Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Abang hip hop' SonaOne peka soal lirik, imej

Jul 7, 2021 | 5:30 AM
SONAONE: Cuba-cuba bikin filem pendek 15 minit tentang perhubungan kekasih dan sahabat baik yang terjejas kerana silap komunikasi. - Foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA
SONAONE: Cuba-cuba bikin filem pendek 15 minit tentang perhubungan kekasih dan sahabat baik yang terjejas kerana silap komunikasi. - Foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA -

SEGAR di ingatan rapper Malaysia, SonaOne, nasihat bernas yang disampaikan 'Abang Hip Hop' seperti Joe Flizzow kepadanya ketika beliau masih baru dalam dunia hip hop seberang Tambak.

"Jaga lirik, jaga penampilan," - itulah pesanan yang masih terngiang-ngiang di fikiran SonaOne, 32 tahun, yang nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach.

Menurutnya, Joe memintanya menjaga imej sebagai rapper apabila melihat dirinya terlalu selesa berselipar, berseluar pendek dan mengenakan kemeja-T yang dipalit cat (kerana kegiatan grafiti).

Dalam menulis lirik pun, ia haruslah yang bermakna, membina dan peka pada keadaan dan sensitiviti sekeliling.

Kata-kata itu bak azimat yang beliau sendiri tekankan kepada rapper muda yang kian mekar di persada hip hop Nusantara bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam satu wawancara Zoom yang diselaras Universal Music Singapore baru-baru ini, SonaOne yang muncul dalam lagu Jatuh Boi bersama rapper muda Singapura, YHB Sleepsalot, senangi kerencaman yang dibawa generasi rapper muda seperti K-Clique, Yonnyboii dan YHB sendiri.

Sebagaimana katanya:

"Saya selalu intai-intai bakat muda dalam dunia hip hop. Semakin hari, semakin ramai. Saya memang suka berkongsi dan bila-bila masa sudi memberi panduan bagi mereka terus berkarya dan kekal relevan."

Ikuti wawancara bersamanya.

Soalan (S): Bagaimana anda dan YHB Sleepsalot mula bekerjasama?

SonaOne: Pejam celik, hampir tiga tahun perkenalan kami. Saya sukakan salah sebuah video awalnya di Instagram.

Apa yang saya senangi tentang budak muda ni, beliau berani dan cakap mudahnya, tak tahu malu!

Selepas beliau e-mel pengurus saya, kami pun berkomunikasi dalam talian. Beliau datang ke Kuala Lumpur sebelum Covid-19. Kami bertukar-tukar idea di studio dan rakam lagu.

Apabila pandemik melanda, kami lebih banyak berurusan menerusi Zoom, FaceTime atau panggilan video.

S: Apa pandangan anda tentang masa depan YHB sebagai rapper?

SonaOne: Saya sukakan semangatnya yang terus berkarya walau apa orang lain nak kata.

Suaranya lunak. Beliau punyai pakej wajah dan suara. Kadangkala, YHB seperti tidak tahu beliau miliki potensi besar dalam bidang hip hop.

Saya pula macam 'abang-abang', suka beri nasihat dan bimbingan. Saya ingat sewaktu saya bermula dalam bidang hip hop, saya temui abang-abang seperti Altimet dan Joe Flizzow.

Cuma kami datang daripada generasi berbeza. Hubungan saya dengan abang-abang ni penuh hormat. Saya tak nak 'kacau' mereka bila abang tengah ada 'mood'. Ada semacam hierarki tertentu.

Dengan YHB, dia ni macam adik saya sendiri. Saya tak harapkan dia hormat saya sampai takut nak bersuara. Bagusnya, dia ni tak kisah. Bila-bila dia nak tanyakan pandangan, dia bebas berbuat demikian.

S: Apakah pandangan anda tentang 'Jatuh Boi'?

SonaOne: Kehidupan ini ada pasang surutnya yang menjejas emosi dan kreativiti kita sebagai anak seni.

Ada kalanya, idea kreatif tak menjadi dalam bikin muzik. Lagu Jatuh Boi ini dibuat dalam tempoh 24 jam.

Bagi saya, ia adalah lagu pembangkit semangat bagi memberitahu kita bahawa hidup ini satu perjalanan. Ada masanya kita perlu berehat dan refleksi diri sebelum mulakan semula perjalanan kita selanjutnya.

S: Bagaimana anda lihat evolusi rap Melayu?

SonaOne: Sewaktu usia saya 13 atau 14 tahun, saya amati betapa lebih ramai artis Malaysia rap dalam bahasa Inggeris, dari Too Phat, Teh Tarik Crew dan Altimet. Tak ada siapa nak rap dalam bahasa Melayu.

Lama-kelamaan, lebih ramai selesa mengembangkan bahasa Melayu dalam lagu rap walau awalnya ada yang mengutuk rapper merosakkan bahasa Melayu.

Saya sendiri pernah bikin lagu rap bertajuk Tahi Lalat daripada terjemahan kekata Inggeris 'fly shit'. Melucukan apabila kita teroka dwimakna dalam bahasa Melayu kita yang sangat kaya.

Namun, saya dapati perkembangan rap Melayu kini menggalakkan. Orang Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan dan Iban di Malaysia dengar lagu rap Melayu. Di Nusantara, potensinya lebih meluas.

S: Apa projek terkini?

SonaOne: Semasa pandemik, saya cuba-cuba bikin filem ringkas 15 minit tentang komunikasi sepasang kekasih dan teman baik mereka. Terasnya, apa jua hubungan akan terjejas jika tersilap komunikasi. Kalau kita tak mampu berhubung dengan diri sendiri, payah nak berhubung dengan orang lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg