Baru-baru ini, Unit Wanita dan Keluarga Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menganjurkan sesi dialog kedua yang mengajak peserta berbincang tentang isu yang menjejas wanita di tempat kerja. Sesi itu sebahagian daripada siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura, yang bertujuan mengenal pasti dan meneliti isu wanita daripada pelbagai perspektif. Berikut antara perkongsian dan pandangan yang dikongsi peserta tentang bagaimana pemerintah, majikan dan masyarakat boleh sama-sama membantu wanita mengimbangi tugas di tempat kerja dan peranan sebagai ibu dan penjaga di rumah.
KEPRIHATINAN perlu mengimbangi pelbagai peranan dalam kehidupan sebagai ibu kepada anak-anak dan penjaga utama kepada orang tua merupakan antara faktor yang boleh menghambat wanita daripada mencapai potensi penuh di tempat kerja.
Namun, sekiranya wanita diberi lebih banyak sokongan, mereka boleh mengatasi masalah tersebut dan melakukan yang terbaik di tempat kerja.
Ini seperti bantuan sang suami dalam pengasuhan anak dan kerja rumah, lebih banyak cuti jagaan anak dan sokongan majikan dalam menyediakan aturan pekerjaan fleksibel dan kepercayaan untuk bekerja di rumah.
Demikian antara pandangan yang dikongsi peserta semasa sesi dialog anjuran Unit Wanita dan Keluarga Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang diadakan melalui Zoom baru-baru ini, bagi mengumpulkan maklum balas mengenai isu yang menjejas wanita di tempat kerja.
Sesi itu merupakan yang kedua dalam siri empat dialog dan adalah sebahagian daripada siri Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura, yang bertujuan mengenal pasti dan menangani isu-isu yang menjejas wanita Singapura serta meneliti isu wanita daripada pelbagai perspektif.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Wanita dan Keluarga NTUC, Cik Yeo Wan Ling, dan Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang merupakan antara tiga Anggota Parlimen (AP) wanita yang menerajui semakan menyeluruh berkaitan isu melibatkan kaum wanita.
Berucap di sesi dialog itu, Cik Yeo berkata walaupun gerakan buruh dan rakan kerjasama tiga pihak telah membuat kemajuan dalam memastikan keadaan yang adil bagi wanita diberi peluang sama untuk berjaya, masih ada ruang yang boleh dipertingkat untuk memanfaatkan tenaga kerja wanita teras Singapura yang memilih untuk tidak bekerja.
"NTUC terus bekerjasama di samping pekerja, majikan dan pemerintah Singapura untuk melindungi kebajikan pekerja kita dan memastikan transformasi ekonomi Singapura kekal inklusif," kata beliau.
"Namun, sedang kami memandang ke depan tentang bagaimana ekonomi masa depan dan pekerjaan masa depan akan berubah, kami sedar bahawa ramai wanita mempunyai laluan kerjaya tidak tradisional dan malah, menukar daripada pekerjaan sepenuh masa kepada pekerjaan projek, sambilan dan bebas pada masa yang berlainan dalam kehidupan mereka untuk memenuhi keperluan keluarga.
"Oleh itu, adalah tepat pada masanya untuk mula memikirkan dan menentukan semula apakah kejayaan kerjaya bagi wanita," tambah beliau.
Mengongsi pandangannya dari sudut perspektif majikan, anggota Majlis Keluarga untuk Seumur Hidup, Dr Elly Sabrina Ismail, berkata majikan yang menyokong pekerja, misalnya memberikan mereka masa untuk menjaga anak atau keluarga dan memberikan kepercayaan kepada pekerja, akan menyaksikan hasil kerja yang lebih baik daripada pekerja mereka.
"Jika anda berikan kepercayaan seperti apa yang saya lihat di klinik saya sendiri, ia akan memberikan manfaat kerana apabila anda perlukan mereka, mereka akan memberikan prestasi kerja yang baik," kata beliau yang merupakan pemilik Banyan Clinic di Woodlands.
Memberi ucapan di akhir sesi dialog itu, Cik Rahayu berkata meskipun wanita telah mencapai banyak kemajuan, masih lagi ada ruang yang boleh dipertingkat.
Sementara pemerintah berusaha membantu dari segi perundangan dan dasar, turut diperlukan adalah perubahan pemikiran dalam masyarakat dan majikan.
Ini seperti membolehkan golongan bapa mengambil cuti bapa untuk turut membantu dalam penjagaan anak-anak dan keluarga, dan usaha daripada rakan sekerja dan majikan untuk menyediakan persekitaran bekerja yang baik dan saling menyokong buat wanita.
"Ini mungkin huraian yang tidak begitu mudah dilaksanakan dan bergantung pada keadaan, namun ia sesuatu yang kita perlu terus bina dan galakkan kerana anda bukan hanya mencipta norma, malah mengubah norma dalam masyarakat," kata beliau.
"Ini mungkin huraian yang tidak begitu mudah dilaksanakan dan bergantung pada keadaan, namun ia sesuatu yang kita perlu terus bina dan galakkan kerana anda bukan hanya mencipta norma, malah mengubah norma dalam masyarakat." - Cik Rahayu Mahzam mengenai perlunya ada perubahan pemikiran dalam masyarakat dan majikan seperti membolehkan golongan bapa mengambil cuti bapa untuk turut membantu dalam penjagaan anak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg