Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WTO bincang isu khidmat digital rentas sempadan di Abu Dhabi

Feb 26, 2024 | 5:23 PM
Isu duti kastam bagi perkhidmatan digital rentas sempadan amat penting bagi Singapura yang bergantung kepada perdagangan.
Isu duti kastam bagi perkhidmatan digital rentas sempadan amat penting bagi Singapura yang bergantung kepada perdagangan. - Foto REUTERS

Satu peraturan perdagangan selama 26 tahun yang melindungi perkhidmatan digital rentas sempadan daripada dikenakan duti kastam, mungkin tamat pada Mac ini, jika anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) gagal memperbaharuinya minggu ini.

Isu tersebut amat penting bagi Singapura yang bergantung kepada perdagangan, dan akan dibincangkan di Persidangan Menteri dua kali setahun – badan pembuat keputusan tertinggi WTO.

Persidangan kali ke-13 itu diadakan dari 26 hingga 29 Februari di Abu Dhabi, dan mengumpulkan kesemua 164 anggota WTO untuk membincangkan secara rasmi dan memutuskan pelbagai isu perdagangan yang mendesak.

Singapura, penyokong kuat sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan di bawah WTO, akan diwakili pada persidangan itu oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, lapor akhbar The Straits Times (ST). 

Antara agenda persidangan itu adalah melanjutkan peraturan perdagangan digital, yang digelar Moratorium Kastam mengenai Penghantaran Elektronik atau Moratorium E-dagang yang semakin terancam sejak kali terakhir ia diperbaharui dua tahun lalu.

Dengan perubahan teknologi dan pertumbuhan pesat dalam perdagangan digital, beberapa negara anggota melahirkan kebimbangan mengenai skop moratorium dan takrifan “penghantaran elektronik” yang kurang jelas, serta hasil kastam yang mungkin hilang, menurut WTO.

Wakil Gabungan bagi Kemakmuran Digital Asia, Encik Gareth Tan, menyatakan tidak ada takrifan umum yang diterima ramai bagi “penghantaran elektronik”.

“Istilah ini boleh ditafsirkan untuk merangkumi hampir semua yang dihantar secara elektronik, sama ada e-mel, mesej teks, kandungan penstriman atau permainan video,” katanya.

Negara yang mempunyai ekonomi besar yang sedang membangun, seperti Indonesia, India dan Afrika Selatan, adalah antara negara yang mungkin tidak ingin melanjutkan moratorium atau penggantungan duti kastam itu kerana berhasrat mengekalkan “ruang dasar”, tambah beliau.

Ruang dasar bermakna mempunyai fleksibiliti untuk mengawal dasar dengan lebih ketat mengenai aliran data, akses kepada data dan pemindahan barangan dan khidmat digital. Ia juga termasuk tarif perlindungan.

Walaupun “mustahil” untuk menentukan kesan menghentikan moratorium, kegagalan melanjutkannya “mungkin akan menambah kos khidmat digital yang masuk atau keluar dari banyak pasaran, dengan kos pematuhan besar, yang membawa kesan lebih berat terhadap syarikat lebih kecil dan pengguna,” kata Dr Deborah Elms, ketua dasar perdagangan di Yayasan Hinrich, sebuah pertubuhan dermawan di Singapura.

“Daripada perspektif pengguna, bayangkan membayar lebih untuk muat turun sesuatu yang disimpan di pusat data luar negara kerana ada cukai yang dikenakan ke atasnya,” tambah Encik Tan.

“Bagi perniagaan, akses kepada sofwe penting dan alatan digital mungkin menjadi lebih mahal. Pada umumnya, moratorium yang dihentikan boleh menimbulkan lebih banyak kesukaran perdagangan yang tidak wujud sebelum ini, dan berbahaya bagi negara yang bergantung kepada perdagangan, seperti Singapura,” ujar beliau

E-dagang pertama kali diperkenalkan pada Persidangan Menteri-Menteri kedua pada Mei 1998, apabila anggota WTO bersetuju dengan amalan tidak mengenakan duti kastam ke atas penghantaran elektronik sehingga persidangan berikutnya.

Sejak itu, moratorium tersebut telah diperbaharui pada setiap persidangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg