5 trend pelancongan 2026: Pilih lokasi yang tawar penginapan idaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 trend pelancongan 2026: Pilih lokasi yang tawar penginapan idaman

Peralihan daripada pelancongan kolektif kepada sesuatu yang lebih peribadi
Jan 25, 2026 | 5:30 AM

5 trend pelancongan 2026: Pilih lokasi yang tawar penginapan idaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Belmond mengendalikan Eastern & Oriental Express di Malaysia. Piano Bar dalam kereta api ini menawarkan tempat bersantai yang tenang pada siang hari dan persembahan muzik yang meriah pada waktu malam.
Belmond mengendalikan Eastern & Oriental Express di Malaysia. Piano Bar dalam kereta api ini menawarkan tempat bersantai yang tenang pada siang hari dan persembahan muzik yang meriah pada waktu malam. - Foto LUDOVIC BALAY

Melancong hari ini bukan lagi sekadar memburu lokasi untuk dilengkapkan dalam senarai.

Pelancong kini mengidamkan pengalaman yang lebih mendalam dan bermakna. Mereka semakin teliti memilih lokasi yang benar-benar memenuhi keperluan peribadi.

Sama ada kedai buku estetik yang memanggil ulat buku sedunia, atau tawaran kecantikan dan penjagaan diri yang menarik perhatian golongan yang mementingkan kesejahteraan.

Tinjauan laman kembara, Skyscanner menunjukkan teknologi memainkan peranan penting dalam peralihan daripada pelancongan kolektif kepada sesuatu yang lebih peribadi menjelang 2026.

Seiring perubahan cita rasa ini, sikap perjalanan orang ramai juga terus berevolusi.

Berikut adalah beberapa trend pelancongan yang patut diberi perhatian pada 2026.

Pilih lokasi kerana penginapan penuhi keperluan peribadi

Memilih penginapan kini menjadi matlamat utama.

Pelancong semakin mencari tempat menginap yang unik, menawarkan estetik dan suasana destinasi jauh, agar dapat merasai pengalaman lokasi berbeza tanpa penerbangan panjang.

Menurut Skyscanner, 60 peratus pelancong memilih lokasi semata-mata kerana penginapan yang penuhi keperluan peribadi.

Menurut Expedia, pengunjung juga gemar bertukar-tukar hotel atau ‘hotel hop’ dengan 54 peratus menempah beberapa hotel dalam satu destinasi.

Ini didorong keinginan meneroka kejiranan berbeza dan mendapatkan tawaran lebih berbaloi.

Seiring itu, pelancong juga mengidamkan penginapan atau hotel yang menggabungkan prasarana bersejarah dengan kemudahan moden.

Senarai Hotel Terbaik Tahun 2026 oleh Hotels.com menunjukkan peningkatan permintaan terhadap penginapan yang mengguna pakai konsep kitar semula secara adaptif, seperti memanfaatkan bekas sekolah, stesen kereta api dan bangunan bank, menawarkan pengalaman unik serta nilai budaya tinggi.

Pelancongan Berinspirasikan Sastera

Menurut wadah tempahan penginapan Vrbo, 91 peratus pelancong mencari percutian yang menenangkan, fokus pada bacaan dan meluangkan masa bersama orang tersayang.

Seiring dominasi #BookTok di media sosial, minat terhadap pelancongan bertema sastera semakin melonjak.

Skyscanner mendedahkan, 71 peratus Gen Z dan milenial sudah menempah atau mempertimbang perjalanan yang diilhamkan daripada sastera.

Penulis Singapura, Cik Jemimah Wei, berpendapat, melawat kedai buku atau menghadiri acara sastera di luar negara adalah cara terbaik untuk menyelami semangat setiap bandar.

Antara lokasi kegemarannya ialah Yu & Me di New York City, Tsutaya di Malaysia, Libreria di London dan Greenlight di Brooklyn.

Jalan-jalan naik kereta api mewah

Di pentas Asia, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kemunculan semula perjalanan mewah dengan kereta api.

Di Malaysia, Eastern & Oriental Express kendalian syarikat hospitaliti Belmond, kembali beroperasi pada Februari 2024 setelah diubah suai.

Ia menawarkan perjalanan tiga hari melalui Penang, Langkawi dan Taman Negara, dengan harga bermula AS$4,650 ( $5,970) seorang.

Railbookers Group, penyedia percutian kereta api yang terkenal dengan pengalaman merentasi Eropah, Amerika Utara, dan lain-lain, kini menembusi pasaran Asia.

Didorong oleh pasaran pelancongan yang pesat, syarikat itu mengumumkan pelancaran dua jenama utama mereka, Railbookers dan Amtrak Vacations, di Asia pada akhir 2025.

Syarikat tersebut turut mengambil kakitangan di Singapura bagi jabatan jualan dan pembangunan perniagaan, dengan pertumbuhan tambahan dijangka berterusan pada 2026 dan tahun-tahun seterusnya.

Ke luar negara demi tawaran kecantikan

Pelancong kini merangka percutian yang menawarkan pengalaman kecantikan sepenuhnya.

Menurut Skyscanner, 49 peratus pengunjung membeli produk kecantikan tempatan yang sukar didapati di negara asal mereka, manakala 39 peratus berbelanja di kedai kecantikan ikonik seperti farmasi Perancis atau kedai kecantikan Korea.

Golongan Gen Z, khususnya, memacu trend ini, dengan hampir satu dalam tiga merancang mencari rawatan dan kedai penjagaan kulit pada 2026, berbanding hanya satu daripada enam golongan Boomer.

Menimba pengalaman berada di altitud berbeza

Pelancong kini mengalih perhatian ke ‘dataran tinggi’.

Destinasi pergunungan kian popular, bukan sahaja pada musim sejuk, malah sepanjang tahun. Menurut Skyscanner, 81 peratus perancang perjalanan telah mempertimbangkan percutian ke gunung pada musim panas atau luruh.

Sudah tentu, ski kekal sebagai aktiviti utama di pergunungan.

Menurut agensi pelancongan mewah Scott Dunn, semakin ramai ibu bapa memperkenalkan sukan ski kepada anak-anak mereka di cerun gunung, bahkan pada usia yang sangat muda.

Pakar ski dan Konsultan Perjalanan Kanan Scott Dunn, Cik Koo Ying Ying, menyatakan bahawa ini disebabkan oleh peningkatan kesedaran dan ketersediaan perkhidmatan ski mesra keluarga. Contohnya termasuk jurulatih peribadi, kelab kanak-kanak, dan pengasuh peribadi, terutamanya di Eropah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg