USAH membiarkan komen juri Gegar Vaganza 9 (GV9) mahupun warganet menjejas mutu persembahan.
Berikan yang terbaik dan fokus pada apa yang ingin dinyanyikan dalam pertandingan konsert minggu kelima Ahad ini.
Itulah pesanan pelakon asal Singapura, Datuk Aaron Aziz, kepada bintang GV9 dari negara ini, Fuad Rahman.
Komen itu disampaikan Aaron dalam satu hantaran Instagram menyusuli reaksi warganet yang marah dan terkesan dengan komen juri tetap Hetty Koes Endang pada konsert minggu keempat Ahad lalu.
Rata-rata, sebilangannya berasakan Hetty tidak peka pada persembahan Fuad dan seakan merendahkannya dengan menyatakan apakah air mata yang berlinangan sewaktu penyanyi itu mendendangkan lagu Layang-Layang Terputus Talinya itu 'air mata buaya'.
Kata-kata itu kemudian disusuli dengan kata-kata seorang lagi juri, Datuk Ramli MS, yang berseloroh 'air mata propa' atau secara sengaja.
Kata Aaron dalam video yang menunjukkan beliau sedang memandu:
"Jangan kisah apa juri nak kata...air mata buaya ke, air mata sungai ke...buat sahaja tugas anda dan berikan yang terbaik.
"Ramai yang menyokong anda Fuad. Akan ada orang yang mengeluarkan kata-kata yang melukai perasaan anda. Akan ada orang yang mengucapkan kata-kata yang menaikkan semangat anda.
"Dapat kutukan adalah perkara biasa. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Buat yang terbaik dan jangan gementar."
Aaron juga menambah bahawa apa yang pernah dilalui Fuad dan dirinya sebelum ini adalah seribu kali ganda lebih susah daripada apa yang diharungi kini.
"Jangan sampai apa yang orang cakap jejas persembahan Fuad," tambahnya.
Ahad ini, Fuad akan bergandingan dengan juara GV6, Naqiu, untuk mempersembahkan lagu rok duet kumpulan Wings dan Search, Gemuruh, bagi konsert minggu kelima di auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg