Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SME S’pura digalak sedia pengaturan kerja fleksibel

Jun 20, 2023 | 03:55 PM



Aturan kerja fleksibel semakin penting bagi pekerja dalam landskap pekerjaan hari ini dan dunia pasca-pandemik dan syarikat di seluruh dunia sedang meneroka cara melaksana aturan sedemikian.

Begitu juga dengan Singapura, dan pada Isnin sekitar 100 wakil daripada syarikat kecil dan sederhana (SME) di sini membincangkan cara melaksana aturan kerja fleksibel secara berkesan dan mampan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat, lapor The Straits Times.


Meskipun aturan kerja sedemikian boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-duanya, majikan dan pekerja, syarikat lebih kecil berdepan cabaran seperti mempunyai tenaga kerja lebih kecil dan kekurangan sumber serta rangkaian.

Bagi pekerja, mempunyai pilihan pengaturan kerja fleksibel telah meningkatkan kepuasan kerja mereka secara keseluruhan, memastikan kadar pengekalan yang lebih tinggi dan mewujudkan tenaga kerja yang lebih terlibat.

Kerja fleksibel juga membolehkan majikan memenuhi keperluan dan jangkaan kakitangan daripada demografi dan latar belakang berbeza dengan lebih baik.

Dialog itu juga menonjolkan peri perlu usaha yang melibatkan seluruh masyarakat untuk memupuk norma tempat kerja mesra keluarga serta kepentingan mengukuhkan sokongan bagi membina sebuah Singapura yang dibangunkan bagi keluarga.

Panelis di dialog itu termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah; dan Menteri Negara (Tenaga Manusia dan Pendidikan), Cik Gan Siow Huang.

Cik Indranee membincangkan isu yang boleh menjejas tenaga kerja di Singapura, termasuk penduduk semakin tua, kadar kesuburan yang rendah dan pasaran pekerjaan yang ketat.

Beliau berkata dalam dunia pascapandemik, terdapat unsur-unsur kehidupan bekerja yang telah terbiasa oleh orang ramai, sambil menekankan bahawa generasi yang berbeza mempunyai keutamaan dan pendekatan kerja yang berbeza.

Misalnya, generasi ‘baby boomer’ mahukan “kesetiaan dan kestabilan” sementara generasi milenial mengutamakan “fleksibiliti dan kebebasan untuk mengimbangi kerja dan kehidupan dengan lebih berkesan”.

Untuk memikat dan mengekalkan bakat daripada pelbagai generasi, majikan harus faham keperluan setiap generasi.

Beliau menambah bahawa keluarga juga kini menghadapi stres yang lebih dan pekerja telah melaporkan kebimbangan menguruskan komitmen kerja serta keluarga.

Cik Indranee berkata meskipun ramai yang berfikiran bahawa aturan kerja fleksibel bermakna bekerja dari rumah, ada banyak cara mewujudkan aturan tersebut.

Ini termasuk waktu kerja fleksibel, waktu kerja berperingkat, pengaturan kerja hibrid ataupun beban kerja yang fleksibel berdasarkan keperluan syarikat dan pekerja.

Dalam pada itu, Cik Gan berkata Garis Panduan Tiga Pihak bagi Aturan Kerja Fleksibel akan dikeluarkan pada 2024, dan menekankan bahawa sokongan daripada pihak pengurusan tinggi adalah penting dalam menjayakan aturan tersebut.

Encik Ang Yuit, naib presiden Persatuan SME, berkata: “Sedang SME melangkah ke dunia pasca-Covid-19, penekanan terhadap modal insan menjadi lebih mendesak bagi pertumbuhan dan kestabilan SME.

“Mengguna pakai model FWA (aturan kerja fleksibel) yang sesuai dengan sifat perniagaan setiap SME adalah komponen penting dalam rangka kerja modal insan perniagaan.

“Majikan yang mempunyai FWA boleh menarik dan mengekalkan bakat dengan lebih baik, termasuk memanfaatkan kumpulan bakat yang lebih besar. Pekerja boleh menikmati keharmonian kerja-kehidupan yang lebih baik dan kesejahteraan mental.

“Saling percaya dan persefahaman adalah penting supaya semua pihak dapat meraih manfaat daripada FWA.”

Beliau menambah bahawa pandemik Covid-19 telah menunjukkan pengaturan kerja fleksibel, yang pada awalnya dianggap ramai tidak dapat dilakukan, boleh berfungsi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >