Ayda Jebat mahu perkukuh nama dalam industri seni serantau

APABILA usianya mencecah 26 tahun pada 17 Mac lalu, tiada apa yang diharapkan penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat kecuali memperkukuh namanya dalam industri seni serantau.

Bintang kecil molek, yang nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, berani berdepan dengan cabaran baru termasuk meneroka bidang perniagaan dan menebarkan sayap seni ke negara lain.

Beliau juga terbuka mencuba watak berat yang memerlukannya mempelajari kemahiran baru seperti bahasa isyarat.

Ini terbukti dengan penampilannya sebagai Ilya, gadis pekak dan bisu, yang kemudian jatuh cinta pada lelaki kelumpuhan otak/palsi serebrum (cerebral palsy) dalam telefilem Aku Nazmi, baru-baru ini.

Telefilem sempena 'Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018' itu merupakan terbitan JS Pictures Sdn Bhd milik bersama pasangan suami isteri, Azman Haji Yahya (Jinggo) dan Sheila Rusly.

PERKASA NAMA DALAM INDUSTRI SENI

Ketika ditemui Gah! di Hotel Ascott Singapore baru-baru ini, Ayda yang turut tercalon dalam kategori Penyanyi MeleTOP dalam 'Anugerah MeleTOP Era' anjuran Astro dan Stesen Era FM, malam ini, berkata:

"Setiap kali sambut ulang tahun atau tahun baru, saya tidak pernah menetapkan sebarang harapan atau azam. Sebabnya, yang diinginkan bagi tahun-tahun sudah pun belum lagi terlaksana atau dicapai.

"Lantaran itu, saya lebih suka bekerja keras demi mengukuhkan nama saya dalam industri seni. Saya mungkin ingin cuba bidang lain seperti perniagaan. Mana tahu saya ada bakat jadi cef? Isy! Tak termakan pula orang dibuatnya!

"Kita tengoklah rezeki bagaimana. Saya pun boleh cuba pasaran di negara lain di luar Malaysia."

CABARAN KUASAI BAHASA ISYARAT

Pelantun lagu rancak Nakal Nakal Nakal itu berada di Singapura bagi rakaman program televisyen Show Malam Ini.

Beliau juga bersyukur diberi kepercayaan menjayakan telemovie sehebat Aku Nazmi yang idea asalnya tercetus daripada pengalaman sebenar seorang insan istimewa dengan kelumpuhan otak.

"Proses membuat persiapan bagi telefilem ini memang sukar. Saya tak tahu satu benda pun tentang bahasa isyarat. Apabila diberi watak ini, saya terfikir, nak buat ke tidak?

"Makan masa bagi saya belajar bahasa isyarat. Kesukarannya membuatkan saya kadangkala terasa nak 'kibar bendera putih' sahaja! Hancurlah bahasa isyarat saya ni.

"Pada hari pertama, guru bahasa isyarat saya kata, 'Ayda, awak lemah bab ekspresi muka... tangan pun kena cepat digerakkan'. Satu persatu baris ayat yang ingin disampaikan watak Ilya ini saya semak.

"Sebelum penggambaran, selama 11 hari saya bertungkus-lumus belajar dan hafal cara menyampaikannya dengan tepat. Saya ada dua guru, seorang memang bersuara tetapi seorang lagi memang cacat pendengaran. Bahasa isyarat yang digunakan pula mengikut ketetapan antarabangsa bukan bahasa pasar," kongsinya.

TIDAK TAKUT ORANG GARANG

Aku Nazmi, dalam pada itu, turut menyatukan Ayda dengan karyawan seni yang cukup disegani, Sheila, yang turut berlakon dalam telefilem itu.

"Orang selalu tanya saya, 'Kau berani berlakon dengan sis (panggilan buat Sheila)?'

"Memang orang kalau tak kenal sis ni, orang akan takut dengannya dan khuatir dia ni garang. Tapi saya ni memang tak takut orang garang.

"Malah, Sheila dah saya anggap macam anggota keluarga sendiri. Apa tak? Saya dah mula berlakon dengannya semasa masih lagi dalam Tingkatan Empat. Jadi pelakon pembantu sahaja masa tu," kongsinya.

Menurut Ayda, seorang pelakon haruslah pandai ambil hati pelakon gandingan, penerbit atau pengarah yang bekerja dengannya.

"Janganlah kita dengar cakap orang. Mentang-mentang orang lain tak boleh 'ngam' dengan sis ni, kita pun ingat macam tu... tak bolehlah. Kita pun kena kenal diri kita sendiri.

"Terus terang saya katakan, sis Sheila ni baik hati. Mungkin kerana beliau mementingkan kesempurnaan, orang takut.

"Beliau juga tegas. Kalau nak bantah ideanya, bukan tak boleh... tapi mestilah kemukakan idea lebih baik. Kalau tak tahu, tanya. Orang marah kita pun, kita kena terima," jelasnya lagi.

SHARNAAZ KAKI LAWAK

Prinsip enggan dipengaruhi pengalaman orang lain turut menjadi sandaran Ayda. Oleh itu, di sebalik kerisauan sesetengah orang lain tentang gandingannya, Sharnaaz Ahmad, dalam drama akan datang, Cinta Bukan Kristal, Ayda relaks sahaja bahkan menganggap Sharnaaz seperti abangnya sendiri.

"Dah beberapa kali berlakon dengan Abang Sharnaaz, dia ni memang gila-gila dan kelakar.

"Orang mungkin tanya, 'Tak takut kena tampar ke?' Eh, taklah. Dia panggil saya adik. Kalau berlakon dengannya, kami saling berpesan jangan buat lawak! Sebab ni drama serius. Kenalah kawal diri daripada tergelak," ujarnya yang baru muncul dengan lagu baru berbentuk dodoian, Bagai Pelangi.

Dalam drama ini, Ayda memegang watak gadis kampung yang tersepit dalam saga percintaan dengan orang kaya yang tidak disedari merupakan suami orang (lakonan Sharnaaz).

BUKAN BAIK ADA MAKNA

Jika pada 2015 dan 2016, Ayda pernah mengungguli 'Anugerah MeleTOP Era' dengan gelaran Top Top MeleTOP (Wanita), beliau menganggap semua itu bergantung pada rezeki.

"Saya tak pernah dekatkan diri dengan peminat sebab nak mereka undi saya. Apabila saya membalas pesanan atau catatan mereka di Instagram kalau ada kelapangan masa, ia bukan bagi tujuan nak 'pancing' undi untuk anugerah.

"Saya ikhlas melakukannya sebagai tanda sayang saya kepada mereka yang berpanjangan. Bukannya sengaja buat baik sebab ada makna, ya? Kalau tak ada anugerah sebegini pun, saya tetap akan usahakan sesi pertemuan dengan mereka," tambahnya yang mempunyai 3.3 juta pengikut Instagram.