Tesla tidak lagi menetapkan matlamat untuk mengeluarkan 20 juta kenderaan elektrik setahun menjelang 2030, dalam laporan kesan terbarunya yang diterbitkan pada 23 Mei.
Ia adalah satu lagi petanda syarikat itu kini mengalihkan tumpuan daripada kereta elektrik kepada teksi robot (robotaxi).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk, berkata pada 2020 Tesla bercita-cita menjual 20 juta kenderaan menjelang akhir dekad ini, iaitu, seganda lebih banyak daripada kenderaan yang dijual oleh Toyota, pembuat kereta terbesar di dunia.
Ia menyatakan sekali lagi matlamat tersebut dalam laporan kesan syarikat itu pada 2021 dan 2022, menurut Reuters.
Bagaimanapun, syarikat tersebut mengubah haluan perniagaannya baru-baru ini, menggugurkan rancangan mengeluarkan model kereta elektrik terbaru berharga AS$25,000 ($33,800), sambil mempromosikan teknologi pemanduan autonomi sebagai sumber pertumbuhan utamanya.
Tesla merancang mengadakan acara pelancaran teksi robotnya pada 8 Ogos.
Teksi robot, dan satu lagi robot berbentuk manusia yang digelar Optimus buatan Tesla, “akan memberi (kesan) mendalam” kepada Tesla, kata Encik Musk pada 23 Mei melalui satu siaran video semasa persidangan tahunan “Viva Technology” di Paris.
Pada April, beliau berkata bahawa Tesla ingin melancarkan model kereta baru, termasuk kereta elektrik mampu milik, seawal akhir 2024.
Namun, Tesla menyatakan ia akan menggunakan kilang pengeluarannya yang ada sekarang untuk kenderaan mampu milik baru itu, dan bukannya kilang baru.
Dengan itu, ia membuat perubahan strategik yang menyebabkan pengurangan kos lebih kecil, dan pertumbuhan sederhana dalam jumlah pengeluaran kenderaan.
Berita bahawa Tesla telah mengalihkan tumpuan daripada pengeluaran kereta elektrik lebih murah kepada teksi robot, pertama kali dilaporkan Reuters.
Penyelidik kanan di Leverage Shares, yang memiliki saham Tesla, Encik Sandeep Rao, berkata: “Walaupun pada masa ini syarikat ini berjanji untuk memperkenalkan model kereta mampu milik pada masa depan, ini tidak semestinya bermakna kereta yang dilancarkan nanti berharga AS$25,000.”
Permintaan bagi kenderaan elektrik yang meningkat pada rentak lebih perlahan, dan persaingan sengit dalam pasaran itu, telah menjejas permintaan bagi kenderaan Tesla.
Jumlah kenderaan Tesla yang dijual meningkat 38 peratus pada 2023, lebih rendah daripada sasaran tahunan jangka panjangnya sebanyak 50 peratus.
Selain Amerika Syarikat, beberapa syarikat di China juga sedang bersaing untuk menghasilkan teksi robot.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg