Topic followed successfully
Go to BHkuSyarikat kapal Taiwan Evergreen beri sehingga 52 bulan gaji sebagai bonus akhir tahun
Syarikat kapal Taiwan Evergreen beri sehingga 52 bulan gaji sebagai bonus akhir tahun
Syarikat kapal Taiwan Evergreen beri sehingga 52 bulan gaji sebagai bonus akhir tahun
TAIPEI: Bercakap tentang bonus, berapa banyak yang anda dapat baru-baru ini? Syarikat perkapalan gergasi Taiwan, Evergreen Marine, telah memberi ganjaran kepada pekerjanya dengan bonus besar-besaran akhir tahun sebanyak antara 10 dengan 52 bulan gaji setiap seorang, selepas mencatatkan keuntungan besar pada 2022. Media tempatan melaporkan bagaimana kebanyakan pekerja dengan gaji bulanan NT$40,000 (S$1,750) membawa pulang bonus bernilai NT$2 juta pada hujung minggu lalu, bersamaan dengan gaji empat tahun. Bonus 2022 itu lebih tinggi daripada bonus 40 bulan yang dibayar syarikat itu pada 2021, yang telah mencatat rekod pada masa itu bagi bonus akhir tahun tertinggi yang pernah dibayar syarikat tersenarai Taiwan, lapor The Straits Times. Pemulihan keuntungan bagi syarikat perkapalan kontena selepas penutupan semasa tempoh pandemik, serta harga penghantaran yang melambung tinggi, membantu syarikat itu melaporkan keuntungan bersih NT$304.35 bilion bagi tiga suku pertama 2022. Pendapatan tahun kewangan 2022 dijangka dikeluarkan pada Mac 2023. "Syarikat ini mempunyai pendapatan baik dan banyak lebihan tunai. "Memandangkan ia tidak secara agresif mengembangkan operasi perniagaannya, ia memberi sebahagian wang tunai itu dalam bentuk bonus untuk memberi ganjaran kepada pekerja, yang saya fikir adalah sangat munasabah," kata Profesor Chiou Jiunn-rong, pakar ekonomi dari National Central University di Taiwan. Syarikat Evergreen Marine tidak segera menjawab permintaan ST untuk memberi komen, walaupun ia sebelum ini memberitahu wartawan tempatan bahawa pekerja diberi pampasan berdasarkan prestasi mereka.

