Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 cara kreatif lestari pakaian lama

Kurangkan sisa tekstil, pencemaran alam sekitar sambil beri kesan positif kepada masyarakat
Jan 14, 2025 | 5:30 AM
Terdapat pelbagai cara kreatif untuk mengurus pakaian lama yang tidak sesuai untuk dipakai lagi. Sebelum membuang ke tong sampah, mungkin terdapat cara lain untuk membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Terdapat pelbagai cara kreatif untuk mengurus pakaian lama yang tidak sesuai untuk dipakai lagi. Sebelum membuang ke tong sampah, mungkin terdapat cara lain untuk membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. - Foto PIXABAY

Tahun baru sering kali menjadi peluang terbaik untuk menyusun semula almari pakaian.

Mungkin di salah satu sudutnya, tersimpan gaun, seluar jean, atau baju yang jarang sekali dipakai.

Pakaian ini mungkin sudah tidak lagi sesuai dengan gaya peribadi anda atau trend fesyen terkini.

Namun, membuang pakaian lama terus ke tong sampah bukanlah pilihan terbijak.

Tahukah anda bahawa industri fesyen merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar?

Dengan menguruskan pakaian lama secara bijak dan bertanggungjawab, kita bukan sahaja dapat mengurangkan sisa tekstil yang mencemarkan alam sekitar, malah turut berpeluang memberi kesan positif kepada masyarakat.

Anda boleh menyokong usaha kitar semula, menyumbang kepada kelestarian alam, atau bahkan meraih ganjaran seperti diskaun atau wang tunai.

Berikut enam cara praktikal yang disarankan majalah Her World Singapore yang boleh anda cuba untuk membawa perubahan bermakna.

Derma kepada badan amal

Dengan menderma pakaian terpakai kepada badan amal, anda bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, bahkan menyuntik nafas baru kepada pakaian tersebut.
Dengan menderma pakaian terpakai kepada badan amal, anda bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, bahkan menyuntik nafas baru kepada pakaian tersebut. - Foto ISTOCKPHOTO

Daripada membiarkan pakaian lama terperuk di dalam almari, apa kata anda dermakannya kepada mereka yang memerlukan?

Pertubuhan seperti, The Salvation Army, di Singapura amat mengalu-alukan sumbangan pakaian terpakai.

Pakaian yang diterima akan dijual semula di kedai kitar semula mereka, dan hasilnya digunakan untuk menyokong pelbagai program kebajikan.

Terdapat empat cawangan kedai kitar semula mereka yang terletak di Upper Changi Road North, Tanglin Road, Jalan Bukit Merah dan cawangan terbesar mereka, Praisehaven Mega Family Store di Upper Bukit Timah Road.

Anda hanya perlu menghantar sumbangan ke tempat pengumpulan yang mudah diakses serata Singapura termasuk di tempat meletak kereta di pusat beli-belah United Square dan Kinex.

Selain itu, wadah seperti Swapaholic Marketplace di Capitol Singapore menawarkan peluang untuk menukar, menjual, atau membeli pakaian terpakai.

Dengan cara ini, pakaian lama masih boleh memberi manfaat kepada orang lain yang mungkin mencari sesuatu pakaian atau gaya fesyen yang serupa.

Serahkan kepada jenama fesyen

Inisiatif jenama H&M membolehkan pelanggan menderma pakaian terpakai mereka dari mana-mana jenama, sama ada dalam keadaan baik atau rosak.
Inisiatif jenama H&M membolehkan pelanggan menderma pakaian terpakai mereka dari mana-mana jenama, sama ada dalam keadaan baik atau rosak. - Foto REUTERS

Dalam industri fesyen yang semakin mengutamakan kelestarian, banyak jenama kini semakin prihatin terhadap kepentingan program pengumpulan pakaian lama.

Sebagai contoh, jenama popular H&M menawarkan inisiatif untuk menerima pakaian dari mana-mana jenama, tanpa mengira keadaannya.

Pakaian yang masih dalam keadaan baik akan dijual semula, manakala pakaian yang tidak boleh digunakan akan dikitar semula menjadi bahan mentah atau produk baru.

Sebagai ganjaran, pelanggan yang menyumbang akan menerima baucar diskaun untuk pembelian seterusnya.

Jenama lain seperti Uniqlo turut menawarkan program serupa.

Dengan menyokong usaha-usaha ini, anda bukan sahaja membantu mengurangkan sisa tekstil, malah turut menyumbang kepada peralihan ke arah fesyen mampan yang semakin meluas di peringkat sejagat.

Jual di wadah dalam talian

Aplikasi seperti Carousell membolehkan anda menjual pakaian terpakai secara langsung kepada pembeli, memberi peluang untuk memperoleh wang tambahan sambil menyokong kelestarian dengan mengurangkan pembaziran.
Aplikasi seperti Carousell membolehkan anda menjual pakaian terpakai secara langsung kepada pembeli, memberi peluang untuk memperoleh wang tambahan sambil menyokong kelestarian dengan mengurangkan pembaziran. - Foto INSTAGRAM CAROUSELL.SG

Menjual pakaian terpakai kini lebih mudah dan praktikal dengan adanya pelbagai aplikasi dalam talian yang membolehkan anda menjana pendapatan tambahan tanpa perlu keluar rumah.

Sebagai contoh, Carousell menawarkan kemudahan untuk memuat naik gambar pakaian, menulis penerangan ringkas, dan menunggu pembeli menghubungi anda.

Ini adalah pilihan ideal bagi mereka yang ingin menjual pakaian dengan cepat dan mudah.

Bagi pengguna media sosial seperti Instagram, wadah itu juga sangat berkesan untuk mempromosikan dan menjual pakaian.

Pastikan gambar yang dimuat naik menarik perhatian dengan pencahayaan yang jelas dan latar belakang yang sesuai, agar pakaian lebih menonjol di mata pembeli.

Jual di pasar lambak

Pasar lambak menawarkan peluang untuk menjual pakaian terpakai secara langsung kepada pembeli, sambil memberi ruang untuk memperoleh koleksi fesyen baru yang unik dan bersejarah.
Pasar lambak menawarkan peluang untuk menjual pakaian terpakai secara langsung kepada pembeli, sambil memberi ruang untuk memperoleh koleksi fesyen baru yang unik dan bersejarah. - Foto PIXABAY

Walaupun membeli-belah dalam talian semakin popular, pasar lambak tetap menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin menjual pakaian terpakai dengan cara lebih peribadi.

Tempat seperti, The Luggage Market, yang diadakan setiap Ahad di Aperia Mall, adalah satu pilihan lokasi untuk menawarkan pakaian lama anda.

Di sini, anda bukan sahaja berpeluang berinteraksi dengan pembeli secara langsung, bahkan juga dapat menikmati pengalaman membeli dan menjual dalam suasana yang lebih santai dan sosial.

Syarikat Refash mempunyai 15 cawangan di Singapura dengan kebanyakannya terletak di dalam pusat beli-belah.
Syarikat Refash mempunyai 15 cawangan di Singapura dengan kebanyakannya terletak di dalam pusat beli-belah. - Foto INSTAGRAM REFASHSG

Untuk cara yang lebih praktikal, cuba langgan syarikat Refash.

Refash ialah jenama perdagangan pakaian yang membolehkan orang ramai membeli dan menjual pakaian terpakai.

Anda hanya perlu menghantar pakaian anda ke lokasi mereka, dan mereka akan menguruskan keseluruhan proses penjualan.

Selepas itu, anda hanya perlu menunggu hasil jualan dimasukkan ke dalam akaun bank anda

Pendekatan ini sangat sesuai bagi mereka yang sibuk namun ingin tetap menjana pendapatan tambahan daripada pakaian lama mereka.

Jenama ini mempunyai 15 cawangan termasuk di pusat beli-belah Westgate, Tampines 1 dan The Clementi Mall.

Untuk maklumat lanjut, lungsuri laman https://refash.sg/

Kitar semula

Cloop.sg adalah wadah dalam talian yang memudahkan anda untuk menjual atau membeli pakaian terpakai dengan fokus kepada kelestarian, dan pakaian yang tidak lagi digunakan boleh diberi nafas baru.
Cloop.sg adalah wadah dalam talian yang memudahkan anda untuk menjual atau membeli pakaian terpakai dengan fokus kepada kelestarian, dan pakaian yang tidak lagi digunakan boleh diberi nafas baru. - Foto INSTAGRAM CLOOP.SG

Apabila pakaian sudah tidak lagi boleh digunakan, langkah terbaik adalah mengitar semula barangan tersebut.

Program seperti tong pengumpulan Cloop menawarkan tempat untuk menerima pakaian, beg, kasut, dan pelbagai barangan lain yang boleh dikitar semula.

Proses itu memainkan peranan penting dalam mengurangkan sisa tekstil yang akhirnya dibuang ke tapak pelupusan.

Di Malaysia, pakaian yang dikumpul oleh Cloop akan dihantar ke kilang kitar semula, dan ia diproses untuk dijual semula, digunakan semula, atau ditukar menjadi bahan mentah untuk produk baru.

Dengan lokasi tong pengumpulan Cloop yang tersebar (450 tong berwarna kuning) di pelbagai kawasan di Singapura, menyumbang kepada usaha mengurangkan sisa tekstil kini menjadi lebih mudah dan lebih bermanfaat.

Ubah suai pakaian lama

Bagi mereka yang berjiwa kreatif, mengubah suai pakaian lama bukan sahaja kegiatan yang menyeronokkan, malah juga memberi peluang untuk mencipta barang fesyen yang unik.

Contohnya, baju besar ‘oversized’ boleh diubah menjadi skirt yang stylish, manakala ‘tank top’ yang sudah tidak terpakai boleh dijadikan beg tangan yang chic.

Anda juga boleh menukar kain lama menjadi aksesori menarik seperti ‘scrunchie’ atau bandana yang penuh gaya.

Terdapat pelbagai video di YouTube yang mengajar para penonton cara untuk menukar gaya pakaian mereka supaya kelihatan baru seperti pencipta kandungan yang dikenali dengan nama ‘Coolirpa’
Terdapat pelbagai video di YouTube yang mengajar para penonton cara untuk menukar gaya pakaian mereka supaya kelihatan baru seperti pencipta kandungan yang dikenali dengan nama ‘Coolirpa’ - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE COOLIRPA

Tiada pengalaman dalam menjahit?

Jangan risau! Terdapat banyak tutorial ‘do-it-yourself’ yang dikenali sebagasi DIY di YouTube atau laman web yang menyediakan panduan langkah demi langkah.

Kegiatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran, malah juga memberi peluang untuk menghasilkan barang fesyen yang benar-benar peribadi dan penuh kreativiti.

Manfaat besar di sebalik tindakan kecil

Setiap langkah kecil yang diambil untuk menguruskan pakaian lama dengan bijak dapat memberikan kesan besar kepada alam sekitar.

Dengan memilih untuk menyokong kelestarian, kita tidak hanya mengurangkan pencemaran dan melestarikan sumber semula jadi, bahkan juga memberi kesan positif yang meluas kepada masyarakat.

Jadi, tunggu apa lagi? Mulakan perubahan kecil hari ini.

Sama ada dengan menderma, menjual, atau mengitar semula, setiap tindakan yang dilakukan memberi makna mendalam, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk dunia di sekeliling kita.

Setiap langkah yang diambil adalah sebahagian daripada usaha kolektif mencipta masa depan yang lebih hijau, lestari dan penuh harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg