Oleh KATHY MILLS dan CHRISTIAN MORO
Kecerdasan buatan (AI) bukan perkara baru. Malah, ‘chatbot’ dan AI generatif sudah wujud sejak 1960-an.
Namun, sejak kebelakangan ini, AI berkembang pesat kerana saiz pangkalan datanya semakin besar, pelaburan kewangan yang tinggi, kod yang lebih inovatif, serta akses dan kegunaannya yang semakin mudah.
Ramai ibu bapa mungkin ragu-ragu dengan AI.
Malah, ada sekolah yang mempertimbangkan untuk melarangkan penggunaannya kerana khuatir ia akan menyebabkan penipuan dan menjejaskan kewibawaan akademik.
Meskipun begitu, AI tidak akan pudar, malah akan lebih banyak digunakan dalam kehidupan harian kita.
Lebih awal kanak-kanak belajar menggunakan teknologi ini, lebih bersedia mereka boleh menggunakannya secara bijak dan berkesan.
Jika anda ibu bapa, adalah penting untuk mencuba AI supaya dapat membimbing anak anda.
Cuba gunakan salah satu wadah AI generatif percuma dan tanyakan soalan bersama anak anda dan bincangkan jawapannya.
AI generatif boleh melakukan perkara yang menakjubkan, termasuk menghasilkan imej atau menulis cerita.
Tetapi ia tidak berfikir atau menilai apa yang ditulis, ia hanya menyusun perkataan supaya kelihatan masuk akal.
Ia juga tidak boleh menentukan sama ada sumber maklumat boleh dipercayai, dan tidak semestinya menyediakan bukti sahih.
Selain itu, kebanyakan AI dilatih berdasarkan data daripada tempoh tertentu, jadi ia mungkin tidak tahu tentang peristiwa terkini.
Oleh itu, kanak-kanak perlu faham bahawa walaupun teks AI nampak seperti tulisan dalam buku atau artikel, ia sebenarnya dijana oleh komputer.
Setiap perkataan dan ayat perlu dibaca secara berhati-hati. Ini peluang untuk melatih kemahiran berfikir secara kritis anak anda.
Contohnya, gunakan AI untuk menghasilkan imej bersama anak anda.
Kemudian tanyakan soalan seperti: “Manusia warga apakah yang ditunjukkan? Siapa yang tidak ditunjukkan? Ada stereotaip atau tak?”
‘Chatbot’ ialah program komputer yang meniru perbualan seakan-akan manusia.
Sebagai contoh, aplikasi Replika mempunyai lebih 10 juta pengguna pada 2022.
Ia dipromosikan sebagai ‘teman maya’ yang prihatin, malah boleh menjalin hubungan romantis dengan pengguna.
Masalahnya, banyak ‘chatbot’ seperti ini tidak mempunyai kawalan atau pemantauan manusia.
Jika anak anda menghabiskan masa terlalu lama dengan ‘kawan AI’ ini, ia boleh membawa kepada perbualan yang terlalu peribadi atau tidak sesuai.
Tegaskan kepada anak anda bahawa AI hanyalah mesin, bukan manusia. Ia hanya mengikut data dan algoritma, serta tidak mempunyai nilai, budaya atau agama seperti kita.
Selain teks, AI generatif juga menghasilkan imej, video dan audio. Kanak-kanak mungkin berhati-hati dengan teks, tetapi cuai apabila memuat naik gambar.
Gambar wajah mereka boleh digunakan dan diproses oleh AI, sekali gus menjejas privasi.
Misalnya, ChatGPT kini mempunyai fungsi imej yang boleh digunakan dalam perbualan dengan ‘chatbot’.
Terangkan kepada anak anda tentang bahaya memuat naik data peribadi kerana ia boleh disimpan, dianalisis dan digunakan oleh AI.
AI boleh menjadi alat pembelajaran dan pendekatan yang sangat berguna.
Dengan perbincangan terbuka dan pengawasan ibu bapa, kanak-kanak boleh meraih banyak manfaat daripadanya.
Kathy Mills ialah Profesor Literasi dan Budaya Digital di Universiti Katolik Australia, manakala Christian Moro ialah Profesor Madya, Sains & Perubatan, di Universiti Bond. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, satu laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.
“
“Terangkan kepada anak anda tentang bahaya memuat naik data peribadi kerana ia boleh disimpan, dianalisis dan digunakan oleh AI. AI boleh menjadi alat pembelajaran dan pendekatan yang sangat berguna. Dengan perbincangan terbuka dan pengawasan ibu bapa, kanak-kanak boleh meraih banyak manfaat daripadanya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg