Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat berdaftar S’pura gulung tikar capai kadar tertinggi dalam 15 tahun

Mar 3, 2025 | 5:32 PM
Pasaran e-dagang, Qoo10, adalah salah satu syarikat yang terpaksa gulung tikar akibat timbunan hutang sebanyak AS$54 juta ($73 juta).
Pasaran e-dagang, Qoo10, adalah salah satu syarikat yang terpaksa gulung tikar akibat timbunan hutang sebanyak AS$54 juta ($73 juta). - Foto ST

Jumlah syarikat berdaftar di Singapura yang terpaksa ditutup mencapai angka tertinggi pada 2024.

Terdapat 307 pembubaran wajib sepanjang tempoh 12 bulan itu, peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding 201 kes pada 2023.

Ia juga telah melepasi angka tertinggi sebelum Covid-19 sebanyak 287 kes pada 2019.

Menurut data Kementerian Undang-Undang (MinLaw) di laman web mereka, jumlah yang dicatatkan pada 2024 juga merupakan yang tertinggi sejak data ini mula dikumpulkan pada 2009.

Meski angka ini telah meningkat, ia mewakili kurang 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan di sini.

“Jumlah ini masih sangat kecil. Mungkin belum terlalu membimbangkan”, kata ketua ahli ekonomi untuk rantau Asia-Pasifik di syarikat insurans kredit perdagangan Coface, Encik Bernard Aw.

Ketua amalan hartanah bersepadu di Yuen Law,  Encik Tris Xavier, berkata mahkamah mempunyai pelbagai sebab untuk mengarahkan sesebuah syarikat untuk ditutup, dan bukan semata-mata kerana ia tidak mampu membayar hutang.

Ini termasuk pertikaian antara pemegang saham, atau perniagaan teras syarikat tidak lagi wujud disebabkan perubahan dalam persekitaran perniagaan.

Pasaran e-dagang, Qoo10, adalah salah satu syarikat yang terpaksa gulung tikar akibat timbunan hutang sebanyak AS$54 juta ($73 juta).

Mahkamah Tinggi telah mengarahkan syarikat itu untuk tutup pada November 2024.

Encik Aw berkata tanda-tanda pertama kemerosotan dalam iklim perniagaan muncul pada 2024 apabila Coface melihat peningkatan dalam jumlah tuntutan daripada pemegang polisi yang mengambil insurans kredit perdagangan.

Insurans itu diambil sebagai perlindungan daripada ketidak pembayaran bagi barang dan perkhidmatan yang diberikan secara kredit – yang biasanya berlaku kerana masalah aliran tunai dan kesukaran kewangan yang dialami pelanggan.

Sektor yang terjejas termasuk syarikat dalam industri binaan, peruncit elektronik kecil, pengedar alat komputer, serta pembekal dan pengedar makanan dan minuman, kata Encik Aw.

Namun, situasi ini masih terkawal. Laporan terbaru daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menunjukkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) korporat – termasuk bagi syarikat kecil dan sederhana (SME), menurun kepada 1.8 pada suku ketiga 2024.

NPL merujuk kepada pinjaman bank yang telah tamat tempoh, atau kemungkinan tidak dapat dibayar sepenuhnya.

Nisbah NPL mengukur peratusan jumlah portfolio pinjaman bank yang gagal dibayar.

Encik Xavier berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sentimen industri tidak menunjukkan sebarang tanda kebimbangan serius terhadap kemerosotan ekonomi, kerana “angka itu tidak meningkat setinggi yang disangka ramai”.

Penanda aras kesihatan perniagaan dan prestasi SME juga menunjukkan syarikat ini kekal “sihat secara am”, tambah Encik Xavier.

SME merangkumi 99.5 peratus daripada firma di Singapura dan menggaji 71 peratus daripada tenaga kerja negara, lapor The Straits Times (ST).

Indeks SME OCBC kekal melebihi 50 pada suku keempat 2024 dan berada pada tahap itu sejak suku kedua 2024.

Sebelum itu, indeks SME telah jatuh di bawah 50 selama lima suku berturut-turut.

Bacaan melebihi 50 menunjukkan peningkatan, manakala bacaan di bawah 50 menandakan kemerosotan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Satu tinjauan oleh OCBC Bank terhadap 1,000 SME mendapati 48 peratus pemilik perniagaan jangkakan prestasi mereka akan meningkat, manakala 15 peratus menjangkakan prestasi yang lebih lemah pada separuh pertama 2025, menurut Ketua Perbankan Komersial Global OCBC Bank, Encik Linus Goh.

Sementara itu, Maybank Singapura melaporkan “pertumbuhan sihat sebanyak 28 peratus”, tahun ke tahun dalam pinjaman yang diberikan kepada pelanggan SME setakat Disember 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg