Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belajar erti sebenar hidup dengan masyarakat majmuk

Dec 1, 2018 | 5:30 AM
PUSAT PERTEMBUNGAN BUDAYA DAN BANGSA: Menurut Encik Khir, beliau mula menyedari keindahan budaya dan masyarakat lain sejak dari usia muda semasa menetap di Kampong Glam pada sekitar tahun 1960-an.
PUSAT PERTEMBUNGAN BUDAYA DAN BANGSA: Menurut Encik Khir, beliau mula menyedari keindahan budaya dan masyarakat lain sejak dari usia muda semasa menetap di Kampong Glam pada sekitar tahun 1960-an. -

SEBUAH pusat pertembungan budaya dan bangsa daripada semua pelusuk dunia - dari Indonesia hingga ke China ke Afrika.

Inilah yang segar di ingatan Encik Khir Johari, sepanjang beliau membesar di Kampong Glam di sekitar tahun 1960-han.

Bahkan, Encik Khir yang dilahirkan dan dibesarkan di Gedung Kuning - hartanah milik moyangnya, tokoh usahawan Yusoff Mohamed Noor atau dikenali Haji Yusoff 'Tali Pinggang' - belajar mengenal erti berbilang kaum di Kampong Glam.

Mengenang semula pengalaman membesar di kawasan penuh warisan itu, Encik Khir, 50 tahun berkata:

"Saya amat beruntung dapat membesar di sini kerana ia banyak mengajar saya makna hidup dalam masyarakat majmuk hingga membentuk diri saya pada hari ini.

"Secara asasnya, Kampung Glam adalah sebuah petempatan masyarakat Muslim seperti Bokaap di Afrika Selatan.

"Jika anda melihat pada jenis perniagaan dijalankan, masjid dan madrasah yang ada pada masa itu, Kampong Glam memiliki suasana dan sekitaran sebuah bandar Muslim yang kosmopolitan.

"Tetapi pada masa sama, di sini juga, saya memiliki jiran Yahudi dan bertemu dengan warga Afrika yang pertama dalam hidup saya."

Menurut Encik Khir, pendedahan kepada budaya lain turut menanam rasa minat terhadap keunikan budaya lain.

"Pada usia muda, saya mula menyedari keindahan budaya dan masyarakat lain. Misalnya, setiap tahun saya ghairah menantikan pementasan opera Cina di sini di kawasan padang Istana, yang kini dijadikan tempat meletak kereta. Saya masih ingat setiap tahun ada satu festival Sufi yang diadakan bagi memperingati seorang individu alim dari India.

"Saya juga menyaksikan sendiri bagaimana masyarakat di sini bersatu padu, mengumpul wang - tidak kira Muslim atau tidak - yang kemudian digunakan untuk membiayai pengangkutan sekumpulan pemuzik dari India untuk datang ke sini bagi menjayakan satu sambutan di Kandahar Street.

"Saya adalah seperti ini hari ini kerana asal usul saya dibesarkan di Kampong Glam," ceritanya yang bertugas sebagai pengarah firma pelaburan, Chersonese Capital Ltd itu.

Encik Khir turut berkongsi bahawa Kandahar Street merupakan lorong kegemarannya kerana ia begitu bertenaga dengan penghuni berbangsa India daripada berbagai daerah.

"Satu makanan kegemaran saya pada masa itu, yang kini tiada lagi di sini ialah nasi dhal yang dijual di sekitar Bussorah Street.

"Kadang-kadang kalau saya ada lawatan sekolah, nanti saya akan bawa bekas mangkuk tingkat ke kedai itu untuk membawa bekalan nasi dhal," imbas beliau.

Apabila ditanya apakah harapannya terhadap generasi muda hari ini, Encik Khir berkata beliau mahu anak muda terbuka fikiran dan bertanyakan soalan yang kritikal apabila berkunjung ke tempat warisan seperti Kampong Glam.

"Ya tentunya ramai anak muda suka ke sini kerana ia dianggap 'hip' dan 'cool'. Tetapi masa sama, saya mahu mereka menjadi orang yang berfikir. Tanya diri sendiri, "Kenapa jalan ini dipanggil Haji Lane?" atau "Kenapa rumah kedai di sini sangat rendah?"

"Mereka akan ketahui sejarah di sebaliknya, contohnya Kampong Glam merupakan hab untuk jemaah haji dan menjadi lebih sedar tentang suasana mereka," ujarnya.

Dalam acara Kampong Glam Day Out, Encik Khir telah membawa sekumpulan peserta mengunjungi tempat menarik di kawasan itu sambil berkongsi maklumat menarik tentangnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg