Topic followed successfully
Go to BHku'Abang Long Fadil 3' papar aksi wanita perkasa
'Abang Long Fadil 3' papar aksi wanita perkasa
Pengarah Syafiq Yusof ubah samseng kampung jadi perisik, lanjutan filem aksi komedi pecah panggung
'Abang Long Fadil 3' papar aksi wanita perkasa
TIDAK semudah itu menghasilkan filem susulan bagi karya berjenama yang sudah ada lautan pengikutnya seperti Abang Long Fadil.
Pengarah filem aksi komedi tersebut, Syafiq Yusof, 29 tahun, sedia maklum jangkaan orang ramai terhadap filem Abang Long Fadil 3 ini tinggi.
Justeru, beliau dan pasukannya perlu memikirkan kelainan untuk hasilkan filem yang benar-benar dapat 'melekat' di hati ramai.
Setelah filem yang dijadualkan ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 2020 ini terpaksa ditunda tayangannya hingga 8 September lalu kerana pandemik, Syafiq tangkas memikirkan pelbagai aspek teknikal yang dapat ditambah baik sepanjang tempoh dua tahun itu.
Katanya yang dihubungi Berita Harian menerusi panggilan WhatsApp baru-baru ini:
"Saya rasa lega kini sebab filem yang sudah lama disimpan dan dipendam ini akhirnya ditayangkan. Jangkitan Covid-19 pun semakin reda di ketiga-tiga negara di mana Abang Long Fadil 3 ditayangkan.
"Alhamdulillah, kita kembali dalam norma baru. Dalam masa dua tahun filem terperuk, bagus juga sebab kami dapat menambah baik beberapa aspek filem ini seperti muzik, kesan bunyi, suntingan adegan dan warna filem. Kita berusaha buat sebaik mungkin."
Hasil kutipan filem ini malahan amat menggalakkan dengan sesi pratonton sebelum tayangan rasmi pada Khamis lalu menunjukkan sambutan luar biasa penonton.
Sebanyak RM1.2 juta ($372,734) dikumpulkan di 148 pawagam Malaysia sewaktu sesi pratonton tidak rasmi itu manakala kutipan rasmi selepas tayangan lima hari sejauh ini pula mencecah RM10 juta.
Abang Long Fadil 3 kini ditayangkan di 159 pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.
Ditanya apakah yang mendorongnya menghasilkan dua susulan dan mungkin lanjutan banyak kisah lagi bagi francais filem Abang Long Fadil, Syafiq berkata:
"Kita bermula dengan latar kampung bagi Abang Long Fadil dengan Zizan Razak sebagai Fadil membawa watak sebagai si budak kampung yang awalnya keberatan nak jadi samseng.
"Kemudian, kita masuk ke dalam dunia mafia atau samseng bagi Abang Long Fadil 2. Justeru, kita perlu pertingkatkan watak Fadil dalam filem ketiga.
"Saya terfikir bagaimana nak menambah komedi dan aksi dalam filem ketiga ini. Maka, kami mengangkatnya ke tahap lebih baik dengan wujudkan unsur ejen risikan.
"Tambahan pula, filem kali ini bergerak dengan bajet lebih besar sebanyak RM6 juta. Kami perlu libatkan pelakon baru, set yang lebih gah, sinematografi lebih menakjubkan dan skor muzik lebih hebat. Ia adalah satu peredaran yang menggalakkan.
"Filem pertama menggunakan bajet RM2.5 juta manakala yang kedua pula memanfaatkan bajet RM3.5 juta."
Dalam filem ketiga ini, Fadil menerima tawaran Khidmat Risikan Malaysia (MSS) bagi menjadi ejen perisik profesional untuk menjatuhkan kumpulan kongsi gelap terbesar atau Pertubuhan Kongsi Gelap (SSO) yang diketuai Chow Han (Johan) yang berniat jahat menakluki Malaysia.
Ejen Fadil bekerjasama dengan Ejen Alice (Elizabeth Tan) bagi menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han tetapi keadaan menjadi rumit apabila bekas temanita Fadil, Yana (Tania Hudson) mengganggu misi MSS.
Chow Han menyedari MSS sedang mengintip beliau lantas menghantar pembunuh upahan King Cobra (Datuk AC Mizal) bagi menghapuskan Fadil dan Alice.
Menurut Syafiq yang sebelum ini menghasilkan filem aksi Desolasi, cabaran bagi Abang Long Fadil 3 adalah ia membabitkan aski nekad yang berisiko tinggi seperti adegan kereta terbalik yang melibatkan nyawa pelakon.
"Setiap kali ada adegan sebegini, saya risau. Alhamdulillah, semua berjalan lancar kecuali satu kebakaran set yang berlaku semasa kami merakam adegan letupan di mana bomba dan pegawai keselamatan perlu bergegas membantu.
"Satu lagi cabaran bagi saya adalah mengumpulkan pelakon handalan dalam senarai A di Malaysia yang jadualnya sibuk.
"Namun, saya puas hati dengan pencapaian Abang Long Fadil di 'box-office'. Filem pertama dapat kutipan RM4.6 juta disusuli dengan filem kedua pada 2017 meraih RM18.4 juta.
"Ini bererti ada permintaan untuk filem aksi sebegini. Zizan pula antara pelawak yang konsisten nama dan kelakonan kerjanya.
"Namanya masih disebut-sebut dan tidak padam. Kerana itu, saya berasakan kita teruskan dengan Zizan bagi francais filem Abang Long Fadil ini," jelasnya.
Satu lagi perkara yang Syafiq amat titikberatkan adalah tema pemerkasaan wanita dalam filem Abang Long Fadil 3 ini.
Beliau libatkan Elizabeth Tan, Ozlynn Wati, Maya Karin dan Daniella Sha dalam filem ini.
"Saya tonjolkan tema pemerkasaan wanita kerana ia merupakan sesuatu yang disenangi dan relevan dengan tuntutan masa kini di mana wanita memainkan peranan lebih penting dan genting.
"Saya perlukan pelakon wanita utama yang dapat berikan komitmen dan sanggup bergasak persis Tan Sri Datuk Michelle Yeoh.
"Saya melihat ini ada dalam diri Elizabeth Tan yang komited menjalani latihan mempertahankan diri untuk babak bergasak.
"Kecederaan dan lebam-lebam menjadi perkara biasa tetapi kami ada pasukan medik di set untuk pantau keadaan. Saya kekalkan pasukan aksi nekad yang sama dengan filem lain Skop Productions," katanya.

