Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adele umum rehat panjang selagi belum ada idea rakam lagu

Jul 22, 2024 | 5:30 AM
Adele
Adele ingin berehat selagi belum ada idea untuk merakam lagu. - Foto INSTAGRAM ADELE

Penyanyi dan komposer berbakat, Adele, atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins, kini tidak mempunyai sebarang perancangan menghasilkan karya baru selepas menerbitkan album berjudul 30 pada 2021.

Malah kata Adele, 36 tahun, beliau mahu mengambil tempoh rehat daripada melakukan sebarang kegiatan melibatkan kerjaya muziknya selepas tawaran bergelar artis residen hujung minggu di Las Vegas bagi 2024 tamat sekitar November.

Menerusi satu sesi wawancara dengan stesen radio Jerman, ZDF, penyanyi asal United Kingdom itu juga memberi gambaran beliau sudah lama tidak menulis atau menggubah sebarang lagu baru.

Wawancara itu dibuat sebelum Adele terlibat dalam satu program penempatan seni di Munich tidak lama lagi.

“Tangki idea saya sudah kosong buat masa ini. Saya tiada perancangan untuk menghasilkan sebarang muzik baru.

“Saya ingin berehat panjang selepas ini dan saya mahu lakukan banyak perkara kreatif.

“Anda tahu tak? Saya dah tak lagi menyanyi di rumah kini? Pelik bukan?” ujarnya.

Baru-baru ini, beliau menamatkan persembahan ke-90 di Caesar’s Palace yang boleh menampung 4,000 orang.

Menurutnya, pengalaman menyanyi di situ memerah emosinya.

“Walaupun jumlah orang yang hadir mampu dikawal, saya kira ia satu pengalaman yang memerah jiwa raga saya.

“Saya rasa saya akan rasa lebih terkesan setiap malam membuat persembahan di Munich nanti. Namun, ia adalah sesuatu yang positif. Saya hanya memikirkan tentang aliran tenaga meluap-luap dalam setiap persembahan,” tambahnya.

Namun, tidak semua kenangan di Las Vegas itu manis buatnya.

Pada Jun, Adele memarahi seorang penonton yang mencemuhnya di khalayak ramai.

“Awak datang ke persembahan saya hanya untuk mengecam saya? Jangan merapiklah!

“Kalau tak ada perkara yang baik untuk dikatakan, lebih baik awak diam,” jelas Adele.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, Adele mengakui beliau mudah terusik emosinya dan naik radang.

“Saya dah tua. Setiap perkara membuat saya marah dan naik angin,” tambahnya selamba.

Persembahannya di Munich berbeza dari Las Vegas.

Sekitar 74,000 orang dijangka menontonnya setiap malam di stadium sementara yang dibina khusus.

Penonton yang hadir akan dapat merasakan semangat Adele yang luar biasa. Ada juga pentas untuk band ‘cover’ dan juga gerai menjual minuman.

Penganjur acara itu menetapkan matlamat memasuki senarai Rekod Dunia Guinness Book bagi layar terbesar di ruang terbuka sebesar 220 meter.

“Saya suka impak layar raksasa sebegini. Peminat cuma nak tengok muka anda sebesar-besarnya,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg