Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend pembelian ‘kidult’ dorong Toys ‘R’ Us di S’pura jalani pembaruan

Dec 24, 2024 | 5:22 PM
Pop Mart, syarikat mainan dari China yang menghasilkan patung Labubu (kiri), juga telah memperoleh lesen daripada jenama popular seperti Marvel.
Pop Mart, syarikat mainan dari China yang menghasilkan patung Labubu (kiri), juga telah memperoleh lesen daripada jenama popular seperti Marvel. - Foto ST

Kedai mainan Toys ‘R’ Us di Pusat Beli-belah Paragon di Orchard Road telah menjalani kerja-kerja pembaruan pada November, menyambut pelanggan dengan deretan kotak misteri dan figura Pokémon, yang menanti untuk dipamerkan di meja kerja seorang ‘kidult’.

Golongan ‘kidult’ (gabungan perkataan Inggeris bagi ‘kid’ dan ‘adult’) kumpulan pelanggan yang paling memberi keuntungan sesebuah kedai mainan, berbanding kanak-kanak yang bergantung pada ibu bapa berbelanja untuk mereka.

Istilah ‘kidult’ diperkenalkan pada zaman 1950-an oleh eksekutif industri televisyen Amerika Syarikat sebagai merujuk kepada individu berusia antara 18 dengan 44 tahun yang merindui dan masih meminati mainan dan kartun kanak-kanak.

Menurut portal data pasaran Statista, pasaran mainan dan permainan di Asia dijangka mencapai keuntungan sebanyak $53.8 bilion pada 2024, lapor The Straits Times (ST).

Encik Jason Tjiptadi, perunding Euromonitor International, berkata Pop Mart – syarikat mainan dari China yang menghasilkan patung Labubu – serta Pokémon dan Lego adalah tiga jenama paling popular dalam kalangan ‘kidult’ di Singapura, dengan ketiga-tiganya mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 2024 walaupun pengeluar utama seperti Hasbro dan Mattel terus menghadapi cabaran.

“Jualan kotak misteri untuk anak patung dan aksesori di Singapura naik 12 peratus pada 2023, manakala jualan anak patung dan aksesori bukan kotak misteri turun 3 peratus pada tahun yang sama.

“Ini menunjukkan perubahan minat dalam kalangan pengguna, terutama ‘kidult’, yang kini lebih gemar membelanjakan wang mereka untuk mengumpul kotak misteri,” jelas Encik Tjiptadi. 

Kotak misteri merujuk kepada jenis pembungkusan yang kandungannya tidak diketahui penerima sehingga ia dibuka.

Antara sebab di sebalik populariti kotak misteri yang semakin meningkat ini adalah kerjasamanya dengan jenama dan francais popular seperti Disney, Marvel dan Harry Potter dan selebriti.

Pasaran ‘kidult’ yang semakin berkembang di Singapura adalah salah satu sebab di sebalik pengubahsuaian kedai Toys ‘R’ Us, yang setakat ini telah dilaksanakan di tiga daripada 11 cawangannya – Paragon, VivoCity, dan Jewel Changi Airport. 

“Dengan kadar kelahiran yang semakin menurun dan permintaan pelanggan yang berubah, kami sedar bahawa kami perlu menyediakan khidmat menjangkau keluarga muda tradisional. 

“Golongan baru seperti Gen Z dan ‘kidult’ merubah definisi permainan.

“Mereka mencari keunikan, pengalaman dan rasa teruja apabila membeli-belah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Toys ‘R’ Us, Encik Leo Tsoi. 

Beliau menambah bahawa terdapat rancangan untuk mengembangkan dan memperbaharui konsep kedai mereka, dengan memberi tumpuan bukan sahaja pada produk mainan, bahkan barangan gaya hidup – yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan kawasan kedai. 

Dengan mencipta paparan interaktif, zon bertema dan pilihan produk yang disusun dengan teliti, kedai itu menawarkan pengalaman yang menarik buat pelanggan. 

Konsep yang diperkenalkan di tiga cawangan itu telah membawa kepada peningkatan pelanggan, peningkatan produktiviti jualan sebanyak 50 peratus dan pengurangan satu pertiga kos operasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg