Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

2 & 11 Angka rungkai kisah keluarga, cinta dan seni Yusoff Maruwi

Aug 29, 2021 | 05:30 AM



DUA angka membawa makna besar bagi diri pelakon dan pengarah komedi tempatan, Yusoff Maruwi.



Angka 2 - menceritakan asal usul nama dan keluarganya.



Angka 11 - merungkai sebab beliau berkahwin lewat pada usia 40an tahun, kisah adik-beradik dan tarikh lahir.



Mungkin 2 juga menjelaskan dua badan kesenian utama - Kelab Drama Panggung Negara dan Perkumpulan Seni (PS) yang pernah mengasah bakatnya dalam bidang lakonan dan komedi yang mengharumkan namanya sehingga hari ini.



Itulah antara yang didedahkan, dalam biografi, '2 Al Kisah Yusoff Maruwi - Hidup, Cinta dan Seni' - yang telah dilancarkan baru-baru ini.



Yusoff, yang masih sihat dan cergas pada usia 67 tahun dan mempunyai pekerjaan sepenuh masa dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) merupakan antara pelawak yang telah memainkan peranan sebagai pemimpin bidang kesenian, bukan setakat sebagai pelakon atau pelawak, bahkan penulis skrip dan pengarah.



Dalam interviu dengan Berita Minggu (BM), seniman yang boleh berbicara serius di tengah-tengah jenakanya berkata beliau menghasilkan biografi itu kerana menyimpan banyak cerita menarik yang mewarnai kehidupan peribadi dan penceburan dalam bidang seni yang beliau yakin wajar dikongsi sebagai rujukan dan bacaan santai.



2 Nama



Tentu saja ada aspek sejarah yang menarik terutama berkaitan dengan kawasan perkampungan Kampong Nekat (dekat Onreat Road), tempat beliau dibesarkan, selain perkongsian mengenai zaman kegemilangan teater Kelab Panggung Negara dan PS.



Menarik sungguh apabila beliau bercakap tentang angka 2, yang menceritakan mengapa beliau mempunyai dua nama yang berdaftar.



Selain Yusoff, beliau sebenarnya dikenali dengan nama Hussein, nama yang sebati di kalangan para penduduk Kampong Nekat satu ketika dulu.



"Semasa saya baru-baru berlakon di televisyen pada 1979 dulu, orang Kampong Nekat begitu kecoh dan bangga... tetapi bila di akhir rancangan, mereka cari kredit nama saya, nama Hussein tak keluar. Ramai yang bertanya.... Hussein, kenapa nama kau tak ada dalam kredit? Mereka tak sedar, nama yang keluar ialah Yusoff Maruwi, bukan Hussein," ceritanya.



Menurut Yusoff, angka 2 juga bererti beliau mempunyai dua keluarga - keluarga kandung dan keluarga angkat.



"Saya anak ke-11 dalam 13 beradik. Tetapi saya dibesarkan dalam keluarga angkat. Orang dulu-dulu suka tukar nama bila anak diberi pada orang lain.



"Nama bapa saya pula sebenarnya Kemat. Tetapi di zaman Jepun, askar Jepun suka panggil dia dengan nama Maruwi kerana lebih senang disebut gaya Jepun, Ma ru wi .. sampai nama itu ditulis untuk kertas-kertas rasmi," ceritanya.



11 kali putus cinta



Tentang jodoh yang lambat, Yusoff akui pernah putus cinta sebanyak 11 kali sebelum menemui isteri sekarang, Sanisah Ismail.



"Terus terang, saya dulu kalau dengar lagu S.M.Salim, Apa Nak Jadi, saya cukup terasa... kerana lagu itu semacam memperli keadaan saya yang asyik tak jadi kahwin... sampai saya gurau dengan mak, minta matikan radio bila lagu itu disiarkan. Kawan-kawan usik suruh mandi bunga.



"Sebenarnya pada usia 25 tahun saya dah bersedia nak kahwin. Calon pertama ialah sepupu jauh yang menetap di Malaysia, tetapi tak menjadi sebab dia berubah hati.



"Calon lain pun sama.. ada yang dah tersuka orang lain, ada yang kata saya lambat sangat masuk minang. Sampai dah 45 tahun, baru akhirnya bertemu jodoh," ujarnya. Isterinya, Sanisah, merupakan peminat setia yang sentiasa menyokong kerjayanya.



Nadanya menjadi serius sedikit apabila mengungkap penglibatannya dalam bidang drama yang cukup diminati sejak berusia belasan tahun.



Tiba-tiba nama Bengkel Drama Kuo Chuan disebut semula - kerana di situlah tempat Yusoff mula didedahkan kepada seni lakon di bawah bimbingan seorang guru, Alias Husaini pada 1974. Pelakon seangkatan, Jumali Kusmadi (yang kini sudah berhijrah ke Perth, Australia) juga berasal dari kelab tersebut.



Bakat melawak



Namun belum sempat bengkel berakhir, kelab itu ditutup. Yusoff dan Jumali kemudian menyertai Kelab Drama Panggung Negara, yang antara pembimbingnya ialah Nadiputra dan Allahyarham Zulkassim Daud



"Saya masih ingat, dalam satu sesi bengkel drama, sebagai budak baru kelab itu, saya disuruh bercakap tentang apa sahaja dalam tempoh lima minit. Tujuannya ialah untuk melihat sejauh mana peserta ada keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai. Peserta lain nak habiskan lima minit sampai berpeluh-peluh, tetapi saya bercakap sampai lebih 20 minit... dan sempat buat orang ketawa. Daripada itu, Abang Zulkassim sedar bakat komedi yang ada dalam diri saya," kongsi Yusoff, yang beberapa tahun kemudian di angkat sebagai presiden kelab itu.



Bersama kelab itu, beliau mendapat peluang menyertai Pesta Drama Sriwana yang dipentaskan di Pusat Drama Canning Rise dan Panggung Victoria, membawakan drama Tuhan Tuhan, bersama Jumali dan Allahyarham Amir Hamzah.



Antara pementasan teater yang tidak dapat dilupakan ialah Aniaya Jenayah tulisan Jaafar Latiff pada 1976 di Panggung Victoria yang mana tetamu VIP seperti pengarah televisyen, Allahyarham Bani Buang, pelakon veteran Allahyarham Osman Zailaini dan Allahyarham M. Ramlee datang berjumpanya di bilik VIP semasa sesi jamuan dan mengucapkan tahniah sambil memeluknya kerana terhibur dengan pementasannya.



"Saya jadi gamam bila orang-orang seni hebat seperti Osman Zailani dan M.Ramlee tiba-tiba peluk saya dan ucapkan tahniah," ujarnya.



Wak Cantuk merajuk



Daripada pementasan itu jugalah, Allahyarham Bani bawa Yusoff ke drama-drama televisyen mulai 1979. Yusoff juga pernah bertugas sebagai penolong pereka grafik dan kemudian penulis sari kata bahasa Melayu bagi rancangan bahasa Inggeris secara sepenuh masa di stesen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) - kini Mediacorp. Siri popular 'Charlie's Angles antara drama yang sarikatanya disiapkan Yusoff.



Beliau kemudian berhijrah ke PS selepas Panggung Negara tutup pada 1984 dan terus diterima duduk dalam jawatankuasa persatuan.



Bersama PS, Yusoff pernah memainkan peranan sebagai Ketua Unit Drama.



"Semangat kekeluargaan dalam PS cukup kuat pada era 1980an dan 1990an. Bukannya kami terima bayaran pun untuk berlakon, tetapi sanggup turun berlatih dua kali seminggu. Kami bergotong royong siapkan keperluan pementasan teater," ujarnya.



Selain sering menerajui pementasan berkonsep komedi, beliau juga pernah mengarah teater serius, seperti Wak Cantuk, yang skripnya berdasarkan buku tulisan Allahyarham Abdul Ghani Hamid.



Kisah drama Wak Cantuk itu juga menyimpan kenangan peribadi tersendiri buat diri Yusoff.



Menjawab pertanyaan wartawan jika beliau mempunyai hajat yang tidak kesampaian dalam seni, beliau berkata: "Sebenarnya, saya mengidam untuk membawa watak utama Wak Cantuk, seorang guru silat, kerana saya yakin boleh membawanya dengan baik. Saya juga ada kemahiran dalam pencak persilatan. Drama itu sepatutnya diterajui pengarah lain.



"Tetapi kerana marah dengan pelakon yang tidak berdisplin, pengarah undur diri. Akhirnya saya disuruh mengarah drama itu. Walaupun bangga kerana diberi kepercayaan untuk mengarah drama serius, tetapi saya terkilan terlepas peluang bawa watak Wak Cantuk," kongsi beliau.



Dalam buku itu Yusoff juga menceritakan sebab-sebab beliau menyepi diri daripada PS sejak 2007 sedang beliau masih bersemangat untuk berbakti kepada persatuan itu. Beliau hanya aktif di luar PS.



"Ya, saya merajuk. Saya masih ahli dan sudi untuk kembali kalau kecil tapak tangan PS tadahkan. Saya mahukan suasana yang aktif, jujur dan ikhlas kerana orang lama menganggap ahli bak sebuah keluarga seni," ujarnya.



Buku yang dihasilkan menggunakan duit poketnya sendiri, yang dicetak 100 nashkah telah pun habis dijual di hari pelancaran Ahad lalu dan Yusoff merancang membuat cetakan kedua tidak lama lagi.



"Apa yang saya tulis menggambarkan suka duka hayat saya, dalam cinta dan berseni. Apa pun yang berlaku, biarlah ia seperti biduk berlalu kiambang bertaut. Saya lebih suka menghiburkan orang, bukan sebaliknya," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >