Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Urus niaga kondo jualan semula susut 1.7% pada Ogos

Sep 24, 2024 | 6:50 PM
Sekitar 1,080 unit kondo telah dijual semula pada Ogos, penurunan 1.7 peratus daripada 1,099 unit yang dijual pada Julai.
Sekitar 1,080 unit kondo telah dijual semula pada Ogos, penurunan 1.7 peratus daripada 1,099 unit yang dijual pada Julai. - Foto ST

Jumlah urus niaga kondominium jualan semula merosot pada Ogos – penurunan yang disifatkan penganalisis sebagai berpunca daripada sikap pembeli yang menunggu kadar faedah diturunkan.  

Berdasarkan anggaran yang dikeluarkan SRX dan 99.co pada 24 September, sekitar 1,080 unit telah dijual semula, turun 1.7 peratus daripada 1,099 unit yang dijual pada Julai.

“Walaupun jumlah urus niaga jualan semula Ogos, mengikut sejarah lebih tinggi sedikit berbanding Julai - tahun ini adalah kali pertama jumlah urus niaga itu lebih rendah sejak 2020,” kata Encik Luqman Hakim, ketua pegawai data dan analitik di 99.co.

Penurunan itu berlaku di tengah-tengah sentimen negatif dalam pembelian kondo privet serta bakal pembeli yang sedang menunggu pemotongan kadar faedah, tambahnya.

Segelintir penganalisis juga berpandangan bahawa kadar penurunan itu tidak begitu ketara, memandangkan aktiviti urus niaga yang sememangnya perlahan ketika perayaan ‘Hungry Ghost’.

Ketua penyelidik dan pakar strategi di OrangeTee, Cik Christine Sun, berkata jumlah jualan semula telah menunjukkan “peningkatan ketara” berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa masih terdapat permintaan yang berterusan untuk rumah jualan semula,” katanya.

“Perbezaan harga antara hartanah baru dan jualan semula kekal besar, dan jurang harga itu menarik minat sebahagian bakal pembeli untuk membeli hartanah jualan semula.”

Harga keseluruhan kekal stabil pada Ogos, dengan penurunan sebanyak 0.1 mata indeks dari Julai. 

Pada Ogos, harga urus niaga tertinggi untuk unit jualan semula ialah $12.1 juta bagi sebuah unit di Nassim Mansion.

Keuntungan modal median secara keseluruhan ialah $357,000 pada Ogos, susut sebanyak S$21,000 berbanding Julai.

Menurut penganalisis hartanah, aktiviti urus niaga dalam pasaran kondo jualan semula dijangka bertambah baik selepas pemotongan kadar faedah.

Ketua Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip, berkata pemotongan kadar faedah mungkin melayakkan para pembeli mendapat pinjaman yang lebih besar dan bayaran gadai janji bulanan yang lebih kecil.

“Ini bermakna pembeli yang sebelum ini mengalami kekangan pinjaman sudah boleh membeli rumah,” tambahnya.

Namun, Cik Sun menekankan bahawa pasaran jualan semula mungkin hadapi lebih banyak persaingan dengan pelancaran beberapa hartanah akan datang.

“Pembeli rumah kali pertama mungkin akan meneroka perumahan awam sebagai alternatif, terutamanya jika mereka memenuhi kriteria siling pendapatan, kerana banyak flat baru di lokasi yang sangat strategik dijangka akan diumumkan semasa pelancaran jualan Oktober akan datang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg