Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

S’pura boleh terajui usaha dunia maritim ke arah pendigitalan

Apr 23, 2024 | 06:28 PM



Hab perkapalan Singapura berada dalam kedudukan baik untuk menerajui dunia dalam usaha transformasi digital, nyahkarbon dan penggunaan teknologi hijau bagi industri tersebut, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) maritim di persatuan klasifikasi kapal DNV, Encik Knut Orbeck-Nilssen.

Pelbagai daya usaha mengenai bahan api karbon rendah, penggunaan tenaga elektrik bagi kapal pelabuhan dan rancangan mewujudkan koridor perkapalan hijau dan digital terpanjang di dunia dengan kerjasama Rotterdam, menjadi antara faktor yang akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai salah satu hab perkapalan paling menarik dan berdaya saing, dengan prasarana pelabuhan dan logistik yang kalis masa depan, katanya.

“Ini menunjukkan dedikasi Singapura sebagai tempat inovasi sedang berlaku,” katanya kepada The Straits Times (ST) dalam satu temu bual di luar acara Minggu Maritim Singapura 2024 yang berlangsung 15-19 April di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec.


Pada 15 April, Singapura turut dinobatkan sebagai bandar maritim terbaik dunia dalam laporan Bandar Maritim Terkemuka (LMC) yang disediakan bersama oleh DNV dan Menon Economics.

“Saya hanya datang ke sini untuk Minggu Maritim Singapura, dan saya melihat ramai pelawat antarabangsa, lebih daripada sebelumnya, yang membuktikan bahawa Singapura menunjukkan peranannya sebagai pusat sedunia bagi industri perkapalan.

“Ia juga ditunjukkan oleh laporan (LMC),” kata Encik Orbeck-Nilssen.

Beliau berkata bahawa DNV telah dan akan terus melibatkan Singapura dalam daya usahanya mengenai pendigitalan dan nyahkarbon.

Beliau turut menyebut mengenai projek percubaan bunker ammonia pertama di dunia di pelabuhan Singapura pada Mac, sebagai contoh daya usaha inovatif Singapura.

The Green Pioneer, sebuah kapal milik pelombong Australia, Fortescue, menjalankan operasi tersebut dengan sokongan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), agensi pemerintah, dan institut penyelidikan serta rakan industri seperti syarikat Vopak, yang mengendali terminal penyimpanan hibrid minyak, kimia dan gas bersepadu di Terminal Banyan di Pulau Jurong.

Kapal tersebut menerima notasi ‘Gas Fueled Ammonia’ oleh DNV untuk menggunakan ammonia yang digabung dengan diesel, sebagai bahan api kapal.

Encik Orbeck-Nilssen, yang berpangkalan di Oslo, Norway, berkata dedikasi pihak berkuasa Singapura untuk menjadikan hab maritim di sini kalis masa depan, dan tindakannya yang lincah, membantu mengumpul pelbagai pihak berkepentingan industri untuk bersama-sama menjayakan daya usaha tersebut.

Menurut anggaran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), ammonia dan hidrogen akan memenuhi lebih 80 peratus keperluan bahan api sektor perkapalan sedunia menjelang 2070, manakala bahan api rendah karbon lain seperti biobahan api diramal memenuhi kurang daripada 20 peratus keperluan tersebut.

Industri perkapalan, yang membawa sekitar 90 peratus barangan dagangan dunia, menyumbang sekitar 3 peratus jumlah pelepasan gas rumah hijau di seluruh dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >