Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Thailand ramal harga beras stabil walau India masih larang eksport

Sep 26, 2023 | 06:44 PM



Harga beras dijangka stabil di peringkat global tidak lama lagi selepas hampir tiga bulan menghadapi gangguan bekalan disebabkan tindakan India, yang secara mengejut melarang penghantaran beras bukan basmati pada Julai.

Ramalan itu dibuat Persatuan Pengeksport Beras Thailand (Trea) menyusuli larangan India mengeksport beras pecah, yang berkuat kuasa setahun lalu, dan masih berkuat kuasa kini, lapor The Business Times.


Sambil menyifatkan tempoh dua bulan lalu sejak larangan eksport terbaru India bagi beras sebagai menimbulkan “huru-hara” bagi industri itu, Presiden Trea, Encik Charoen Laothamatas, yang cenderung menetapkan harga beras dunia, menjelaskan bahawa tindakan Pakistan meningkatkan bekalan berasnya awal bulan ini telah membantu memulihkan harga makanan ruji itu.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), harga beras putih telah berkurang daripada paras tertinggi sejak 12 tahun lalu, iaitu AS$646 ($883) setan pada 30 Ogos lalu, kepada AS$612 setan pada 20 September lalu.

India, yang bimbang dengan kekurangan makanan di negaranya kerana jangkaan kemarau disebabkan kembalinya fenomena cuaca El Nino, mengenakan larangan eksport beras putih bukan basmati pada 22 Julai, dan ini menyebabkan lonjakan harga beras yang naik sebanyak AS$100 setan pada Ogos, berbanding setahun lalu.

Harga beras di pasaran global ketika ini setanding pada 2008, apabila India mencetuskan ‘krisis makanan’ pada waktu itu dengan melarang eksport beras, selepas Australia mengalami tanaman gandum yang terjejas teruk akibat kemarau, dan mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan makanan di peringkat global.

India merupakan pengeksport beras terbesar dunia, dan menyumbang sebanyak 22 juta tan beras pada 2022, atau kira-kira 40 peratus daripada pasaran global.

Thailand dan Vietnam bersaing pada kedudukan kedua setiap tahun, dan masing-masing mengeksport sekitar lapan juta tan beras.

Pakistan biasanya menduduki tempat keempat, jauh di belakang.

Selepas mengalami banjir dahsyat pada 2021, Pakistan dijangka mengeksport 3.5 juta tan beras tahun ini.

Ini membantu mengisi kekosongan pasaran yang ditinggalkan oleh India, yang mungkin menyaksikan eksport berasnya merosot kepada 18 juta tan, menurut anggaran Trea.

Secara keseluruhan, harga beras di peringkat global telah meningkat sejak Mei 2022, apabila Indonesia mula mengimport beras dalam jumlah yang besar untuk meningkatkan simpanan berasnya kerana menjangka tanaman dalam negeri yang lemah tahun ini dan pada 2024.

Ini disebabkan El Nino, yang biasanya mencetuskan cuaca kering di Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Kemarau yang teruk boleh mengurangkan penghasilan beras Thailand sebanyak 10 hingga 15 peratus tahun depan.

Namun, sejauh ini, tiada tanda yang menunjukkan cuaca kering akan menjejas penuaian utama padi pada November dan Disember, kata Encik Charoen, yang telah mengetuai Trea sepanjang sedekad lalu.

“Jika anda bercakap tentang cuaca, ia tidaklah begitu buruk (lagi). Sekarang, hujan turun di Thailand dan Vietnam.

“Di India, ia tidak seburuk seperti yang dijangka. Pakistan sedang menikmati hasil tanaman yang lumayan tahun ini. Jadi saya tidak nampak kekurangan dari segi bekalan,” ujar Encik Charoen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >