Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Aishah nasihati bakat muda bersedia lalui ranjau dunia artis

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aishah nasihati bakat muda bersedia lalui ranjau dunia artis

Usah biarkan diri diperguna bagi perniagaan dan keuntungan sesetengah pihak
Dec 23, 2018 | 05:30 AM



MELIHAT ramai bakat muda berkobar-kobar menyertai program pencarian bakat baru, When Music Speaks, baru-baru ini, bintang legenda Wan Aishah Wan Ariffin, secara jujur bertanya sekali gus menasihati:



"Mengapa bersungguh-sungguh nak jadi penyanyi? Betulkah dah bersedia dengan bermacam tanggungjawab besar dan amanah yang perlu dipikul?



"Tahu tak apabila anda bergelar penyanyi, tiada kekata privasi dalam hidup anda? Kalau sayang sangat dengan privasi dan nak buat sesuka hati, tak usahlah jadi selebriti.



"Sebabnya, menjadi penghibur ini tidak semudah mana. Orang ingat menyanyi senang sehinggakan ada yang boleh bandingkan dan kata, ia lebih mudah daripada memandu teksi!



"Dah cuba jalani kehidupan sebagai penyanyi, yang kadang perlu jadi macam 'pelakon terbaik'?



"Dalam keadaan bersedih dan bingit, mungkin bergaduh dengan pasangan atau ada perkara tak kena dalam mesyuarat, perlu senyum dengan peminat, walhal hati panas membara.



"Itulah peminat anda yang ingin bergambar walau anda sibuk nak makan atau perlu fokus sebab bakal naik pentas. Anda perlu menghargai dan menyambut mereka dengan baik, macam mana penat pun."



Apa yang disampaikan Aishah, penyanyi lagu 'hit' era 1990-an, Janji Manismu dan Camar Yang Pulang, datang daripada pengalaman 31 tahun bergelar penghibur yang menjadi pujaan kerana vokal dinamis dan persembahan bersahajanya.



Kerana penglibatan awalnya dengan band dari New Zealand, The Fan Club, namanya malah tersenarai dalam Carta Billboard Hot 100 Charts di Amerika menerusi kejayaan single Don't Let Me Fall Alone.



Pada usianya yang bakal mencecah 54 tahun pada 3 Januari ini, banyak asam garam yang sudah dilaluinya.



Aishah, yang ditemui Gah! di Village Hotel Bugis, baru-baru ini, berbesar hati kerana berpeluang melanjutkan kerjaya hiburannya dengan berkongsi pengalaman selaku pengadil When Music Speaks bersama bintang seangkatan, Man Bai.



Program yang menawarkan kontrak rakaman bersama NAR Records itu menyasarkan peserta berusia antara 16 hingga 25 tahun.



Selain menjelajah beberapa negeri di Malaysia, program itu juga mencari peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.



Menurut Aishah yang kembali aktif di persada seni selepas menjuarai peraduan realiti Gegar Vaganza 4 (GV4), di sebalik kerencaman bakat anak muda masa kini, beliau mencari artis yang tidak takut menjadi diri sendiri serta ada keunikan yang tiada pada orang lain.



"Ada yang memang luar biasa vokalnya kerana dialah penyanyi dalam kalangan semua penyanyi. Ada yang memiliki pakej wajah tampan yang 'mencairkan' si gadis.



"Ada pula bak seniman jalanan. Yang buat saya macam tak percaya apabila bertemu dengan bakat selamba dengan wajah yang biasanya kita lihat berdiri di perhentian bas! Nampak biasa tapi apabila buka mulut dan nyanyi lagu Melayu dan Inggeris, kita ternganga dan kagum!



"Saya kira inilah masa saya berkongsi pengalaman yang tidak ternilai. Ilmu vokal mereka boleh belajar secara formal di mana-mana tetapi perkongsian saya dalam memberi semangat buat generasi penyanyi muda agar bersiap sedia memang sesuatu yang datang seikhlasnya," ceritanya.



Dengan usaha mencipta semula kerjaya seninya selepas GV4, beliau tampak lebih cergas, apa lagi setelah menjalani pembedahan bariatrik di bahagian perut bagi mengatasi masalah gastrik dan berat badan.



Namun, beliau pilu mengenang kisah nama atau wajah artis dipergunakan bagi perniagaan sesetengah pihak.



"Satu perkara yang perlu penyanyi masa kini tangani adalah apabila gambar mereka dicuri usahawan dalam talian bagi melariskan perniagaan mereka.



"Kalau tak kerana peminat saya beritahu gambar saya digunakan bagi iklan melangsingkan badan, saya takkan tahu wujud perkara sedemikian.



"Apabila saya lantang bersuara, saya mengharapkan ada piawaian perniagaan dan ukurtara bagi melakukan amalan niaga beretika. Sayangnya, selebriti terdedah pada bahaya 'diperguna' oleh peniaga dalam talian atau menerusi penaja sesuatu program," jelasnya.



Berhubung dengan isu penaja GV4, Datuk Seri Vida, yang didakwa memberi hadiah barang kemas palsu dengan perkara itu kini dibawa ke mahkamah, Aishah mengulas:



"Saya akui artis muda mungkin tak berani bersuara. Tapi tak apa, saya ke depan kerana saya enggan industri hiburan kita kerap terjejas dengan isu penaja tidak ikut piawaian berniaga sewajarnya.



"Ini bukan soal bisnes Datuk Vida sahaja. Kalau beliau berniaga, nyanyian saya juga satu bentuk perniagaan dan sumber cari makan saya.



"Selama lapan minggu, saya berhempas-pulas menangani stres dan penat bertanding dalam GV4. Di akhirnya, kita pula yang rugi selepas dijanjikan hadiah lumayan.



"Bagi saya, artis perlu tegas dalam hal ini. Ada 'netizen' yang kata saya tidak bersyukur kerana masih ingin bawa isu ini ke muka pengadilan. Janganlah pertikai pelaburan masa, usaha, kebolehan dan bakat saya sepanjang lapan minggu di GV.



"Tidak semua orang mampu mengharungi jerih payah pertandingan. Saya bekerja keras. Pastinya saya mengharapkan apa yang dijanjikan. Kalau kita lepaskan perkara ini, sampai bila-bila industri hiburan kita akan dicemari dengan janji-janji kosong penaja," katanya lagi.




"Satu perkara yang perlu penyanyi masa kini tangani adalah apabila gambar mereka dicuri usahawan dalam talian bagi melariskan perniagaan mereka... Sayangnya, selebriti terdedah pada bahaya 'diperguna' oleh peniaga dalam talian atau menerusi penaja sesuatu program."
- Penyanyi legenda Wan Aishah Wan Ariffin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >