Pelan induk dan rangka tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Singapura dan Malaysia semasa Rahat Pemimpin tahunan pada Disember seperti yang dirancang.

Edisi 2026 Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia itu, yang ke-13 diadakan, dijadual berlangsung di Malaysia.

Ditemu media pada 2 November, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata rangka tindakan itu mencerminkan visi jangka sederhana hingga panjang bagi pembangunan JS-SEZ.

“Untuk merealisasikan visi ini, usaha gigih diperlukan antara pelbagai agensi untuk memperhalusi inisiatif-inisiatif khusus merangkumi pembangunan bakat, pemudah cara pergerakan orang dan barangan, pemudah cara perdagangan dan pelaburan, serta pengangkutan dan keterhubungan.

“Oleh itu, semua ini adalah elemen sokongan penting untuk menghidupkan pelan induk ini dan merealisasikan faedah bagi kerjasama yang saling memberikan manfaat,” kata beliau.

Encik Chee memberi beberapa contoh di mana Singapura dan Malaysia bekerjasama untuk meningkatkan keterhubungan, termasuk dalam mempertingkat perkhidmatan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Johor, selain operasi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka bermula Februari 2027, serta perbincangan bagi menambah baik perkhidmatan feri.

Namun, beliau menambah bahawa banyak usaha masih perlu dilakukan untuk merealisasikan visi tersebut dan pelbagai agensi perlu memperhalusi beberapa inisiatif khusus.

Encik Chee bertemu Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pada 2 November, di mana mereka mempengerusikan bersama mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) yang diadakan di Flower Field Hall, Taman di Persisiran.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling.

Semasa mesyuarat itu, jawatankuasa tersebut diberi taklimat mengenai kemajuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Bersama JS-SEZ dan kumpulan-kumpulan kerjanya.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Encik Chee, Encik Akmal Nasrullah dan Datuk Onn Hafiz susulan mesyuarat itu, mereka berkata kedua-dua Singapura dan Malaysia mengalu-alukan usaha berterusan untuk menyokong perniagaan yang sedang meneroka peluang pelaburan di JS-SEZ, termasuk menerusi Pejabat Projek JS-SEZ Singapura dan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor di Malaysia.

Kedua-dua pihak turut mengambil maklum tentang inisiatif berterusan Malaysia di bawah Belanjawan 2027 untuk menyokong JS-SEZ, termasuk pembangunan Nexus Sedenak, penambahbaikan prasarana dan keterhubungan pengangkutan, pemudahan pelaburan strategik serta langkah memperkukuh khidmat kewangan di Forest City, di Johor.

Jawatankuasa itu turut mengambil maklum tentang kemajuan dan perancangan seterusnya yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kerja Bersama JS-SEZ, yang meliputi pembangunan prasarana dan kemudahan utiliti yang dirancang, diselaraskan dan disepadukan secukupnya dengan pelan pembangunan keseluruhan serta keperluan pelaburan yang dijangkakan.

Jawatankuasa Kerja Bersama itu juga melaporkan kemajuan baik dalam pelaksanaan yang berkesan, termasuk misi dan pendekatan pelaburan bersasar, realisasi pelaburan, keterhubungan rentas sempadan serta kerjasama pembangunan bakat antara kedua-dua negara bagi JS-SEZ.

Mengulas mengenai JSCMC, Encik Akmal Nasrullah berkata jawatankuasa itu merupakan wadah yang amat penting dan berguna bagi menteri serta agensi pemerintah Malaysia dan Singapura untuk berkumpul dan membincangkan bidang-bidang yang boleh memperkukuh kerjasama antara kededua negara.

Menurutnya, pelancaran rangka tindakan itu dijangka memberikan momentum lebih kukuh kepada pembangunan JS-SEZ pada 2027.

“Dengan adanya rangka tindakan ini, kita menjangkakan momentum pada 2027 akan menjadi lebih kukuh dari segi komitmen kedua-dua negara.

“Malah, sebelum rangka tindakan itu dilancarkan, kita sudah dapat melihat jumlah minat pelaburan yang diterima,” beliau.

Encik Akmal Nasrullah menambah bahawa dari segi kemajuan kerjasama zon ekonomi itu sendiri, angka pelaburan menunjukkan perkembangan yang baik.

JS-SEZ telah merakamkan RM88.83 bilion ($28.04 bilion) pelaburan yang diluluskan antara Januari 2025 dengan Jun 2026, dengan 45 peratus daripadanya telah dilaksanakan.

“Pencapaian yang telah kita raih setakat ini sebenarnya melebihi jangkaan, namun pada masa yang sama, masih terdapat ruang untuk kita terus melakukan penambahbaikan.

“Malah, kita boleh meneroka lebih banyak peluang dari segi strategi dan bidang yang boleh kita berikan tumpuan bersama pada masa hadapan.

“Contoh ini boleh diketengahkan dan ditampilkan apabila Singapura menjadi pengerusi Asean tahun depan (2027).

“Ini sesuatu yang kita harap dapat dibawa oleh Singapura ke tahap yang lebih tinggi bagi menunjukkan bahawa JS-SEZ boleh menjadi pintu masuk ke rantau ini dari segi pelaburan, kerjasama dan kolaborasi rentas sempadan,” kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti