Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

3 pemenang 'Suara 3.0' kota impian gilap bakat seni

Pertandingan nyanyian anjuran Wisma Geylang Serai bakar semangat belia
Jan 27, 2022 | 05:30 AM



SEBAK di dada tidak dapat ditahan penyanyi muda, Muhammad Haziq Mohamadan, apabila beliau diumumkan sebagai juara pertandingan nyanyian Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 3.0, Ahad lalu.



Di fikirannya menerawang wajah arwah ibu yang selama ini menjadi pendorong buatnya membangun kerjaya seni suara dek minat mendalam.



Jurutera bersekutu berusia 23 tahun itu kehilangan ibunya sekitar Ogos tahun lalu kerana komplikasi beberapa penyakit.



Berbekalkan lagu Jampi, dendangan asal Hael Husaini, Haziq mengatasi sembilan finalis lain dalam peraduan sengit yang diadili Ann Hussein, Didicazli dan Asnida Daud di WGS.



Dalam wawancara Zoom bersamanya, beliau yang membawa pulang $5,000 dan peralatan audio, berkata:



"Saya tak terkata-kata apabila diumumkan sebagai juara. Macam tak percaya. Wajah ibu saya bermain di minda. Kadangkala terasa alangkah indah kalau beliau dapat menyaksikan detik kemenangan saya.



"Bagaimanapun, bapa dan tunang saya menonton persembahan tempoh hari. Ia juga bermakna kerana ini kali pertama mereka dengar saya menyanyi lagu Jampi di khalayak ramai.



"Sebelum ini, semasa sesi uji bakat Anugerah, saya bawa lagu ini. Cuma kerana ia dibuat di ruang tertutup, mereka tak dapat mendengar dendangan lagu tersebut."



Haziq dibimbing bapanya dari segi menggilap suaranya.



Bapanya juga seorang vokalis band yang membuat persembahan di majlis kahwin bersama ibunya suatu ketika dahulu.



Dengan kemenangan ini, Haziq, anak keempat dalam lima beradik meraih kekuatan membina kerjaya seninya ke peringkat lebih dalam lagi.



Sebelum menyertai Suara 3.0, beliau juga diberi kepercayaan oleh pemuzik Jaybon dan penyanyi serta penulis lirik Nana Karia agar merakam lagu bermakna Sirna.



"Saya merasakan platform Suara 3.0 ini sebagai baik dalam membina keyakinan diri saya dan memberi saya panduan bagaimana atasi rasa gementar dan malu atau cara sebaiknya melontar suara.



"Selepas ini, saya, abang dan bapa saya akan usahakan pula lagu baru yang kami ingin rakam sebagai kenangan buat arwah ibu," ceritanya lagi.



Naib juara Suara 3.0, Mohammad Rizuan Rashid, 35 tahun, memang tidak asing lagi dalam menyertai gelanggang pertandingan adu bakat.



Beliau malah telah menyerantau ke Filipina bagi peraduan realiti lagu Tagalog, I Love OPM (Original Pinoy Music), disusuli ke Indonesia bagi Dangdut Academy Asia 2 (DAA2) pada 2016.



Rizuan mempertaruhkan irama tradisional dendangan asal penyanyi Indonesia, Iyeth Bustami, Laksamana Raja Di Laut, bagi peringkat akhir Suara 3.0.



"Walaupun sudah biasa bertanding, rasa gementar adalah perkara biasa yang akan hadir setiap kali saya masuk bertanding.



"Sebenarnya, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk jadi antara 'Tiga Pemenang Utama'. Memang semua orang masuk peraduan nak menang, tetapi tidak sampai perkara itu melarikan tumpuan kita pada matlamat asal ingin menghiburkan orang di luar sana.



"Saya pula pilih irama tradisional walaupun tidak begitu mahir dalam genre lagu sebegini kerana ingin memasyarakatkan budaya dan khazanah lagu Melayu agar ia terus mekar dan tidak pupus," katanya.



Rizuan, yang membawa pulang $3,000 dan peralatan audio sebagai hadiah, gemarkan suasana kekeluargaan WGS, ditambah dengan adanya kegiatan berunsur budaya yang sedang diusahakan buat masyarakat Melayu di sini.



"Saya tertarik pada misi dan visi WGS untuk mengetengahkan kegiatan berunsur seni dan budaya seperti program tarian besar-besaran sebab ia akan membawa kita kembali pada asal-usul kita sebagai anak Melayu.



"Mudah-mudahan, saya dapat sama-sama teroka unsur kebudayaan ini dan memberi sumbangan sebaiknya," katanya lagi, yang menyertai Suara 3.0 bersama beberapa teman koirnya yang merupakan tonggak sokongan.



Pemenang ketiga, Roseryani Mohammed Jefferi, 25 tahun, yang membawa pulang $1,000 sebagai ganjaran, pula terharu kerana menemui 'keluarga baru' di pentas Suara 3.0.



Eksekutif acara ini, yang dikenali dengan nama pentas, Rose Jeff, membuka tirai peraduan dengan menyanyikan lagu Aina Abdul, Semalam.



"Sebenarnya, saya gementar juga sebab diminta menjadi peserta pertama membuat persembahan. Biasanya, peserta pertama inilah yang membentangkan 'mood' dan 'mode' persembahan.



"Kalau persembahan saya 'mendung', akan terjejaslah momentum selanjutnya. Tapi kalau saya beri yang terbaik, ia juga menjadi aras untuk peserta lain berikan yang terbaik untuk meneruskan persembahan dengan sajian lebih baik lagi," jelasnya.



Rose banyak belajar daripada peraduan itu dan peserta lain dan menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk bakat baru bertapak dalam persada seni Singapura.



"Akhirnya, saya temui teman-teman yang suka menyanyi seperti saya. Sebelum ini, saya tercari-cari wadah bagaimana dapat perkembangkan bakat saya.



"Saya memikirkan untuk mencari ruang menebar bakat saya selepas ini, sama ada mempelajari selok-belok merakam 'single' baru atau jalin projek kerjasama dengan rakan lain. Ada banyak kemungkinan yang saya syukuri," katanya lagi.




Peraduan adu bakat seperti Suara yang masuk tahun ketiga diadakan memberi landasan bagi belia kita pamerkan bakat masing-masing di samping membuka lebih banyak peluang untuk tebar minat dalam arena seni suara.



Ia bukan sahaja baik buat peserta tetapi masyarakat am juga dalam melihat pembentukan dan pembangunan bakat seni. Semangat berkobar-kobar peserta yang membara adalah nilai penting dalam dunia seni.



Saya juga gembira melihat bakat 'Suara' daripada edisi sebelum ini yang kembali dengan prestasi lebih baik dan menampakkan kemajuan seperti juara 'Suara 2.0', Syah Riszuan, yang sudah terlibat dalam bermacam persembahan. Ini petanda WGS dapat menjadi batu loncatan atau penyokong pada kerjaya seni mereka.|
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga penasihat Wisma Geylang Serai (WGS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >