Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singtel lancar program bantu SME tangani serangan siber

Sep 21, 2023 | 5:57 PM
TANGANI SERANGAN SIBER: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singtel, Encik Ng Tian Chong, melancarkan satu program baru untuk bantu syarikat tangani serangan siber.
TANGANI SERANGAN SIBER: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singtel, Encik Ng Tian Chong, melancarkan satu program baru untuk bantu syarikat tangani serangan siber. - Foto ST

Satu program baru oleh Singtel bertujuan menyediakan syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk menangani ancaman serangan siber dengan lebih baik.

Program ‘Cyber Elevate’ yang akan ditawarkan oleh Institut Keselamatan Siber (CSI) Singtel itu termasuk bengkel dua hari.

Syarikat yang menyertainya akan dinilai dari segi profil risiko siber masing-masing dan belajar cara menghasilkan aliran kerja untuk mengenal pasti kejadian siber, serta apa yang perlu dilakukan apabila mesin dijangkiti perisian hasad, atau ‘malware’.

Ia akan juga menerima sokongan undang-undang dan forensik selama setahun daripada firma guaman Drew & Napier, serta syarikat respons kejadian siber, Blackpanda, yang merupakan rakan Singtel dalam program tersebut, lapor The Straits Times.

SME yang menyertai program tersebut juga layak menerima khidmat sokongan awan (cloud) selama setahun daripada Singtel tanpa kos tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singtel, Encik Ng Tian Chong, berkata SME lebih terdedah kepada serangan siber kerana ia kekurangan sumber atau pengetahuan untuk menangani kejadian sedemikian.

“Pasukan pakar kami akan bekerjasama dengan SME untuk membina keupayaan dan set kemahiran baru dalam mengesan serangan siber, mengenal pasti aset-aset penting untuk dilindungi dan menghasilkan aliran kerja bagi membataskan kesan serangan,” kata Encik Ng di premis CSI Singtel di Tampines pada Rabu.

Bercakap di acara bagi menandakan pelancaran program itu, Encik Ng menarik perhatian bahawa firma-firma berkenaan akan juga diberi kaunseling.

Ia termasuk mengenai cara melaporkan sesuatu pelanggaran dan memberi respons kepada pihak berkepentingan, serta cara mengendali serangan, bergantung kepada keperluan industri masing-masing.

Walaupun kedua-dua SME dan syarikat besar layak menyertai program baru itu, SME menikmati subsidi lebih tinggi dan hanya perlu membayar 10 peratus yuran, yang dihadkan pada $3,000.

Untuk layak sebagai SME, syarikat perlu didaftar dan diperbadankan di Singapura dan mempunyai minimum 30 peratus pegangan saham tempatan oleh warga atau penduduk tetap Singapura, dengan pendapatan jualan tahunan tidak melebihi $100 juta dan mempunyai tidak lebih 200 pekerja.

Sebuah syarikat yang telah mendaftar bagi program tersebut ialah kedai pastri Polar Puffs & Cakes.

Ketua Eksekutifnya, Encik Francis Looi, berkata daya usaha itu akan memberi firmanya peluang untuk meneliti sama ada pelbagai langkah keselamatan siber sedia ada menyediakan perlindungan yang mencukupi terhadap serangan siber.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg