Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsahawan solo di S’pura meningkat: Lebih ramai raih $1j atau lebih setahun
Usahawan solo di S’pura meningkat: Lebih ramai raih $1j atau lebih setahun
Semakin ramai usahawan di Singapura memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian.
Walaupun jumlahnya masih kecil, semakin ramai daripada mereka berjaya menjana pendapatan tahunan sekurang-kurangnya $1 juta tanpa mengambil pekerja.
Terdapat 89,800 orang sedemikian pada 2024, meningkat daripada 57,800 orang pada 2014, menurut satu kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOS) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG), yang menganalisis rekod rasmi pemegangan saham dan pemilikan perniagaan bersama data mengenai prestasi ekonomi firma serta ciri-ciri individu.
Peningkatan keusahawanan serta kemajuan dalam teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), e-dagang dan platform digital telah mengurangkan halangan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan, menurut laporan tersebut.
Kajian mengenai kemunculan ‘solopreneur’ atau usahawan solo di Singapura sepanjang dekad lalu merupakan sebahagian daripada laporan Tinjauan Ekonomi Singapura yang diterbitkan pada 24 November.
Usahawan solo merujuk kepada pemilik perniagaan berdaftar yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR), tanpa sebarang pekerja lain.
Kajian itu tidak merangkumi pekerja gig dan pekerja bebas tanpa perniagaan berdaftar.
Kajian mendapati usahawan solo mampu menjana hasil yang besar tanpa mengambil pekerja.
Kira-kira 3.4 peratus, atau 3,100 orang daripada mereka, menjana sekurang-kurangnya $1 juta hasil tahunan pada 2024, manakala sekitar 5 peratus, atau 4,500 orang, meraih antara $500,000 dengan $1 juta.
Bilangan usahawan solo dalam kedua-dua kumpulan itu berkembang pada purata 7 peratus dan 6.2 peratus setahun, masing-masing, antara 2014 dan 2024.
Jumlah itu meningkat lebih pantas berbanding purata pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus sejak 2014 bagi usahawan solo yang memperoleh pendapatan kurang daripada $100,000 setahun.
Kumpulan itu membentuk kira-kira dua pertiga (66 peratus) daripada semua usahawan solo pada 2024.
“Perkembangan teknologi digital dan AI juga boleh membantu mengembangkan model perniagaan sebegini dengan membolehkan usahawan solo mengautomasikan atau mendapatkan kemahiran khusus tanpa perlu menambah bilangan pekerja,” kata penulis laporan tersebut.
Kira-kira 26 peratus usahawan solo memperoleh pendapatan antara $100,000 hingga $500,000.
Menurut laporan itu, angka tersebut menunjukkan bahawa kebanyakan usahawan solo merupakan pengusaha perniagaan mikro.
Perkhidmatan profesional merupakan sektor terbesar bagi usahawan solo pada 2024, iaitu 20.3 peratus, diikuti oleh perdagangan borong, perdagangan runcit, pembinaan serta maklumat dan komunikasi.
Dalam kalangan mereka yang menawarkan perkhidmatan profesional, sekitar 37 peratus tertumpu kepada aktiviti perundingan pengurusan, diikuti oleh reka bentuk dalaman (10 peratus) dan seni serta reka bentuk grafik (6 peratus).
Dalam sektor perdagangan runcit, usahawan solo terlibat dalam pelbagai aktiviti. Kumpulan terbesar (22 peratus) menjual pakaian, kasut dan barangan kulit di kedai khusus, diikuti barangan kraf, hiasan, bunga, tumbuhan dan haiwan peliharaan (15 peratus), serta kedai tidak khusus seperti kedai bajet (13 peratus).