 24 Mei lalu:

"Kami bertindak proaktif, kami menjangkakan situasi akan dibuka kembali dan kami mahu menetapkan pemikiran jauh dan membuat persiapan awal."

Memandangkan kebanyakan kru kabin baru pernah bertugas dengan SIA Group, ini mengurangkan masa yang diperlukan untuk melatih mereka, tambahnya.

SIA tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai jumlah kru penerbangan yang ia miliki kini atas sebab sensitiviti komersial.

Kumpulan ini yang juga melibatkan penerbangan bajet Scoot, pada September 2020, memotong sekitar 4,300 jawatan merentasi khidmat penerbangannya.

Selepas mengambil keputusan mengenakan pembekuan pada pengambilan kakitangan, atrisi semula jadi dan pengambilan skim pengunduran sukarela, jumlah kakitangan yang perlu meninggalkan syarikat itu adalah kurang daripada 2,000 orang.

Sebelum langkah memberhentikan pekerja, SIA Group mempunyai sekitar 3,200 juruterabang dan hampir 11,000 kru kabin.