Tinjauan: Keyakinan CEO sejagat merosot ke paras terendah dalam 5 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Keyakinan CEO sejagat merosot ke paras terendah dalam 5 tahun

Jan 20, 2026 | 4:58 PM

Tinjauan: Keyakinan CEO sejagat merosot ke paras terendah dalam 5 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Laporan tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sejagat ke-29 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF)
Laporan tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sejagat ke-29 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) diterbitkan sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 20 Januari. - Foto AFP

Pemimpin perniagaan di seluruh dunia semakin hilang keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka pendek syarikat masing-masing, dan semakin bimbang terhadap pelbagai risiko yang bakal muncul, menurut satu tinjauan baru.

Demikian dapatan Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sejagat ke-29 yang dijalankan firma perakaunan dan perundingan antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan tersebut diterbitkan sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 20 Januari.

Hanya 30 peratus CEO didapati sangat atau amat yakin terhadap pertumbuhan keuntungan dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut laporan tersebut.

Angka itu menurun daripada 38 peratus dalam tinjauan PwC pada 2025, serta jauh lebih rendah berbanding paras tertinggi 56 peratus dalam tinjauan pada 2022.

Di luar faktor permintaan dan penawaran khusus mengikut sektor, para CEO kini semakin bimbang terhadap ancaman jangka pendek, termasuk ketidaktentuan makroekonomi, risiko siber, gangguan teknologi, serta konflik geopolitik.

Dapatan tinjauan itu menonjolkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) – yang sebelum ini dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan sejagat – kini menjadi garis pemisah antara pemimpin korporat yang mampu mengembangkan penggunaan teknologi tersebut dengan mereka yang gagal menjana pulangan nyata.

Pengerusi sejagat PwC, Encik Mohamed Kande, berkata sekumpulan kecil syarikat telah berjaya menjana pulangan kewangan yang boleh diukur melalui penggunaan AI, manakala sebilangan syarikat lain masih bergelut untuk melepasi peringkat percubaan.

“Jurang itu kini mula tercermin dalam tahap keyakinan dan daya saing, dan ia akan semakin membesar dengan pantas bagi mereka yang gagal bertindak,” kata Encik Kande.

Tinjauan itu, yang mengumpul pandangan daripada 4,454 CEO di 95 tempat antara 30 September dengan 10 November 2025, mendapati 42 peratus CEO bimbang syarikat mereka tidak berubah cukup pantas untuk menyaingi kadar perubahan teknologi.

Meskipun terdapat percubaan meluas, hanya 12 peratus CEO menyatakan AI telah memberi manfaat dari segi kos dan keuntungan.

Secara keseluruhan, 33 peratus melaporkan keuntungan sama ada dari segi kos atau keuntungan, manakala 56 peratus berkata mereka belum melihat sebarang manfaat kewangan ketara setakat ini.

Laporan ini diterbitkan ketika Singapura dan hab Asia Pasifik lain berusaha menonjolkan negara mereka sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat mengembangkan penggunaan AI dan prasarana digital.

Analisis PwC menunjukkan bahawa syarikat yang menerapkan AI secara meluas ke dalam produk, perkhidmatan, dan pengalaman pelanggan mencatat margin keuntungan hampir 4 mata peratusan lebih tinggi berbanding syarikat yang tidak berbuat demikian.

Faktor risiko luaran turut menjejaskan keyakinan CEO.

Sekitar 20 peratus CEO berkata syarikat mereka berisiko tinggi mengalami kerugian kewangan akibat tarif pada 2026.

Tahap risiko yang direkodkan ini berbeza mengikut wilayah – daripada 6 peratus di Timur Tengah kepada 28 peratus di China dan 35 peratus di Mexico.

Dalam kalangan CEO Amerika Syarikat, 22 peratus melaporkan risiko kerugian kewangan yang tinggi akibat tarif.

Kebimbangan siber meningkat dengan ketara, dengan 31 peratus CEO kini menyifatkannya sebagai ancaman utama, berbanding 24 peratus yang dicatat dalam tinjauan pada 2025. Lebih 80 peratus merancang mahu mengukuhkan pertahanan siber sebagai sebahagian daripada respons terhadap risiko geopolitik.

Kebimbangan terhadap ketidaktentuan makroekonomi, gangguan teknologi, dan geopolitik turut meningkat sedikit, manakala kebimbangan mengenai inflasi menurun sedikit kepada 25 peratus berbanding 27 peratus dalam tinjauan sebelumnya.

Walaupun menghadapi cabaran ini, ramai CEO masih menumpukan perhatian kepada pembaharuan demi pertumbuhan perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg