Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Imam Shah rela tidak dikenali asal lakonan menjadi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Imam Shah rela tidak dikenali asal lakonan menjadi

Oct 20, 2019 | 05:30 AM



Mereka mungkin bukan nama besar dalam industri filem dan drama Malaysia seperti Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adiputra. Namun, perjuangan mencari rezeki dan memburu pengalaman di seberang Tambak benar-benar mendewasakan dua pelakon Singapura, Imam Shah dan Shah Iskandar Mahfuz. Ikuti laporan wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg).



DI dalam hati kecilnya, bakat Singapura Imam Shah menyimpan hasrat bergelar pelakon dengan kemahiran dan seni lakon yang baik lagi berkesan.



Tidak sedikit pun, jejaka sasa yang nama sebenarnya, Muhammad Imam Shah Abdul Mutalib, 30 tahun, ingin mengecapi kepopularan yang dianggap mampu lenyap sekelip mata.



Justeru itu, tatkala mengambil keputusan ke seberang Tambak bagi memperkasa kerjaya seninya, beliau dapat menjangkakan jerih payah yang bakal diharungi.



Tambahan pula, ibunya merupakan pelakon veteran Mariana Yati yang sudah banyak makan garam lantas menasihatinya tentang putaran roda kehidupan si anak seni.



Baru-baru ini, Imam yang menjayakan drama TV3, Kau Yang Pertama, kembali ke Kota Singa bagi menjayakan watak utama dalam siri drama mini Saga (Musim Kedua).



Drama itu akan disiarkan setiap Rabu mulai 25 Mac tahun depan sebagai meraikan ulang tahun ke-20 Mediacorp Suria.



Ia dijayakan beberapa bakat Singapura yang sudah menempa nama di Malaysia seperti Hasnul Rahmat, Jeff Catz, Hannah Delisha dan Shah Iskandar.



Ketika ditemui di Studio Mediacorp baru-baru ini, Imam berkata:



"Sebenarnya, perjalanan saya dalam bidang hiburan di seberang Tambak amat sepi sebab saya jenis pelakon yang tidak suka mendedahkan kehidupan peribadi saya kepada awam.



"Saya suka buat hal sendiri dan amat pemalu walaupun nampak macam muka tak tahu malu! Saya paling takut naik pentas untuk berhujah dan mudah menggelabah, sama seperti ibu. Kadangkala kehidupan saya ini amat membosankan kerana kebanyakan masa, saya menghabiskan waktu terluang dengan bersenam di gimnasium atau setakat berehat di rumah.



"Keinginan saya hanyalah ingin memperkasa kemahiran lakonan saya agar lebih mantap. Saya tidak fikirkan soal ingin dikenali.



"Kalau ada yang anggap wajah dan penampilan diri seseorang pelakon cukup sebagai pasport kejayaan, saya tidak fikir begitu. Dari segi wajah dan penampilan diri, ramai wira Malaysia memang kalahkan kita. Jadi, kita perlulah mantapkan lakonan kita."



Beliau juga berpegang teguh kepada prinsip ibunya yang selalu menegaskan bahawa "apabila seseorang berasakan dirinya adalah yang terbaik, itulah jalan pada kemusnahan kerjayanya".



"Kerana itu, mummy (panggilan buat ibunya) jarang puji saya sebab beliau tidak mahu saya besar kepala atau merasakan saya yang terbaik," katanya.



Sepanjang mencari rezeki di Kuala Lumpur, Imam juga belajar berdikari dan masak sendiri. Klip video YouTube dan panduan ibunya menjadi sandaran.



"Selalulah saya hubungi mummy. Beliau akan beri panduan masak ayam, misalnya, gunakan dada ayam dan tambah bermacam rempah secukup rasa.



"Kadangkala, Cef Bob jadi rujukan sampaikan beliau nak datang ke Kuala Lumpur bagi membimbing saya dalam seni memasak. Katanya, biar beliau masakkan saya...saya tinggal makan sahaja!" katanya lagi.



Sebagai seseorang yang agak payah memuatnaikkan gambar di Instagram kerana lebih suka merahsiakan kehidupan peribadinya malah malu, Imam akur menjadi mesra Instagram atau Facebook adalah antara tuntutan yang beliau perlu penuhi sebagai artis dalam era media sosial.



"Dalam zaman sekarang ini, kita perlu berhati-hati dan usah terjebak dalam perkara yang boleh membawa fitnah.



"Kerana itu, saya sibukkan diri dengan berkunjung ke gimnasium. Sejak 18 Januari lalu pula, saya memang gigih berlatih bagi Saga 2.



"Senaman yang saya lakukan condong ke arah mengurangkan dan meringankan berat badan saya. Saya pelajari silat, lakukan rutin tinju dan muay thai serta memperbaiki pernafasan saya. Rutin ini dilakukan secara berterusan. Memang kepenatannya terasa.



"Bagaimanapun, demi watak saya dalam Saga 2, saya tidak ambil sehari pun waktu rehat daripada latihan gimnasium. Kalau dalam musim pertama, saya hanyalah pengawal peribadi watak Jeff Catz, kini saya adalah watak utama dengan perjuangan tersendiri.



"Kaki terseliuh serta jari-jemari kaki dan tangan lepuh sudah menjadi perkara biasa. Begitu juga kunjungan ke pakar fisioterapi. Lebih baik mengalami kecederaan sebelum penggambaran bermula.



"Mummy pun bimbang tentang keselamatan saya dan selalu berpesan kepada saya agar jaga diri, tidur awal dan jaga pemakanan," jelasnya yang melihat pelakon serba boleh Bront Palarae sebagai pelakon yang wajar diteladani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >