Permulaan penggal sekolah bermakna sesetengah ibu bapa akan bertanya soalan besar: Adakah sudah tiba masanya untuk anak mereka memiliki telefon sendiri?
Keprihatinan tentang keselamatan, terutama berkaitan perjalanan ulang-alik antara rumah dengan sekolah atau berada di rumah selepas sekolah tanpa ibu bapa, sering mendorong keputusan itu.
Terdapat juga tekanan sosial jika ramai rakan kanak-kanak itu mempunyai telefon.
Tetapi ia tidak semestinya menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimana boleh anda tahu sama ada anak anda sudah bersedia untuk menggunakan telefon bijak?
Apakah terdapat pilihan lain?
Bagaimanakah boleh anda menetapkan had yang boleh dicapai dan sihat jika anak anda mendapat telefon sendiri?
Ramai ibu bapa menyedari keprihatinan tentang kesejahteraan kanak-kanak berkaitan teknologi, termasuk kemungkinan berlaku sesuatu yang berbahaya kepada kesihatan mental jika mereka terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai, pembulian atau terlalu banyak menggunakan telefon.
Kajian juga menunjukkan ia boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu bergantung kepada telefon dan mengalami gangguan atau kurang tumpuan di sekolah dan secara am.
Oleh itu, adalah penting untuk membuat pilihan baik dan memberikan sokongan keluarga dalam menangani cabaran-cabaran itu.
Pemilikan telefon yang sesuai tidak semestinya bergantung kepada umur kanak-kanak tetapi kepada kesediaan kanak-kanak dan keadaan keluarga.
Kajian terbaru menunjukkan kanak-kanak yang menerima telefon berdasarkan kesediaan mereka berbanding umur mempunyai tabiat digital jangka panjang yang lebih baik.
Ini termasuk mengurus gangguan berterusan yang disebabkan oleh telefon dan pertimbangan yang baik tentang kandungan yang mereka tonton.
Anda boleh melihat kesediaan kanak-kanak untuk memiliki telefon berdasarkan beberapa cara:
• Sejauh manakah mereka bertanggungjawab dengan teknologi yang telah mereka gunakan?
• Adakah mereka mengikut garis panduan keluarga berkaitan masa skrin?
• Adakah mereka bersedia membincangkan pengalaman dalam talian mereka dengan anda? Adakah mereka memberitahu anda jika menghadapi masalah atau sesuatu yang mereka tidak faham?
• Adakah mereka mempunyai pemahaman asas tentang privasi dan keselamatan digital?
• Bagaimanakah cara mereka membuat keputusan di luar talian? Bagaimanakah kelakuan mereka dengan keluarga, kawan-kawan dan tanggungjawab lain?
Jika anda memutuskan ya, anak anda sudah bersedia – namun ini tidak bermakna mereka perlu diberikan telefon bijak dengan semua ciri dan aplikasi secara serta-merta.
Untuk keperluan keselamatan asas, seperti perjalanan ke sekolah, jam tangan bijak atau telefon asas dapat membolehkan anak menerima dan membuat panggilan dan teks, tanpa perlu mengakses Internet.
Jika anda ingin mengutamakan hubungan sosial (supaya anak tidak ketinggalan dengan rakan-rakan), anda boleh menyediakan tablet keluarga yang dikongsi, yang mempunyai aplikasi mengirim mesej yang diselia.
Ini membolehkan kanak-kanak mengekalkan persahabatan dalam had yang ditetapkan.
Sedang kanak-kanak menunjukkan kebebasan dan kematangan digital yang semakin meningkat, mereka boleh diberikan telefon bijak terhad dengan kawalan ibu bapa secara beransur-ansur, memperoleh lebih banyak kebebasan melalui sifat tanggungjawab yang ditunjukkan.
Atau anak boleh diberikan telefon bijak dengan ‘check in’ – daftar masuk – atau pemeriksaan berkala.
Semasa pemeriksaan itu, ibu bapa dan anak berbincang dan menyemak cabaran yang biasa dihadapi seperti mengurus notis pemberitahuan, aplikasi yang dibenarkan untuk digunakan oleh kanak-kanak dan di mana telefon boleh digunakan.
Pendekatan itu memperakui bahawa akses penuh kepada telefon bijak bukanlah satu keperluan segera, sebaliknya adalah peringkat akhir dalam perkembangan digital yang bijak.
Kajian menunjukkan keluarga yang melaksanakan pendekatan berperingkat itu melaporkan kurangnya konflik berkaitan teknologi, serta tabiat digital jangka panjang yang lebih baik dalam kalangan anak-anak mereka.
Kuncinya terletak kepada pemadanan akses teknologi kepada keperluan sebenar dan bukannya tekanan sosial yang dirasakan, sambil mengekalkan had jelas dan komunikasi terbuka.
Walaupun banyak sekolah kini mempunyai sekatan telefon semasa waktu sekolah, perancangan untuk kegunaan sihat di luar sekolah adalah amat penting.
Terdapat tiga perbualan ‘telefon baru’ penting yang perlu dilakukan dengan anak anda bagi memastikan penggunaan telefon bermula dengan betul.
1) Permintaan berkawan: Kadangkala, permintaan ini terlalu banyak dan sering membebankan kanak-kanak dan ibu bapa.
Anda tidak perlu mengatakan ya kepada semuanya.
Tentukan cara mengurus aliran permintaan yang berterusan dan cara menghapuskan kenalan yang tidak diperlukan.
2) Masa skrin: Kemungkinan besar akan berlaku ‘lonjakan masa skrin’ apabila anak mendapat telefon mereka sendiri.
Ini diburukkan lagi oleh keinginan berterusan untuk hanya termenung dan menonton kandungan.
Tentukan masa dan zon ‘tanpa teknologi’ yang boleh dilaksanakan di rumah bersama-sama.
Contohnya, tiada telefon di dalam kereta dan tiada telefon selepas 9 malam, atau sekatan pada kandungan yang boleh mereka tonton, seperti YouTube atau TikTok.
Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak menggunakan ciri masa skrin dalam telefon yang menutup aplikasi sedemikian semasa masa sekatan.
3) Pemberitahuan: Disebabkan banyaknya kumpulan sembang dan rakan baru, akan ada pemberitahuan yang tidak berkesudahan. Ini akan menyebabkan lebih banyak masa skrin, kadangkala hingga malam.
Pergi ke tetapan atau settings telefon bersama anak dan secara bersama-sama tentukan pemberitauan yang mana untuk dimatikan (sebaik-baiknya, kebanyakannya).
Ini bermakna kanak-kanak mempunyai kurang gangguan dan lebih banyak masa tidur, dan seluruh isi rumah akan menjadi lebih aman.
Penulis ialah penyelidik dalam bidang celik digital dan kesejahteraan digital di Universiti Western Sydney. Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam ‘The Conversation’ iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg