Topic followed successfully
Go to BHku'Abang Pulang' ke S'pura
'Abang Pulang' ke S'pura
Malek Ridzuan 'balik kampung', susuri jalan kenangan menetap di Kota Singa
'Abang Pulang' ke S'pura
IBARAT balik kampung ke 'rumah kedua' di Singapura yang pernah menjadi kediaman dan ruang mencari rezeki serta merakam lagu selama lima tahun.
Itulah yang dirasakan penyanyi Malaysia era 1980-an, Datuk Malek Ridzuan, 65 tahun, apabila diundang Esplanade bagi konsert sejam, Abang Pulang, Singapura! pada 8 malam Jumaat ini.
Konsert di Studio Recital Esplanade itu adalah sebahagian rancangan mengenang kembali nostalgia silam bersama teman-teman yang dianjurkan Esplanade setiap tahun, A Date With Friends.
Malek telah menghasilkan 25 album sepanjang kerjaya lebih empat dekad dan dikenali kerana lagu-lagu balada seperti, Cukup Sampai Di Sini, Kelip-Kelip Ku Sangka Api dan Sudah Suratan.
Dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian, Malek menjelaskan beliau teruja dapat hiburkan peminat di Singapura dalam konsert santai yang akan dipenuhi dengan lagu nostalgia dan juga interaksi santai.
"Singapura bukan asing lagi bagi saya. Ia sudah jadi ibarat rumah kedua saya. Saya macam balik kampung kerana pernah menetap di Singapura selama lima tahun pada era 1980-an.
"Saya menghasilkan iklan radio dan televisyen di Singapura ketika itu di samping merakam lagu bersama penerbit kelahiran Singapura seperti S. Atan, Razzi M dan Datuk Ramli MS.
"Memang Abang Atan dikenali kerana ketegasan dan sikap garangnya tetapi bagi saya, kalau seorang penyanyi itu disiplin dan bikin homework, tiada yang perlu dikhuatiri. Dua faktor ini saya amalkan dan tekankan.
"Saya malahan selalu berseloroh dengannya, 'Bang, boleh cepat sikit tak? Kenapa lama sangat bikin lagu?'," kata Malek seraya tertawa.
Menurutnya, pengalaman lima tahun di Singapura sangat dihargai apabila beliau berurusan dengan Razzi untuk pelbagai projek iklan dan juga persembahan di Sentosa.
Razzi, anggota Black Dog Bone, disifatkan sebagai penerbit yang peka tentang keperluan penyanyi dan senang diajak bekerjasama dan berbincang.
"Saya biasa dengan urusan studio bersama Razzi di kawasan sekitar Chinatown. Semasa itu, Sentosa memang top sebagai destinasi riadah dan tempat orang Melayu bikin konsert.
"Banyak pengalaman yang saya timba di Singapura sebelum akhirnya kembali ke Malaysia untuk menyambung kerjaya nyanyian saya. Pada ketika itu, Singapura memang tumpuan artis rakaman dari Malaysia.
"Sebagai penghibur, kita juga merantau dan pernah membuat persembahan di kelab malam sejauh Hong Kong dan Jerman.
"Saya juga sebahagian daripada kumpulan penyanyi yang pecahkan Rekod Dunia Guinness bagi dendangan berterusan selama 24 jam pada masa itu," jelasnya.
Malek dilahirkan dalam keluarga seni di Batu Laut, Banting, Selangor dengan beliau memulakan kerjaya muzik bersama band bapanya di kampung, LB Band.
"Awalnya, saya hanya mahu main muzik. Saya boleh petik gitar, main dram dan papan nada. Tak terfikir pun nak jadi penyanyi sebab saya memang pemalu orangnya.
"Entah macam mana boleh terjebak dalam dunia nyanyian sampai sekarang. Ia peluang keemasan yang saya ambil untuk perluas kerjaya seni saya.
"Banyak band yang telah saya anggotai dan kami merantau ke beberapa negara Asia dan juga Jerman," katanya.
Album pertamanya adalah bersama Life Records dengan lagu-lagu ciptaan Ben Soepranto dan J. Risma.
Beliau bahkan pernah berduet dengan biduanita bersuara emas, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah), yang awalnya dikenali dengan nama pentas Natasha Aminah, bagi lagu Mawar Putih Mawar Merah.
"Pada masa itu, Aishah masih belajar lagi di peringkat universiti dan memenangi satu peraduan serta ditawarkan peluang merakam lagu itu dengan saya.
"Bagi saya, keistimewaan lagu lama ini adalah pengertian lagu berkenaan bagi setiap fasa kehidupan.
"Apabila seseorang dapat anak, ada lagu macam Datuk M. Daud Kilau, Anakku Yang Pertama.
"Kemudian, ada lagu orang kahwin juga di mana mahligai baru dibina iaitu, Direnjis-renjis Dipilis.
"Lagu peringatan hari pemergian buat selama-lamanya pun ada iaitu, Selimut Putih.
"Boleh dikatakan penulis lirik pada masa lalu sangat prihatin tentang fasa-fasa kehidupan yang mereka jadikan bahan lagu yang membuatkan lagu dahulu itu kedengaran malar segar.
"Dalam konsert saya nanti, saya cuba mengembalikan nostalgia ini dengan beberapa lagu artis lain juga akan saya sampaikan," katanya.
Selain masih menerima undangan menyanyi, Malek yang menggalas amanah sebagai Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) menjelaskan pihaknya sentiasa mengambil berat tentang nasib dan masa depan anak seni khususnya yang sudah mencecah tahap veteran.
Beliau juga Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanahair (Papita) yang lebih bertindak secara 'low profile' atau senyap-senyap.
"Kebajikan anak seni harus dijaga. Kadangkala saya berasakan bintang veteran kita dieksploitasikan untuk peraduan realiti yang mencari keuntungan dan atas dasar rating semata.
"Bukan saya melarang mereka ambil bahagian tetapi sedikit sebanyak apabila mereka terkeluar daripada peraduan dan kemudian tampil di persembahan luar, ada yang akan komen, 'Buat apa taruh harga tinggi sedangkan masuk peraduan tak tunjukkan prestasi?'
"Terdapat artis-artis lama kita yang sewajarnya dihargai dinilai rendah pada hari ini. Pengalaman dan kemahiran mereka tidak diambil kira dalam soal bayaran.
"Inilah yang kadangkala menyedihkan dan kami cuba tekankan agar penghargaan sewajarnya diberi buat artis lama yang banyak sumbangan dan masih berjuang," ujar datuk 32 cucu itu.
- Nota: Tiket $30 dan $24 (pelajar, anggota Perkhidmatan Negara dan golongan kurang upaya) boleh dibeli di laman Sistic dan Esplanade.
"Singapura bukan asing lagi bagi saya. Ia sudah jadi ibarat rumah kedua saya. Saya macam balik kampung kerana pernah menetap di Singapura selama lima tahun pada era 1980-an.
Saya menghasilkan iklan radio dan televisyen di Singapura ketika itu di samping merakam lagu bersama penerbit kelahiran Singapura seperti S. Atan, Razzi M dan Datuk Ramli MS."
- Datuk Malek Ridzuan.

