Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Tharman: S’pura boleh rangsang pembangunan pembiayaan campuran bagi atasi cabaran semasa

Jun 23, 2023 | 11:46 PM
SESI DIALOG: Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam (kiri), menerangkan peranan yang boleh Singapura mainkan dalam memangkin kewangan untuk manfaat rantau dan dunia ketika menjawab soalan oleh editor bersekutu The Straits Times, Encik Vikram Khanna, yang juga moderator sesi dialog itu.
SESI DIALOG: Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam (kiri), menerangkan peranan yang boleh Singapura mainkan dalam memangkin kewangan untuk manfaat rantau dan dunia ketika menjawab soalan oleh editor bersekutu The Straits Times, Encik Vikram Khanna, yang juga moderator sesi dialog itu. - Foto ABS

Singapura boleh memainkan peranan pemangkin yang sangat penting dalam mengembangkan pembiayaan campuran yang terdiri daripada tiga sumber iaitu sektor awam, swasta dan dermawan untuk menangani cabaran seperti perubahan iklim, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Singapura, sebagai sebuah pusat kewangan terkemuka, dalam mendorong pelaburan untuk manfaat rantau dan dunia yang diajukan dalam sesi dialog semasa majlis sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Bank di Singapura (ABS) pada Jumaat.

“Cabaran yang kita hadapi memerlukan tahap pelaburan yang jauh lebih tinggi untuk jangka masa yang panjang, dan kita harus menganggap ini sebagai peluang pertumbuhan. Ia bukan beban ke atas ekonomi global.

“Jika kita berjaya melabur untuk pengurangan dan penyesuaian kesan perubahan iklim dan melabur untuk keperluan pembangunan dunia membangun, kita akan memberikan rangsangan yang sangat ketara kepada pertumbuhan global. Ia adalah peluang baru, tetapi ia memerlukan pembiayaan,” kata Encik Tharman.

“Dan tiada cara untuk sama ada sektor awam sendiri, sektor swasta sendiri atau sektor dermawan sendiri melakukannya. Ia memerlukan gabungan ketiga-tiganya.

“Beberapa teknologi yang diperlukan untuk pengurangan iklim masih belum terbukti atau diskalakan. Ia memerlukan penyertaan sektor awam.

“Beberapa risiko yang perlu diambil adalah di luar keupayaan penyerapan risiko sektor swasta dan mereka memerlukan dermawan untuk terlibat. Dermawan dengan keupayaan penyerapan risiko yang lebih besar.

“Tetapi kita boleh menyelesaikan masalah ini. Tidak ada kekurangan kekayaan dalam sistem. Tidak ada kekurangan modal dalam pasaran modal global. Kita perlu mengaturnya, kita perlu memberi dorongan. Model baru kerjasama dermawan-awam-swasta inilah yang diperlukan,” tambahnya.

Encik Tharman berkata salah satu sumber penting yang sedang diteliti ialah pejabat keluarga tunggal iaitu entiti yang menguruskan aset untuk atau bagi pihak hanya satu keluarga dan dimiliki atau dikawal sepenuhnya oleh ahli daripada keluarga yang sama.

Beliau berkata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Julai akan membuat pengumuman tentang peningkatan yang boleh dibuat kepada skim pejabat keluarga tunggal, bagi membolehkan mereka untuk melabur dalam amal dan bukan hanya mempunyai akaun perbelanjaan perniagaan tradisional untuk tujuan hak istimewa cukai, melabur dalam modal konsesi atau menyediakan geran untuk pembiayaan campuran, dan melabur dalam pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim.

“Perubahan-perubahan ini akan menjadi peningkatan penting yang kita akan buat kepada pejabat keluarga tunggal.

“Tetapi secara keseluruhan, apa yang perlu kita lakukan ialah mengukuhkan keseluruhan ekosistem modal, kepakaran, dan belas ihsan… untuk menangani perubahan iklim, pemanasan global, kehilangan biodiversiti dan krisis air global.

“Selain itu, terus memberi perhatian kepada tujuan sosial lain di sekeliling kita. Tujuan sosial lain yang memerlukan belas ihsan, kesan, pelaburan, dan penglibatan yang mendalam dalam masyarakat,” kata Encik Tharman.

Di acara itu, ABS melancarkan satu inisiatif yang akan mengendalikan sebuah rekod urus niaga kewangan perdagangan terpusat di Singapura dengan selamat.

Dinamakan Pendaftaran Kewangan Perdagangan (TFR), usaha industri itu bertujuan mengurangkan risiko pembiayaan duplikasi untuk perdagangan asas yang sama, dan akan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan di kalangan bank dan pedagang, serta mengukuhkan peranan Singapura sebagai sebuah hab perdagangan utama.

TFR akan menghapuskan ketidakseimbangan maklumat yang dihadapi oleh bank dan memudahkan pengesanan pembiayaan duplikasi.

Bank yang mengambil bahagian akan mendaftarkan urus niaga pembiayaan perdagangan baru pada TFR, dan jika sebarang urus niaga baru itu didapati diduplikasi, ini akan mencetuskan pemberitahuan dalam masa hampir nyata untuk tindakan selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg