Usahawan belia yang bercita-cita tinggi telah memperoleh pengajaran dan pandangan berharga mengenai cara untuk berkembang dalam landskap perniagaan yang pantas pada masa ini dalam satu acara Aspire Connect, yang bertujuan memperkasa pemimpin masa depan dan peniaga muda.
Acara anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) yang diadakan di Pusat Sivik Common Ground yang terletak di Bedok pada 10 Oktober itu, antara lain, memberi panduan mengenai cara menghasilkan produk yang unik, kandungan media baru dan keupayaan pemilik untuk sentiasa berinovasi.
Seramai sekitar 100 usahawan muda menghadiri acara itu, yang diadakan dengan kerjasama Berita Harian (BH), dan bakal menjadi wadah penting bagi generasi usahawan seterusnya meningkatkan kemahiran dan menjalin hubungan yang berkesan.
Perbincangan panel itu melibatkan usahawan muda, seperti pengasas syarikat yang menjual dada ayam perap ‘Cheekies’, Encik Nabill Shukry, dan pengasas jenama baju ‘Flamboyant Goons’, Encik Kai Emilio.
Berkongsi rahsia kejayaannya, Encik Kai berkata membangunkan jenama baju bukan percubaan pertamanya dalam bidang keusahawanan.
“Saya pernah cuba buka kedai gunting rambut sendiri dan menjual croissant cookies (biskut kroisan) di Bazar Geylang.
“Walaupun tidak menjadi, saya tidak berputus asa,” kata Encik Kai, yang baru berusia 25 tahun.
Sambil menoleh ke arah isterinya yang duduk dalam kalangan hadirin, beliau turut meluahkan penghargaan kepada isterinya itu, yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi utama baginya.
“Apabila satu perniagaan tidak menjadi, saya selalu mendapatkan nasihat daripada isteri saya.
“Beliau tahu apa yang terbaik buat saya,” tambahnya.
Semasa berkongsi rancangan beliau untuk meletakkan produk makanannya di Toko Warisan menjelang akhir 2024, Encik Nabill pula berkata peralihan perniagaan dari rumah ke dapur pusat merupakan satu langkah besar baginya.
Merasai kesan selepas pandemik Covid-19, beliau turut menyingkap beban kos sewa yang tinggi.
“Saya menceburi industri ini semasa orang ramai baru pulih daripada kerugian wang, sebab itu harga menjadi tinggi di mana sahaja.
“Walapun begitu, saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya yang mempercayai saya dan memperkenalkan saya kepada orang-orang yang membawa perniagaan saya di mana mereka berada sekarang,” kata Encik Nabill.
Ahli panel lain termasuk pencipta kandungan Cik Naqiah Ayub daripada ‘True Horror Stories POV’, dan hos podcast bagi ‘Once Upon a Crescent’, Cik Nur Fatin Afika Haji Moktar.
Pengarah syarikat reka bentuk dalaman rumah, Bibty Design, Encik Muhammad Alfian Osman, pula berkata bagi syarikatnya, yang baru berusia tiga tahun, wadah sedemikian penting untuk belia belajar mengenai semangat keusahawanan daripada pemilik perniagaan lain yang berjaya.
“Sebagai pemilik perniagaan baru, kami boleh merancang sebanyak mana yang kami inginkan.
“Namun, adalah penting untuk bertawakal dan ada sikap berinovasi,” kata Encik Alfian.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas acara tersebut, Pengerusi ASPIRE, Encik Syahiran Rohajat, berkongsi rancangannya untuk mengadakan sesi seperti itu pada masa akan datang.
“Harapan kami adalah agar peserta dapat mengambil pelajaran berharga dan memperoleh pandangan berguna daripada perbincangan bersama panelis usahawan muda,” katanya.
Beliau menambah bahawa golongan belia boleh menjangkakan topik perbincangan santai, yang menumpukan kepada kemahiran penting seperti perancangan perniagaan, pemasaran, dan pengurusan kewangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg