Syarikat kesihatan digital Aevice Health yang berpangkalan di Singapura, memperoleh suntikan modal sebanyak AS$7 juta ($9.27 juta) untuk mengembangkan operasinya di Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.
Syarikat tersebut menghasilkan pelbagai barang boleh pakai yang membantu memantau dari jauh pesakit yang menghidap masalah pernafasan.
Ia turut membangunkan sebuah wadah yang menampilkan stetoskop boleh pakai bijak dan terkecil di dunia yang mengesan kadar pernafasan, kadar degupan jantung dan nafas berbunyi atau wheezing untuk menilai kesihatan paru-paru pesakit.
Menurut syarikat itu pada 12 Ogos, dana baru tersebut akan digunakan untuk menambah baik pembangunan produk, dengan matlamat menjadikan huraian syarikat itu “boleh didapatkan di mana-mana sahaja”.
Suntikan modal kali ini diketuai oleh syarikat penyedia modal Coronet Ventures, sebuah unit Cedars-Sinai Intellectual Property yang berpangkalan di Singapura.
Syarikat lain yang turut menyumbang dana kali ini termasuk East Ventures dan Seeds Capital, cabang pelaburan korporat Enterprise Singapore, lapor The Business Times (BT).
Dana terbaru itu diperoleh selepas syarikat pemula itu mendapat kelulusan di Amerika dan Singapura bagi AeviceMD – stetoskop boleh pakai bijak dan setelah ia menjalin kerjasama dengan pengeluar peralatan perubatan Jepun, A&D.
“Syarikat ini mempunyai pasukan sangat baik, dan laluan mantap (yang dimilikinya) untuk memasuki rangkaian penjagaan kesihatan dan pengedaran di Amerika meletakkannya di landasan betul untuk mengembangkan syarikat ini dengan pantas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coronet Ventures, Dr Nirdesh Gupta, mengenai Aevice Health.
CEO Aevice Health, Encik Adrian Ang, menarik perhatian bahawa sehingga kini, hanya terdapat beberapa huraian teknologi perubatan dalam pasaran yang menangani keperluan pesakit, walaupun penyakit pernafasan kronik terus menjadi punca utama kematian.
Sekitar 4 juta orang di serata dunia maut akibat penyakit pernafasan kronik, menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Aevice Health telah membangunkan antara produk pertama yang terdapat dalam pasaran, yang direka untuk memantau dari jauh pesakit yang menghidap penyakit pernafasan kronik,” kata Encik Ang.
Ditubuhkan pada 2018, syarikat teknologi perubatan itu adalah satu usaha susulan daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Pada 2021, Aevice Health mengumpul $2.8 juta dalam pusingan pembiayaan sebelum Siri A.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg