Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan SBF: Firma S’pura mohon sokongan tangani kos, tenaga kerja bagi Belanjawan 2026

Kos tenaga kerja, ketidakpastian dalam permintaan luaran, kos sewa membebankan perniagaan.
Nov 28, 2025 | 4:38 PM
Lebih ramai perniagaan menjangkakan keadaan akan merosot (37 peratus) berbanding yang menjangkakan peningkatan (14 peratus) pada 2026.
Lebih ramai perniagaan menjangkakan keadaan akan merosot (37 peratus) berbanding yang menjangkakan peningkatan (14 peratus) pada 2026. - Foto Fail

Sedang sentimen perniagaan merosot di tengah-tengah ketidakpastian global yang berterusan, syarikat-syarikat di Singapura menantikan Belanjawan 2026 untuk mendapatkan sokongan pemerintah yang lebih kukuh.

Antara permintaan utama mereka untuk Belanjawan 2026 adalah skim bagi menangani kos yang meningkat, pembangunan tenaga kerja tempatan, dan penambahbaikan kepada aliran tunai.

Demikian menurut Tinjauan Perniagaan Nasional 2025, Edisi Sentimen Perniagaan Tahunan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), yang dikeluarkan pada 27 November.

Permintaan mereka muncul ketika keyakinan terhadap perniagaan terjejas, dengan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) jatuh kepada 52.2 pada suku ketiga 2025, berbanding 55.4 pada suku kedua.

Ini mencerminkan “rasa berhati-hati berterusan dalam kalangan perniagaan di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi global dan tarif yang berlanjutan”.

Tinjauan itu turut mendapati “lebih banyak perniagaan menjangkakan keadaan akan menjadi lebih buruk (37 peratus) berbanding peningkatan (14 peratus) pada tahun akan datang”.

Sebanyak 553 perniagaan telah ditinjau dari 29 September hingga 17 Oktober, lapor The Business Times (BT).

Antara industri yang disertakan dalam tinjauan itu adalah perdagangan borong, aktiviti kewangan dan insurans, serta perkilangan.

Sebilangan besar perniagaan yang ditinjau, iaitu 82 peratus, adalah syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), manakala baki 18 peratus adalah syarikat besar. 

Permintaan utama untuk Belanjawan 2026

Ketika pemerintah bersiap sedia untuk Belanjawan 2026, tinjauan tahunan itu mengenal pasti keutamaan perusahaan tempatan.

Menangani kos yang meningkat: 63 peratus perniagaan inginkan skim untuk mengawal kos yang meningkat.

Pembangunan tenaga kerja: 46 peratus responden inginkan sokongan untuk menarik dan membangunkan tenaga kerja tempatan.

Aliran tunai: 42 peratus syarikat sedang mencari langkah untuk memperbaiki aliran tunai.

Syarikat-syarikat menyatakan keinginan untuk sokongan yang lebih kukuh dalam pembangunan keupayaan, khususnya berkaitan pembangunan strategi (34 peratus), memastikan ketahanan kewangan (28 peratus), dan memperkukuh modal insan (31 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon, berkata kos tenaga kerja, ketidakpastian permintaan luar, dan kos sewa sedang membebankan perniagaan.

Keputusan tinjauan menunjukkan bahawa kos tenaga kerja (63 peratus), ketidakpastian permintaan pelanggan (44 peratus), dan perbelanjaan sewa (40 peratus) kekal sebagai tiga cabaran perniagaan utama pada 2025, selaras dengan penemuan pada 2024.

Risiko keselamatan siber dan privasi data juga semakin ketara, meningkat kepada 36 peratus dan mengambil alih dasar tenaga kerja asing sebagai antara lima kebimbangan utama.

“Perniagaan memohon sokongan bagi mengurus kos, aliran tunai dan pembangunan tenaga kerja dalam Belanjawan 2026,” kata Encik Kok.

“Ia mencerminkan keinginan mereka untuk mengekalkan daya tahan sambil melabur dalam pembinaan keupayaan.”

Keuntungan merosot

Tuntutan untuk sokongan Belanjawan 2026 muncul ketika syarikat berdepan dengan prospek keuntungan yang merosot.

Jangkaan keuntungan keseluruhan menurun kepada 48.5, mencatat penurunan 2.9 mata daripada suku sebelumnya.

Hanya 4 peratus perniagaan melaporkan peningkatan keuntungan sepanjang 2024, berbanding 34 peratus yang mengalami penurunan.

Kos tenaga kerja, sewa dan logistik yang meningkat terus menjadi tiga penyumbang utama kepada tekanan keuntungan itu.

Industri yang mempunyai jangkaan keuntungan tertinggi ialah perbankan, insurans, dan aktiviti kewangan serta insurans lain.

Sementara itu, industri yang mempunyai jangkaan keuntungan terendah ialah perdagangan runcit, hotel, restoran dan sektor penginapan.

SME lebih terkesan

SME lebih pesimis berbanding syarikat besar, dengan 22 peratus tidak berpuas hati dengan keadaan semasa, berbanding 15 peratus syarikat besar.

Hampir empat daripada 10 SME (38 peratus) menjangkakan keadaan akan bertambah buruk pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg