Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:56
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11

Mahu pelancong S'pura jadi #1 berwisata ke Indonesia

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Ekonomi & Kerja
29
0

WAWANCARA BH DENGAN MENTERI PARIWISATA DAN EKONOMI KREATIF INDONESIA

Mahu pelancong S'pura jadi #1 berwisata ke Indonesia

Sandiaga: Bukan setakat ke Bali saja
Oct 05, 2022 | 05:30 AM

INDONESIA merancang pelbagai dasar dan insentif pelancongan untuk meningkatkan jumlah pelancong dari Singapura dengan menyasarkan penduduk di sini sebagai pelancong nombor satu ke Indonesia.

Pelancong Singapura kini merupakan yang kedua terbanyak selepas Australia dan jumlah ini akan ditingkatkan dengan mempelbagaikan inisiatif untuk menarik pelancong dari Singapura, kata Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Salahuddin Uno, kepada Berita Harian (BH).

Encik Sandiaga berkata rancangan itu dibuat hasil perbincangan beliau dengan pelbagai agensi dalam sektor pelancongan di Singapura ketika menyertai Misi Jualan Wonderful Indonesia di Singapura yang diadakan di Hotel Marriot baru-baru ini.

Dari Januari hingga Julai lalu (2022), Indonesia mencatatkan kunjungan 1.2 juta pelancong asing, meningkat 15 kali ganda.

Dalam tempoh itu, seramai 153,000 warga Singapura telah mengunjungi Indonesia.

"Seperti warga Australia, mereka memilih Bali sahaja. Jadi saya mahu penduduk Singapura melangkaui Kepri (Kepulauan Riau).

"Warga Australia kini merupakan pelawat nombor satu dan kami berusaha untuk melihat warga Singapura menjadi nombor satu,'' ujar Encik Sandiaga.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau mengadakan perbincangan dengan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pengendali kapal pelesiran dan agensi yang berkaitan dengan pelancongan yang lain.

Hasil perbincangan tersebut, beberapa keprihatinan telah ditimbulkan termasuk tentang kenaikan tambang pesawat dan feri yang agak tinggi untuk ke Indonesia.

"Kami sedang menangani beberapa pembaharuan yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan visa, kapasiti bilangan penerbangan, feri, aspek promosi, eko-pelancongan dan pelbagai jenis produk yang lain.

"Dengan pasca Covid, kami mula pulih dengan dua kali ganda kelajuan berbanding industri lain dan oleh itu kami perlu bergerak pantas dari segi merebut peluang. Ia sangat membuahkan hasil setakat ini.

"Kami serius untuk bertemu termasuk pelabur kerana kami melihat semakin banyak pelaburan masuk ke dalam sektor pelancongan, ekonomi kreatif Indonesia dan juga hospitaliti,'' kata Encik Sandiaga.

Selain cadangan untuk menyediakan pakej bagi mengurangkan kesan kenaikan kadar tambang yang tinggi penerbangan dan feri, ia juga mengatur program pelancongan sukan dan memudahkan urusan visa bagi penduduk asing yang tinggal di Singapura.

Encik Sandiaga mahu merebut peluang daripada sejumlah 1.4 juta penduduk bukan warga yang tinggal di Singapura yang memegang pas pekerja atau penduduk tetap.

Menurutnya banyak potensi yang boleh diraih dari pelancongan yang dapat melihat hubungan antara warga dua negara dipertingkat atas semangat Asean.

Menurutnya, industri pelancongan telah menyaksikan masa (pandemik) yang paling teruk dan industri penerbangan telah terjejas paling teruk.

Dengan situasi pandemik Covid-19 yang semakin terkawal, Encik Sandiaga optimis sektor pelancongan di Indonesia dan Singapura dapat bangkit.

Menurutnya, ini turut membantu warga Indonesia dengan mencipta 1.1 juta peluang pekerjaan.

"Ia mampu mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti dalam pelancongan dan mewujudkan ekonomi serta perkampungan pelancongan yang akan menjadi salah satu lokomotif untuk kami mencipta pekerjaan.

"Matlamat pembangunan mampan kami adalah menghapuskan kemiskinan dan warga mendapat pendidikan yang lebih baik serta mendapat akses kepada kesihatan, kewangan, keusahawanan dan sebagainya,'' kata Encik Sandiaga.

Singapura katanya kekal menjadi salah satu pasaran penting bagi pelancongan sehingga mendorong pihaknya untuk menarik kunjungan wisata dari Singapura ke luar dari Batam atau pun Bintan.

"Kami telah mengadakan mesyuarat dengan pengurus kapal pelesiran dan membuat beberapa perjanjian untuk memulakan lawatan pelayaran tahun ini.

"Ini adalah berita besar dan merupakan langkah yang sangat strategik, sangat penting untuk memulihkan pelancongan Indonesia, yang meliputi Pulau Batam dan Pulau Bintan di Riau, Surabaya di Jawa Timur, Pulau Bali, Pulau Belitung, dan Pulau Lombok di Nusa Tenggara Barat.

"Tahun depan, pelayaran ke Belitung dan Lombok akan ditambah,'' ujar Encik Sandiaga.

Pegawai Perwakilan Pejabat Pelancongan Indonesia di Singapura dari Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Encik Sulaiman Shehdek, dalam sesi misi jualan itu berkata beliau yakin Singapura, yang kini berada di tempat kedua dari segi jumlah pelancong ke Indonesia akan mengatasi Australia.

Ini boleh dicapai apabila kapasiti udara dipulihkan sepenuhnya.

Beliau juga mengemukakan cadangan untuk menyediakan visa jangka pendek selama tiga hingga lima hari untuk ekspatriat dan pemegang pas pekerjaan yang berpangkalan di Singapura.

Mereka kebanyakannya memerlukan visa untuk memasuki Indonesia. Ini akan membolehkan mereka melawat Bintan atau Batam dan menggalakkan perjalanan pada hujung minggu yang panjang dan cuti sekolah.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3