Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Tebar jenama firma ke luar negara

Diberi tanggungjawab jaga operasi runcit Commonwealth Capital di S'pura sebagai Pengurus Besar
Oct 18, 2020 | 05:30 AM



SEJAK menyertai syarikat pelaburan makanan dan minuman (F&B) tempatan, Commonwealth Capital Pte Ltd, lebih enam tahun lalu, tugas Cik Roslina Shaharan ialah membawa jenama milik syarikat itu seperti PastaMania dan Gelato Fix ke luar negara.



Kini, syarikat itu mempunyai 24 cawangan PastaMania di 13 negara termasuk Kuwait, Malaysia dan Filipina.



Tahun lalu, portfolio Cik Roslina diluaskan lagi dan diberi tanggungjawab menjaga operasi runcit Commonwealth Capital Pte Ltd di Singapura sebagai Pengurus Besar (GM) (Unit Perniagaan Runcit) Commonwealth Capital.



Selain PastaMania yang mempunyai 20 cawangan di sini, beliau bertanggungjawab menjaga keseluruhan operasi runcit jenama-jenama milik syarikat itu sepenuhnya yang mempunyai 340 kakitangan.



Ia termasuk perniagaan sandwich, Kraftwich by Swissbake yang mempunyai empat cawangan; Kraftwich X PastaMania Pronto yang mempunyai dua cawangan, dua cawangan perniagaan daging ZacButchery dan sebuah restoran Commons yang terletak di Jewel. Perniagaan roti dan pastri, Swissbake terletak di 39 cawangan Cold Storage.



Wanita bersemangat waja itu menyertai syarikat itu pada 2014 sebagai ketua (antarabangsa) bagi bahagian pembelajaran dan pengembangan syarikat.



Beliau kemudian menaiki tangga kerjaya sebagai timbalan pengurus besar operasi pasaran antarabangsa (unit perniagaan antarabangsa) sebelum menjawat jawatannya sekarang yang dipegang sejak Oktober tahun lalu.



"Tugas saya ialah membawa jenama kami ke luar negara. Kami akan buat tinjauan pasaran, bertemu dengan rakan niaga francais di sana, melatih mereka sehinggalah mereka berjaya membuka perniagaan di sana,'' kata Cik Roslina.



Kesemua perniagaan di luar negara dimiliki penyewa francais di negara itu.



"PastaMania sudah pun berada di 13 negara. Kami dijadualkan membuka di tiga negara tahun ini tetapi oleh kerana berlakunya pandemik Covid-19, kami terpaksa menangguhkannya sehingga suku pertama dan kedua tahun depan.



"Dalam perancangan kami ialah membuka cawangan di Filipina, Malaysia dan Arab Saudi,'' ujarnya, sambil berkata syarikat itu akan terus meneroka peluang peluasan bagi membawa jenama makanan di luar Singapura.



Selain PastaMania, syarikat itu juga memiliki jenama Gelato Fix yang terdapat di luar negara seperti Bangladesh dan Maldives. Namun, jenama itu tidak terdapat di Singapura.



Di Singapura, beliau berkata peluang meluaskan perniagaan itu masih luas di sebalik pandemik Covid-19.



"Jika dilihat, restoran PastaMania lebih banyak dibuka di pusat beli-belah kejiranan sejajar dengan imej kami yang ingin dekat dengan penduduk.



"Covid-19 tidak mematahkan semangat untuk meluaskan perniagaan kami cuma bezanya saiz dan bilangan pekerja berkurangan dengan penggunaan teknologi,'' tambahnya.



Syarikat itu aktif melatih kakitangannya agar mereka melihat prospek kerjaya yang baik dalam syarikat.



PastaMania merupakan antara syarikat tempatan yang menyertai Program Kemahiran Semula Rekaan Semula Pekerjaan bagi Industri Khidmat Makanan yang diperkenalkan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).



Di bawah program itu, sebilangan cef mereka boleh melayan tetamu yang datang di restoran, manakala pengurus khidmat, yang biasa mengambil tempahan pelanggan di restoran, tidak kekok memasak di dapur.



Syarikat itu pantas membuat perubahan dan penyesuaian semasa pandemik ini.



"Kami menumpukan perhatian terhadap kekuatan utama kami iaitu penghantaran makanan bagi jenama PastaMania dan meletakkan jenama Swissbake kami di pasar raya.



"Bagi ZacButchery, kami menyediakan khidmat e-dagang dan juga di dua cawangan runcit kami di SingPost Paya Lebar dan Figaro Street,'' ujarnya.



Commonwealth Capital merupakan syarikat pelaburan F&B milik warga Singapura yang mempunyai 1,200 kakitangan secara keseluruhan.



Selain jenama yang dimiliki syarikat 100 peratus, syarikat itu juga melabur dalam jenama lain yang tidak dimiliki sepenuhnya seperti The Soup Spoon, baker&Cook dan Udders.



Menjadi seorang wanita yang mewakili syarikatnya di dalam dan luar negara tidak menjadi masalah bagi beliau.



"Apa yang saya lihat, apabila saya berinteraksi dengan rakan-rakan niaga di luar negara, mereka menghormati saya sebagai seorang wanita,'' katanya, yang pernah menjadi timbalan pengarah pembangunan khidmat Fish & Co yang juga bertanggungjawab dalam operasi antarabangsa syarikat itu.



Bahkan, sebagai wanita Melayu/Islam, beliau juga tidak menghadapi cabaran untuk maju dalam kerjayanya.



"Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan syarikat ini dan pemimpin yang mempunyai kepercayaan terhadap saya,'' tambahnya.




Apa yang saya lihat, apabila saya berinteraksi dengan rakan-rakan niaga di luar negara, mereka menghormati saya sebagai seorang wanita... Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan syarikat ini dan pemimpin yang mempunyai kepercayaan terhadap saya.
- Cik Roslina Shaharan




BUTIR MENGENAI COMMONWEALTH CAPITAL



  • Commonwealth Capital Pte Ltd merupakan syarikat pelaburan Singapura yang melabur dalam portfolio F&B

  • Ia memiliki jenama seperti PastaMania, Kraftwich, Kraftwich X PastaMania Pronto, ZacButchery, Commons dan Swissbake yang 100 peratus milik syarikat.

  • Syarikat itu juga mempunyai perkongsian dalam jenama-jenama F&B seperti Udders dan The Soup Spoon.

  • Portfolio syarikatnya meliputi pembiakan Barramundi, pengilangan daging, roti dan pastri, aiskrim, produk siap dimakan.

  • Ia mempunyai gudang dan khidmat logistik bagi peruncit makanan dan menguruskan 300 cawangan runcit di 13 negara.

  • Kumpulan itu menggajikan lebih 1,200 pekerja dan bermatlamat membangunkan perniagaan makanan secara agresif bagi lima tahun mendatang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >