Syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat telekomunikasi Korea Selatan, SK Telecom (SKT) untuk menjalin kerjasama bagi membina rangkaian generasi seterusnya sepanjang dua tahun akan datang.
Kerjasama tersebut akan mendorong inovasi, meningkatkan prestasi rangkaian dan keselamatan, serta menambah baik pengalaman pelanggan, menurut Singtel dalam satu kenyataan akhbar pada 8 Julai.
Ketua prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di SKT, Encik Kang Jong-ryeol, berkata kerjasama tersebut adalah “langkah pertama yang penting dalam mencorak masa depan industri telekomunikasi sedunia”.
Di bawah MOU itu, kededua pihak berhasrat meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan “alat perancangan”, di samping meningkatkan pengetahuan mereka mengenai teknologi baru, termasuk teknologi maya.
Bidang kerjasama tersebut termasuk membangun lebih banyak “keupayaan penghirisan” rangkaian telefon.
Singtel menyifatkan kerjasama tersebut sebagai “penting untuk meletakkan asas yang diperlukan untuk maju ke (teknologi) 6G”, lapor The Business Times (BT).
“Dengan kerjasama SKT, kami bukan sahaja ingin menambah baik pengalaman pelanggan kami, malah memacu inovasi industri dan membantu kami bersedia untuk berkembang kepada 6G,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan CEO bagi pembangunan perniagaan di Singtel Singapore, Cik Anna Yip.
Singtel dan SKT juga berhasrat membangun pelbagai huraian inovatif dan canggih yang membezakannya daripada pesaing, termasuk prasarana yang melaksanakan tugas “inferens AI”, selain menggunakan pengkomputeran pinggir atau ‘edge computing’ bagi mengurangkan beban tugas pengiraan oleh perkhidmatan awan.
“Inisiatif ini dijangka bukan sahaja meningkatkan ketersambungan, malah menawarkan khidmat AI yang unik kepada pelanggan dan membolehkan pengendali memulihkan perkhidmatan dengan lebih cepat, sekali gus menambah baik pengalaman pelanggan,” kata Singtel.
Selain itu, Singtel dan SK Telecom akan mengeluarkan satu kertas putih yang menjelaskan mengenai kemajuan yang dicapai oleh kededua syarikat itu dalam bidang seperti teknologi maya dan perkembangan rangkaian.
Kertas putih itu boleh membantu syarikat telekomunikasi lain di seluruh dunia untuk memanfaatkan keupayaan 5G dan membuat persiapan bagi 6G, kata Singtel.
“
“Inisiatif ini dijangka bukan sahaja meningkatkan ketersambungan, malah menawarkan khidmat AI yang unik kepada pelanggan dan membolehkan pengendali memulihkan perkhidmatan dengan lebih cepat, sekali gus menambah baik pengalaman pelanggan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg