Belum masuk panggung... treler 'Munafik 2' dah meletup!

BELUM lagi ditayangkan di pawagam, peminat filem seram Melayu nampaknya sudah tidak sabar menantikan filem susulan Munafik 2 selepas treler filem terbaru itu ditonton lebih 1.7 juta kali dalam tempoh kurang 24 jam dimuatnaik di YouTube.

Pengarahnya, Syamsul Yusof, melahirkan rasa syukur atas sambutan awal peminat terhadap treler filemnya itu sebelum menjengah pawagam pada 30 Ogos nanti.

Kata Syamsul, filem sudah mendapat permintaan tiga negara Asia Tenggara yang berminat menayangkannya di negara mereka.

"Saya mendapat permintaan dari Thailand, Vietnam dan Kemboja yang menunjukkan minat menayangkan Munafik 2 di negara itu.

"Malah, Indonesia juga bersedia menerima kehadiran Munafik 2 selepas melihat kejayaan Munafik di negara itu dua tahun lalu," katanya, lapor Harian Metro.

Menurut beliau, pada masa ini pihak pengedar dari tiga negara itu masih dalam proses mendapatkan tarikh tayangan sesuai.

Syamsul, anak penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, mengakui strateginya untuk melihat susulan filem itu berada di tahap membanggakan kini menjadi kenyataan.

Ia menyusul selepas kejayaan filem itu ditayangkan pada 2016 yang berjaya mengutip lebih RM17 juta ($5.6 juta) di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Untuk pasaran Indonesia, Munafik 2 akan ditayangkan di lebih 100 buah pawagam seluruh negara itu.

"Dulu kami perlu melalui orang tengah dan filem hanya mampu ditayangkan di 30 pawagam sahaja.

"Tetapi kali ini kami terus berhubung dengan pihak pawagam di sana sekali gus memudahkan filem terbaru ini menembusi kawasan lebih besar," katanya.

Tayangan filem Munafik 2 di Indonesia dijangka pada penghujung September iaitu tiga minggu selepas tayangan di Malaysia.

Selain Syamsul, Munafik 2 turut menampilkan lakonan Maya Karin, Datuk Fiz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan dan Datuk Rahim Razali.

Dalam filem kali ini, Maya Karin berlakon sebagai seorang isteri yang diganggu pengamal ilmu hitam, lakonan Nasir Bilal Khan dan Syamsul sebagai Ustaz Adam berusaha menyelamatkanya daripada terus terperangkap dalam kuasa syaitan.


"Saya mendapat permintaan dari Thailand, Vietnam dan Kemboja yang menunjukkan minat menayangkan 'Munafik 2' di negara itu. Malah, Indonesia juga bersedia menerima kehadiran 'Munafik 2' selepas melihat kejayaan 'Munafik' di negara itu dua tahun lalu."
- Syamsul Yusof, Pengarah filem, 'Munafik 2'.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:08
Zuhur
1:13
Asar
4:12
Maghrib
7:15
Isyak
8:24
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.