RAMAI orang melengahkan jadual untuk menarik keluar gigi bongsu (wisdom tooth) sehinggalah ia mula timbulkan simptom.
Antara sebab yang biasa diberi termasuk takut rasa sakit dan kepercayaan yang menganggap bahawa gigi bongsu tidak perlu ditarik keluar sekiranya tidak timbulkan masalah.
Namun terdapat banyak sebab mengapa gigi bongsu perlu ditarik keluar secepat mungkin.
Gigi bongsu atau molar ketiga biasanya tumbuh pada usia antara 17 dengan 25 tahun, meskipun orang ramai biasanya tidak memerlukannya.
Sekiranya seseorang itu bernasib baik, gigi tersebut tumbuh secara normal, dalam kedudukan yang sempurna, mudah dibersihkan dan tidak menimbulkan masalah.
Namun adalah lebih biasa bagi gigi bongsu untuk tumbuh sebahagian sahaja, ke tepi, ke arah yang salah atau dalam kedudukan yang menjadikannya sukar dibersihkan.
Ini mendedahkan orang ramai kepada penyakit gusi, karies dan jangkitan, kata Konsultan Kanan dan Ketua Jabatan Oral serta Pembedahan Maksimofacial di Pusat Pergigian Nasional Singapura (NDCS), Profesor Madya Klinikal, Andrew B.G Tay.
Menurutnya, satu kajian yang dijalankan di Singapura pada 2003 mendapati hampir 70 peratus daripada 1,000 pesakit berusia antara 20 dengan 40 tahun mengalami satu masalah gigi bongsu yang terjejas - justeru meletakkan mereka dalam risiko jangkitan selain komplikasi lebih sesius seperti sista (cysts) dan tumor yang boleh sebabkan kerosakan kepada tulang rahang.
"Para doktor gigi biasanya nasihatkan mereka yang ingin kekalkan gigi bongsu agar menggosok dan menggunakan flos secara menyeluruh.
"Namun kedudukan gigi tersebut yang jauh ke belakang dan dekat dengan molar kedua menjadikannya lebih mencabar untuk dibersihkan," katanya dalam artikelnya kepada akhbar The Straits Times.
Amalan membersihkan yang tidak sempurna boleh timbulkan bakteria, menyebabkan gigi rosak dan radang di sekeliling gusi.
Inilah masanya pesakit akan mula berjumpa doktor gigi.
Padahal gigi bongsu boleh ditarik keluar menerusi prosedur mudah di mana gigi ditarik keluar selepas diberi anaestesia lokal untuk menjadikan kawasan itu kebas.
Apabila gigi terjejas atau dalam kedudukan aneh, proses menarik keluarnya menjadi lebih rumit dan anaestesia umum mungkin diperlukan.
Ini akan melibatkan proses 'menarik' gusi untuk mendedahkan gigi itu dan tulang di sekelilingnya bagi menarik keluar gigi tersebut.
Dan biasanya proses menariknya keluar dilakukan dengan membahagikan gigi tersebut kepada beberapa bahagian sebelum setiap bahagian itu ditarik keluar.
Kajian menunjukkan bahawa pesakit dengan gigi bongsu mereka ditarik keluar semasa berusia 25 tahun ke atas mengalami lebih komplikasi.
Ini termasuk soket yang kering, satu masalah yang menyakitkan di mana darah beku tidak terbentuk dengan cukup atau ia terkeluar sebelum lukanya pulih.
Pesakit lebih tua juga mempunyai tulang yang lebih padat di bawah gusi, maka menjadikan proses menarik keluar gigi tersebut lebih sukar dilakukan.
Selain itu, terdapat komplikasi kesihatan lain apabila gigi bongsu ditarik keluar pada usia yang agak lewat.
Contohnya, pesakit kencing manis mengambil masa lebih lama untuk pulih daripada prosedur pembedahan dan mungkin lebih terdedah kepada jangkitan.
Memandangkan proses menarik keluar gigi bongsu biasanya dilakukan semasa tahap glukos pesakit itu normal, seorang pesakit mungkin terpaksa menahan sakit dan komplikasi yang timbul akibat jangkitan sedangkan beliau cuba mengawal kadar glukosnya.
Ini boleh mengambil masa berbulan lamanya.
Pesakit barah atau jantung yang memerlukan radioterapi bagi barah kepala dan leher atau pembedahan jantung perlu kelulusan pergigian bagi menentukan mereka bebas jangkitan pergigian seperti masalah gigi bongsu.
Bakteria daripada mulut boleh masuk ke saluran darah dan menuju ke organ seperti jantung yang boleh menyebabkan komplikasi serius.
Sekiranya pesakit mempunyai masalah gigi bongsu, beliau mungkin perlu menjalani proses menariknya keluar.
Ini kemudian akan melengahkan rawatannya.