Dua pementasan teroka identiti sempena Pesta M1 S'pore Fringe

IDENTITI, perpindahan serta sifat semula jadi pulau Singapura bakal diteroka dalam dua pementasan berbeza hasil karya penulis drama Nabila Said, sempena Pesta M1 Singapore Fringe.

Pementasan pertama, yesterday it rained salt, menceritakan hubungan di antara seorang bapa dan anak lelakinya, yang pulang ke rumahnya ketika pulau itu sudah berubah wajah. Ia bakal dipersembahkan oleh Bhumi Collective.

Pementasan kedua pula - Angkat: A Definitive, Alternative, Reclaimed Narrative of A Native, mengisahkan tentang hubungan antara seorang wanita dengan anak angkatnya.

Si ibu merupakan bekas penduduk pulau yang berurusan dengan perpindahan ke tanah besar Singapura, manakala anak perempuannya pula terpaksa bergelut dengan masalahnya sebagai anak angkat. Pementasan itu diarahkan oleh Noor Effendy Ibrahim.

Kedua-dua karya ini mula dikembangkan sejak Nabilah masih bersama dengan program inkubasi pusat seni Centre 42's Boiler Room pada 2015.

Penulis berusia 33 tahun itu berkata: "Beberapa tahun lepas, saya mula sedar akan kedudukan Singapura sebagai sebuah tanah besar, yang menjadi titik tumpuan utama banyak perkara. Ia membuatkan saya berfikir tentang kisah-kisah tersembunyi serta wujud di pinggiran, mereka yang hidup di pulau yang mengelilingi tanah besar itu. Saya dapati bahawa dinamik tersebut amat menarik."

Versi awal bagi monologue yesterday it rained salt pernah dipersembahkan di Bunker Theatre di London oleh Bhumi Collective pada Oktober tahun lepas.

Acara yang dianjurkan oleh The Fringe Festival ini turut menampilkan lebih ramai artis, termasuk pengarah seni bersama Bhumi Collective, Soultari Amin Farid.

Amin, 32 tahun, berkata beliau rasa dekat melihat percubaan watak si anak lelaki, yang cuba berhubung dengan bapanya apabila mereka tidak mempunyai banyak persamaan.

"Saya tidak menonton bola sepak, jadi ayah saya sendiri perlu tangani anak lelakinya yang bersikap keperempuanan (effeminate)," katanya.

"Idea ini menghubungkan penonton dengan seseorang yang diharap dapat bersatu dengan, kerana perkara ini mungkin mustahil terutama apabila anda telah berpisah dengan seseorang dalam jangka masa yang lama."

Menurut akhbar The Straits Times, Angkat: Definitive, Alternative, Reclaimed Narrative Of A Native merupakan versi terbaru dari konsep yang pernah ditulis oleh Nabilah pada 2015.

Ia sepatutnya dipersembahkan oleh Teater Ekamatra tahun lepas, namun skrip tersebut dianggap masih belum siap untuk dipentaskan oleh Irfan Kasban, yang menjadi pengarahnya ketika itu. Pasukannya kemudian menghasilkan pementasan lain berdasarkan ideanya.

Kata beliau: "Sekarang apabila saya sudah bekerja dengan Effendy, saya sedar bahawa saya memerlukan masa bertahun-tahun untuk kembangkan idea tersebut menjadi apa yang saya mahukan. Ketika itu, saya masih tidak tahu apakah yang saya inginkan."

Memandangkan tradisi keluarga Melayu mengambil anak angkat di dalam dan luar masyarakat Melayu sudah lama diamalkan, Effendy, 45 tahun, berkata: "Kini, terdapat ramai golongan Melayu muda yang anda fikir ialah orang Cina, sehingga anda mendengar sendiri mereka bertutur."

Menurut pengarah tersebut lagi, pementasan tersebut "mempersoalkan tentang pertalian darah, bertanyakan tentang warisan dan keturunan".

Anak angkat itu mungkin bukan dari etnik yang sama dengan ibu bapanya dan kadangkala mereka berbelah bagi untuk terima identiti etnik yang dipinjam dan mengkhianati identiti yang ada pada rona kulit sendiri.

"Terdapat penafian tentang sejarah itu, dan di situlah berlakunya ketegangan," katanya.

Sama ada anak angkat itu akan menerima warisannya sendiri ataupun penduduk pulau sedang berurusan dengan tanah besar Singapura, perjuangannya tetap sama, kata Nabilah.

"Idea di mana anda dilahirkan di suatu tempat dan dibesarkan di tempat lain. Bagi saya semua ini berkisahkan tentang anak angkat."

Pementasan yesterday it rained salt bakal diadakan pada 19 Januari depan di Esplanade Annexe Studio. Mereka yang berminat boleh dapatkan tiket dengan harga $15 dari Sistic.

Manakala Angkat: A Definitive, Alternative, Reclaimed Narrative of a Native pula akan diadakan pada 24 dan 25 Januari di NAFA Studio Theatre. Tiket berharga $27.

Waktu Solat

Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:14
Maghrib
7:14
Isyak
8:23
3 HR PSI: 26
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.