Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Sentimen niaga S’pura kian cerah pada suku ketiga 2024

Jun 10, 2024 | 7:52 PM
Industri pembinaan, pengangkutan dan kewangan menunjukkan prospek paling cerah, dengan sekurang-kurangnya empat daripada enam penunjuk adalah positif bagi setiap sektor tersebut, menurut SCCB.
Industri pembinaan, pengangkutan dan kewangan menunjukkan prospek paling cerah, dengan sekurang-kurangnya empat daripada enam penunjuk adalah positif bagi setiap sektor tersebut, menurut SCCB. - Foto ST

Sentimen perniagaan Singapura terus menunjukkan trend meningkat buat empat suku berturut-turut pada suku ketiga 2024, menurut Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB) pada 10 Jun.

Indeks optimisme perniagaan (BOI) naik sedikit kepada +4.94 mata peratusan pada suku ketiga 2024, daripada +4.82 mata peratusan pada suku kedua.

Indeks bagi suku ketiga 2024 juga lebih tinggi daripada +3.98 mata peratusan bagi suku ketiga 2023.

Indeks tersebut berdasarkan satu tinjauan sentimen perniagaan kendalian SCCB melibatkan 200 pemilik perniagaan dan eksekutif kanan yang mewakili sektor industri utama di seluruh Singapura.

SCCB ialah anak syarikat di bawah penyedia penyelesaian maklumat kredit dan risiko, Credit Bureau Asia.

BOI tersebut dikeluarkan setiap suku tahun sebagai ukuran keyakinan perniagaan dalam ekonomi.

Penunjuk kepada jumlah jualan, harga jualan, pesanan baru dan tahap pekerjaan terus meningkat, seperti pada suku sebelumnya.

Sebaliknya, penurunan dalam kadar inventori mengecil kepada -1.48 mata peratusan pada suku ketiga 2024, daripada -2.99 mata peratusan pada suku sebelumnya.

Tiga daripada enam penunjuk bertambah baik pada suku ketiga 2024, berbanding suku kedua, iaitu jumlah jualan, keuntungan bersih dan tahap pekerjaan, manakala harga jualan dan pesanan baru turun sedikit.

Berbanding tempoh sama setahun lalu, kededua jumlah jualan dan keuntungan bersih meningkat kepada +5.93 mata peratusan pada suku ketiga 2024, berbanding +2.99 mata peratusan pada suku ketiga 2023.

SCCB menyatakan bahawa industri pembinaan, pengangkutan dan kewangan menunjukkan prospek paling cerah, dengan sekurang-kurangnya empat daripada enam penunjuk adalah positif bagi setiap sektor tersebut.

Sentimen dalam sektor perkilangan masih agak suram, dengan hanya dua daripada enam penunjuk tersebut berada pada tahap positif.

Prospek bagi sektor perkhidmatan juga terus positif, dengan tiga daripada enam penunjuk berada pada tahap positif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCCB, Cik Audrey Chia, menyatakan bahawa prospek perniagaan tempatan agak cerah pada suku ketiga 2024.

“Selain pertumbuhan berterusan dalam sektor pengangkutan dan pembinaan, sektor kewangan dan perkhidmatan cukup cerah. Sektor yang berorientasi luar seperti sektor jualan borong juga lebih rancak sedikit memandangkan permintaan luar di peringkat serantau dan sedunia yang meningkat.

Namun, risiko buruk seperti ketegangan geopolitik yang kian meningkat akan terus wujud, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg