Sejak sempadan dibuka semula setelah pandemik Covid-19, banyak destinasi popular di serata dunia menjadi semakin sesak.
Tapak yang dahulunya menawarkan suasana tenang kini mengalami lonjakan pengunjung yang tinggi, menyebabkan sesetengah kawasan memperkenalkan langkah-langkah kawalan jumlah pengunjung.
Bagaimana pengunjung ingin nikmati semula ketenangan tersebut tetapi menikmati keindahan yang serupa?
Pengendali pelancongan mewah Scott Dunn menyarankan lima destinasi berikut:
Berjemur dalam cahaya matahari sambil menikmati keindahan Sicily, Italy (untuk musim panas romantis di Eropah)
Tasik Como, Pantai Amalfi, Cinque Terre: sememangnya keindahan sewaktu musim panas sukar ditandingi lebih-lebih lagi dengan suasana romantik Italy yang ditawarkan di tepi laut.
Namun, konsultan perjalanan kanan Scott Dunn, Cik Geraleine Yap, menyarankan satu tempat di Italy yang kurang diketahui tetapi tetap menyajikan keajaiban sama, tanpa kesesakan musim panas.
“Saya meluangkan masa yang tidak boleh dilupakan sewaktu musim panas di Sicily sambil berbasikal sepanjang pantai, mendaki gunung berapi yang tidak aktif, dan menikmati pemandangan cantik lautan di sekeliling,” katanya.
Cik Yap mencadangkan agar Sicily dikunjungi pada Julai dan Ogos, di mana suhu sekitar 28 darjah Celsius yang agak selesa.
Suhu pada bulan lain pula antara 15 dengan 26 darjah C.
Antara tempat menarik termasuk Catania, pelabuhan lama di pantai timur Sicily.
Hayati keajaiban alam Kepulauan Galapagos, Ecuador (untuk pengembaraan lasak)
Hutan hujan Peruvian Amazon telah lama menjadi tarikan buat para pelancong yang mencari keindahan semula jadi yang terpencil dan tidak terusik.
Namun kini, satu lagi destinasi semakin mendapat perhatian ramai.
Pengurus hubungan di Scott Dunn Private, Cik Jean Tay, berkongsi bahawa kepulauan Galapagos di Ecuador, menawarkan pengalaman alam semula jadi yang turut mengasyikkan, menampilkan hidupan liar yang jarang ditemui, semuanya dalam kawasan hutan simpanan yang dilindungi dengan teliti.
“Saya mengunjungi Kepulauan Galapagos awal tahun ini dan berpeluang melawat pulau-pulau utama dengan menaiki salah satu kapal persiaran sangat mewah terbaru di sana, Hermes.”
“Hanya ada 20 tetamu di atas kapal, dan nisbah kru kepada tetamu hampir 1:1. Setiap hari, kami dibawa menjelajah dan mendaki bersama jurupandu bertauliah pemerintah yang berpengalaman – saya sempat melihat begitu banyak haiwan unik seperti burung ‘blue-footed booby’, penyu gergasi, malah singa laut yang menarik hati!” katanya.
Selepas seharian menjelajah pulau atau melakukan snorkeling berdekatan iguana laut, Cik Tay dapat bersantai di Hermes – berendam dalam jakuzi peribadinya atau menikmati pemandangan matahari terbenam dari tingkap bilik dari lantai ke siling.
Saksikan penghijrahan flamingo di Tanzania (untuk paparan dramatik hidupan liar)
Penghijrahan besar-besaran atau ‘Great Migration’ hidupan liar di Serengeti dikenali sebagai salah satu keajaiban alam semula jadi terhebat di dunia.
Tidak hairanlah memandangkan ia melibatkan sejumlah besar mamalia yang merentas benua sepanjang ribuan kilometer demi mencari padang ragut yang segar.
Namun, satu lagi fenomena alam yang tidak kurang menakjubkan – dan lebih sukar untuk diramalkan – ialah migrasi besar-besaran flamingo di Tanzania, seperti yang disyorkan oleh Pakar Pelancongan Afrika dan Pemimpin Pasukan di Scott Dunn, Cik Gwen Ho.
Setiap tahun semasa musim hujan, ribuan burung berwarna merah jambu hinggap di Tasik Manyara, mencipta pemandangan yang sungguh mempesona.
“Saya pernah dengar betapa ajaibnya pemandangan itu, terutamanya ketika matahari terbenam.
“Memang luar biasa untuk melihat seluruh kawasan persisiran tasik dihidupkan dengan warna merah jambu disebabkan flamingo itu!”
“Tambahan pula, dengan lebih 400 spesies burung yang boleh ditemui di Taman Nasional Tasik Manyara, ia benar destinasi impian buat sesiapa yang minat memerhati burung,” kata Cik Ho.
Buru ‘hantu gunung’ dalam safari India (jika mahu terserempak dengan haiwan jarang ditemui)
Walaupun lawatan safari di Afrika terus menjadi impian utama ramai pelancong, sebahagian daripada mereka kini ingin meluaskan pengalaman dengan meneroka pengembaraan hidupan liar yang lebih unik.
Di kawasan paling utara India, terdapat seekor haiwan ‘agung’ yang berkeliaran – harimau bintang salji atau ‘snow leopard’, yang sering digelar sebagai hantu gunung atau ‘ghost of the mountains’.
Jauh dari savana Afrika, banjaran gunung berbatu di India ini menawarkan peluang kepada pelancong menyaksikan spesies ini dalam habitat semula jadi yang dramatik dan tidak terusik.
Ladakh boleh diterokai dengan berjalan kaki atau menggunakan SUV, mengikuti jurupandu yang dapat mengenal pasti lokasi terbaik untuk menyaksikan harimau ini yang sukar dilihat.
Di lembah itu, pengunjung juga berpeluang memerhati hidupan liar lain seperti domba liar, kambing gurun, serigala dan rubah Himalaya.
Susuri warisan bandar China (untuk menikmati musim bunga sakura)
Bunga sakura bukan hanya unik di Jepun.
China juga menyajikan pemandangan bunga sakura menakjubkan, terutamanya ketika musim bunga.
Walaupun bunga sakura boleh dilihat di pelbagai kawasan di China, Cik Yap mencadangkan beberapa tempat istimewa.
Taman Yuyuantan di Beijing terkenal sebagai salah satu taman terbesar di bandar itu dan masyhur dengan Festival Bunga Sakura yang diadakan setiap musim bunga.
Di Shanghai, pengunjung boleh melawat Taman Gucun yang luas, menempatkan lebih 16,000 pokok sakura dan sebuah roda ferris yang menawarkan pemandangan indah dari udara – sesuai untuk melihat bunga berkembang mekar dari sudut yang unik.
Untuk melihat gabungan sejarah dan keindahan, Cik Yap menyarankan Kuil Qing Long Xi’an yang menempatkan hampir 1,000 pokok sakura dan mengandungi sejarah Dinasti Tang, mengisahkan hubungan kebudayaan awal antara China dengan Jepun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg