Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura naikkan ramalan eksport 2026 kepada 30%-32%
Namun EnterpriseSG beri amaran risiko pembetulan lebih ketara bagi produk berkaitan AI, konflik Timur Tengah berpanjangan
S’pura naikkan ramalan eksport 2026 kepada 30%-32%
Singapura kini menuju ke arah pertumbuhan eksport sebanyak 30 peratus hingga 32 peratus pada 2026.
Agensi perdagangan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) menaikkan jangkaan Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) susulan prestasi eksport yang kukuh serta permintaan berterusan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Unjuran Nodx bagi keseluruhan 2026 dinaikkan selepas eksport mencatatkan pertumbuhan 45.8 peratus pada suku ketiga berbanding tempoh sama pada 2025, menurut laporan suku tahunan EnterpriseSG yang diterbitkan pada pagi 24 November.
Pertumbuhan dua angka pada suku ketiga ini melanjutkan pengembangan 27.4 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.
Ini telah mendorong EnterpriseSG menaikkan julat jangkaan rasminya daripada 3 peratus kepada 5 peratus.
Namun, pertumbuhan Nodx dijangka beransur sederhana kepada 5 peratus hingga 7 peratus pada 2027, berbanding asas tinggi pada 2026.
EnterpriseSG turut memberi amaran bahawa risiko penurunan itu termasuk “pembetulan yang lebih ketara daripada jangkaan dalam permintaan berkaitan AI, serta konflik yang berpanjangan di Timur Tengah”.
Walaupun dasar tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat pada awal 2026 menimbulkan kebimbangan terhadap perdagangan global, pengecualian bagi semikonduktor dan produk farmaseutikal yang ketara telah mengurangkan kesannya.
Kedua-dua industri itu merupakan antara sektor utama pembuatan Singapura.
“Kebimbangan tarif itu jelas sudah tidak lagi menjadi fokus utama,” kata ketua ahli ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, kepada The Business Times (BT), sambil memetik prestasi luar biasa Nodx elektronik pada 2026.
Pertumbuhan Nodx suku ketiga terus didorong oleh eksport elektronik, yang melonjak sebanyak 117 berbanding tempoh yang sama pada 2025, meningkat daripada 88.1 peratus pada suku kedua.
Kluster elektronik mencatatkan peningkatan berbanding tempoh yang sama pada 2025 dalam penghantaran litar bersepadu (83.2 peratus), produk media cakera (313.7 peratus) dan komputer peribadi (166.3 peratus).
Pertumbuhan turut disokong oleh sektor bukan elektronik, dengan penghantaran meningkat 20.8 peratus pada suku ketiga, berbanding 8 peratus sebelum ini.
EnterpriseSG berkata peningkatan itu didorong oleh “sokongan daripada eksport struktur kapal dan bot yang tidak sekata”, selain pertumbuhan eksport jentera khusus (40.2 peratus) dan emas bukan kewangan (70.1 peratus).
Cik Ling berkata eksport Singapura yang kukuh pada 2026 mungkin turut disebabkan oleh syarikat mempercepatkan penghantaran barangan sebelum tarif baharu dijangka dikenakan.
Beliau turut menjangka lonjakan daripada perbelanjaan modal AI di peringkat global juga berkemungkinan membawa kepada normalisasi, memandangkan wujudnya kesan asas yang “lebih mencabar” pada 2027.
Ahli ekonomi kanan Moody’s Analytics, Cik Denise Cheok, berkata permintaan berkaitan AI telah membantu mengurangkan kesan tarif dan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi.
Namun, beliau berkata kebimbangan pelabur terhadap pembiayaan dan penilaian syarikat AI semakin meningkat.
Ketidaktentuan mengenai peraturan penggunaan AI dan operasi pusat data turut menambah risiko.
Beliau memberitahu BT: “Kebergantungan yang semakin tinggi terhadap perkembangan AI boleh menyebabkan ekonomi lebih terjejas sekiranya berlaku kemerosotan mendadak dalam sektor itu.”