NTUC Enterprise (NE) dan Income Insurance pada lewat 4 Ogos menyangkal surat terbuka oleh mantan ketua eksekutif NTUC Income, Encik Tan Suee Chieh, yang mengkritik dan membantah tawaran syarikat insurans Jerman, Allianz, untuk membeli pegangan kawalan dalam Income Insurance dan menggesa pemerintah supaya menghentikannya.
Merujuk kepada surat Encik Tan pada 2 Ogos kepada pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Gan Kim Yong, yang disiarkan di media sosial, NE dan Income berkata “dengan membangkitkan bantahannya, beliau telah melemparkan kritikan kepada pihak berkepentingan berhubung transaksi yang dicadangkan ini. Kritikan ini tidak berasas dan sememangnya, tidak adil”.
Pada 17 Julai, Allianz menawarkan untuk membeli kepentingan mengawal sekurang-kurangnya 51 peratus dalam Income, sambil menilai perjanjian yang berpotensi mencapai $2.2 bilion.
Pada $40.58 sesaham, harga tawaran itu mewakili premium 37.3 peratus berbanding nilai aset bersih sesaham Income sebanyak $29.55 pada 31 Disember 2023.
Sekiranya perjanjian itu diluluskan, NE akan mengekalkan pegangan yang besar sehingga 49 peratus dalam Income, bergantung pada bagaimana pemegang saham minoriti menawarkan saham mereka.
NE kini memegang 72.8 peratus kepentingan dalam Income, manakala kira-kira 16,000 pemegang saham minoriti, termasuk pelabur institusi, memegang baki 27.2 peratus.
Encik Tan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income dari 2007 hingga 2013 dan CEO Kumpulan NE dari 2013 hingga 2017.
Dalam suratnya pada 2 Ogos, Encik Tan berkata NE telah meningkatkan pegangannya dalam Income antara 2015 dengan 2020, ketika penyedia insurans itu masih sebuah koperasi, dengan siri suntikan modal berjumlah $630 juta pada nilai tara $10 dan bukannya pada nilai pasaran. Ini telah mencairkan bahagian pemegang saham minoriti.
NE dan Income menyangkal perkara itu, dengan menyatakan bahawa sebagai koperasi pada masa itu, saham Income tidak didagangkan dalam pasaran terbuka.
Sebaliknya, saham itu dibeli dan ditebus pada nilai tara, atau nilai tetap yang ditetapkan, sebanyak $10 sesaham dan tidak mempunyai nilai pasaran.
Nilai saham koperasi itu diberi nilai tara $10 apabila ahli biasanya memasukkan modal ke dalam Income antara 1995 dengan 2004 dan juga apabila NE menyuntik $630 juta ke dalam Income antara 2015 dengan 2020, NE dan Income berkata dalam kenyataan mereka.
Encik Tan berkata dalam suratnya bahawa NE telah komited untuk tidak menebus sahamnya bernilai $630 juta dalam Income selama-lamanya, agar dapat melindungi misi sosial koperasi itu untuk menyediakan insurans mampu milik kepada pekerja berpendapatan rendah dalam jangka panjang, antara lain.
NE dan Income menyatakan bahawa dakwaan Encik Tan adalah salah, mengatakan bahawa NE telah komited dalam surat 2012 kepada MAS untuk menyokong Income supaya ia sentiasa mengekalkan kecairan dan kedudukan kewangan yang kukuh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg